Part 11

2.2K 52 2
                                    

BISU. Sepanjang perjalanan tiada bicara yang terungkap di antara aku dan dia. Aku tak kuasa berbicara dengan musuhku. Dia pula lelaki yang lebih suka membisu. Lebih senang membiarkan auranya mendominasi suasana. Lalu keheningan beraja.

Aku lebih suka begini. Lagi-lagi selepas dia dengan begitu 'mesra' menyentuh lenganku seperti hak milik dia.

Bengang bila memikirkan dia begitu selamba. Gerun andai kata di kemudian hari dia melakukan lebih dari itu. Baru hari pertama dia sudah begitu berani. Dan aku diminta untuk mengikutnrya sentiasa.

Hari kedua bagaimana pula?!

Aku nanar memikirkan nasibku di tangan dia. Kandang harimau yang berani kujejak nyata mendatangkan bahaya besar buatku.

Aku membiarkan diri tenggelam dalam lamunan sendiri. Sedar-sedar kereta mewah milik dia sudah menjalar di hadapan restoran lima bintang yang selalu aku jejaki suatu ketika dulu.

Dahi berkerut sejenak. Dia tahu? Mengarut! Hanya kebetulan semata. Restoran mewah seperti ini dikenali ramai. Mungkin dia juga suka menikmati makanan di sini.

Dalam aku cuba membuat perkiraan sendiri, lelaki itu sudah membukakan pintu kereta buatku. Aku mengetap bibir pelik dengan layanannya.

Tiada bos besar yang sudi membukakan pintu kereta untuk pembantunya. Aku hanya pembantu bukan kekasih untuk dilayan seperti puteri.

"Let's go," ucapnya seraya menyambar tanganku agar mengikut langkahnya.

Keningku bertaut rapat. Tidak selesa dengan caranya. Tidak juga berani mempersoalkan tindakan bos besar yang tidak memberi ruang untukku membuka mulut.

Aku hanya mampu membiarkan dia menggenggam kemas jemariku. Dadaku berentak resah dengan tingkahnya.

Seumur hidup ini, jemariku belum pernah disentuh lelaki asing. Selain daddy, hanya Abang Zi yang punya peluang untuk menyentuh jemariku. Hubungan adik dan abang tidak membuatkan dadaku berentak hebat begini.

Hari ini bukan hanya jemariku, lenganku juga tercemar dengan sentuhan musuhku!

Aku menjeling geram pada lelaki berwajah serius yang langsung tidak memandang ke arahku. Tak mungkin tidak tahu aku tidak selesa dengan caranya.

Dia terus melangkah kemas melepasi pintu restoran dan aku dipaksa beriringan dengannya. Nafasku turun naik cuba menyaingi langkah panjang lelaki tinggi lampai itu. Lelah!

Dia memilih tempat yang memberikan lebih privasi untuk pelanggan. Kerusi ditarik untukku lalu mengarahkan aku duduk. Dia pula mengambil tempat bertentangan denganku.

Aku menghela nafas lega. Sekurang-kurangnya jemariku sudah terlepas dari genggaman dia. Terasa hangat sentuhannya membahangkan wajahku.

Gila! Kenapa dia begitu selamba? Takkanlah hanya kerana aku PAnya dia boleh melayanku begitu. Terlalu mesra!

Saat ini sepasang mata hitam miliknya melekap kemas pada seraut wajahku. Menambahkan bahang di segenap inci kulit wajahku. Merona merah tanpa dapat kuhalang.

"Panas?" soalnya bersahaja.

Soalan jenis apa ni? Soalan yang mahukan jawapan atau sekadar mahu menduga? Amarah mula membara. Ingin sahaja aku lontarkan kemarahan yang mula marak membakar. Tapi...

Kukunci bibir yang hampir menghamun lelaki itu saat pelayan datang mengambil pesanan. Kemarahan di dada kutanam sedalam yang mungkin.

Aku tidak mampu melawan musuh secara terang-terangan. Perlu berlakon demi mendapatkan kepercayaan dia. Kupujuk hati agar bersabar.

Aku meliarkan pandangan ke segenap inci ruang restoran yang sudah lama tidak kujejaki. Memori semalam begitu indah. Dulu daddy selalu membawaku ke sini. Memanjakan puteri tunggalnya.

Bibir tersenyum pahit saat kenangan lalu mengocak ketenangan tasik hati.

Daddy. Wajah daddy terlayar di mata. Daddy yang sentiasa menunaikan segala keinginanku. Daddy yang memenuhi segenap ruang hidupku. Daddy!

"Puteri daddy kena makan banyak sikit. Kurus sangat tak cantik." Suara lembut daddy bergema mengusik memori yang cuba dilupakan.

"Sekarang tak cantik ke?" duga sang puteri.

"You're the most beautiful thing in my life."

"Daddy ni..." Suara manja sang puteri bergema. Bibir sang puteri memuncung protes. Malu mungkin.

Tanpa sedar air mata bisu mengalir mencemari wajah. Melewati kenangan lama membuat aku tidak berpijak di bumi yang nyata. Kerinduan yang mencengkam buat aku tak mampu mengawal emosi sendiri.

Entah bila jemari kasar milik lelaki itu begitu bersahaja menyeka mutiara jernih yang tumpah. Aku kembali berpijak pada realiti. Kalut menepis jemari yang begitu berani menyentuhku.

"You..."

"Why?" soalnya lembut. Cuba menebak ke ruang hati yang paling dalam.

Wajah serius milik dia berubah riak. Lebih lembut. Seolah memahami apa yang kurasa saat ini.

Memahami? Aku hampir tertawa besar. Bagaimana mungkin musuhku mampu memahami kelukaan yang dipalitkan olehnya? Aku hanya mampu mentertawakan diri. Bodohnya!

Air mata diseka hingga tidak bersisa. Melempar senyum cuba berlagak seperti tiada apa yang berlaku. Dan dia pula tidak terus bertanya. Riak wajah lelaki itu kembali serius seolah riak lembut yang terpamer tadi hanya satu ilusi.

Tidak lama untuk makanan tiba. Melayan perasaan hingga terlupa untuk membuat pesanan pada pelayan tadi.

Aku terkedu melihat hidangan di hadapan mata. Lamb chop! Makanan kegemaranku bila menjejakkan kaki di sini. Selalu daddy akan membuat pesanan untukku. Hanya daddy yang paling tahu tentang puterinya.

Aku tidak membuat sebarang pesanan. Bagaimana pula pelayan ini boleh tahu? Mataku mendarat pada wajah serius lelaki yang duduk bertentang denganku. Tiada riak menyatakan apa-apa.

"You..." Kebetulan? Terlalu banyak kebetulan tentang aku dan dia!

"Kita tak banyak masa. Lepas ni you ikut I jumpa klien."

Aku mengetap bibir menahan diri dari terus bertanya. Hanya fokus pada makanan di hadapan mata. Membiarkan kebisuan sekali lagi beraja di antara aku dan dia.

PILU TanpamuWhere stories live. Discover now