"DIA bukan lelaki yang patut Lees dekat!" Keras suara lelaki itu membantah.Aku berpeluk tubuh membelakangkan lelaki itu. Menunjukkan kekerasan hatiku. Tekad yang takkan berganjak walau siapapun menentang.
Suara itu tidak kedengaran lagi. Hanya sepi di antara aku dan dia. Aku tahu dia tidak setuju. Dia risaukan aku. Risau membiarkan aku berdepan dengan lelaki yang dikatakan berbahaya.
Derap langkahnya merapatkan jurang di antara aku dan dia. Terletus keluhan berat dari bibir itu.
Mataku tunak pada lanskap hijau yang tidak lagi memberikan ketenangan di hati ini. Tidak seperti dulu.
Hati yang penuh kesumat. Mana mungkin dapat menjemput ketenangan. Tersugil senyum sinis di bibir.
Tragedi ternyata mampu mengubah personaliti seseorang. Aku yang dulu bukan begini. Tidak pernah perlu memikirkan sebarang masalah. Hidup dibuai kesenangan.
Malang sekali, saat ini hanya ada satu perkara yang bermain di kepala. Dendam!
"Kalau aunty tahu..."
"Kalau Abang Zi tak bagitahu... mummy takkan tahu," potongku laju.
Mujur mummy sudah berehat di dalam bilik. Jika tidak kedatangan abang sepupuku ini tentu mendatangkan masalah besar buatku.
"Lees tak kenal dia. Dia tu licik. Bahaya. Abang Zi tak nak apa-apa jadi kat Lees."
"No risk, no gain," balasku bersahaja.
Jika aku tidak cuba dekat, bagaimana aku mahu menjatuhkan musuhku? Musuhku takkan jatuh tanpa sebab. Malah makin hebat melangkah ke puncak.
Dingin malam terasa mencengkam kulit. Aku mengusap lengan yang meremang sejuk. Suasana hening seketika bila aku dan dia membisu tanpa kata.
Aku tidak cuba untuk membuka mulut. Biarkan sahaja dia berdiri di belakangku. Dibelit amarah dengan kedegilanku.
Malam ini, bibir cukup berat mahu berbicara dengan lelaki yang cuba menentang niatku. Apa guna berbicara jika segalanya akan disangkal dia? Lalu aku lebih suka membisu.
Azizi, sepupuku merangkap pembantu kanan daddy. Hubungan aku dan dia seperti abang dan adik. Rapat. Dia, abang yang tak pernah aku miliki. Dia selalu memanjakan aku.
Anak tunggal sepertiku mengidamkan kehadiran seorang abang atau kakak. Kehadiran Azizi memenuhi kekosongan itu.
"No risk, no gain?" Sinis kedengaran suara ini buat aku dijentik rasa bersalah.
Tiba-tiba bahuku dicengkamnya. Lalu tubuhku diputar berhadapan dengannya. Matanya merenung tepat ke dalam mataku. Percikan api menyala di situ.
"Lees faham tak apa yang Lees cakap ni? Lees tak fikir tentang uncle ke? Uncle takkan tenang kalau..."
"Lees takkan tenang kalau Lees tak heret pembunuh daddy ke muka pengadilan!"
'Dan daddy takkan tenang selagi lelaki tu tak dapat pembalasan.' Rintihan hati terus bergema menguatkan tekadku.
Cengkaman di bahuku terlerai. Wajah kacak yang tadinya tegang kini berubah riak. Mengalah akhirnya. Tidak lagi cuba menghalang.
"Abang Zi takkan dapat pujuk Lees, kan?"
Aku tersenyum pahit mendengar suaranya yang jelas kalah dengan kedegilanku. Kepala kugeleng perlahan.
"Abang Zi tak dapat halang Lees," ucapnya perlahan. Berbicara dengan diri sendiri. Cuba menerima hakikat itu.
"Kalau Abang Zi tak boleh halang Lees... maknanya Abang Zi kena tolong Lees."
"Tolong Lees, Abang Zi. Please," ucapku mengharap dia mengerti.
Dia menghela nafas berat. Aku pasakkan senyuman manis untuk dia. Tahu dia takkan membiarkan aku sendiri berjuang.
Dengan bantuannya, aku lebih yakin. Dia lebih tahu tentang musuhku. Dia orang kanan daddy. Tentunya lebih tahu rentak permainan pihak lawan.
"I will help you. Tapi..."
"Tapi apa?" soalku laju.
"Lees kena ikut plan Abang Zi. Jangan pandai-pandai sendiri."
"Okey," balasku dengan senyuman mekar di bibir.
Aku tahu aku boleh harapkan dia. Abang yang sentiasa memanjakan aku. Tempat yang selamat untukku berpaut setelah pemergian daddy.
"Budak degil," omelnya masih tidak puas hati. Aku terus tersenyum menyejukkan hatinya yang panas dengan onarku.

ANDA SEDANG MEMBACA
PILU Tanpamu
RomansaAmra Aleesa, puteri yang ditatang di atas dulang emas. Hidup dalam kemewahan. Tak pernah merasa susah. Permergian Dato' Alif tak mudah untuk diterima. Lalu kesumat mula beraja di hati. Pemergian insan tersayang akan dibela. Takkan dibiarkan begitu s...