MENIKUS. Tidak ramai yang berani mengangkat wajah. Lebih senang menunduk takut supaya tidak menjadi mangsa panahan mata bos besar yang seperti cuba mencari kesalahan.
Seboleh mungkin masing-masing cuba mengecilkan diri. Mengharap nyawa tidak melayang dengan mudah.
Aku mengetap bibir. Tidak hairanlah syarikat lelaki itu digelar kandang harimau. Ramai yang terkorban di dalam bilik mesyuarat jika laporan yang dibentangkan tidak menepati piawaian yang dikehendaki lelaki itu.
Aku yang berada di sisi lelaki itu turut berpeluh sejuk walau tiada salah yang kulakukan. Suhu di dalam bilik mesyuarat terasa begitu dingin. Hanya Sahil yang kelihatan tenang bagai tiada apa yang pelik.
Terbit simpati di hatiku pada rakan sekerja yang kurang bernasib baik. Lagi-lagi mereka yang mendapat 'teguran' daripada lelaki itu.
Piawaian lelaki itu memang tinggi. Namun disebabkan imbuhan yang diberikan lebih lumayan berbanding syarikat lain, ramai yang datang menyerah diri untuk 'disembelih' lelaki itu.
"Buat semula!"
Suara garau itu bergema lagi. Dan seorang lagi eksekutif syarikat 'terkorban' tanpa mampu melawan."Ba... baik." Eksekutif yang berwajah polos itu hanya mampu menerima nasib malang sendiri. Terpaksa berjaga siang dan malam merombak semula laporan sehingga lelaki itu berpuas hati.
"Am I that bad?" bisik Khaliq rapat di telingaku.
Aku terkebil-kebil tidak mampu membalas. Entah sejak bila dia merapatkan jurang di antara aku dan dia.Aku hanya mampu menghamun diri. Terlalu asyik membuat penilaian hingga tidak sedar lelaki di sisiku merapatkan jurang. Wajahku mula berbahang bila mata-mata yang tadinya fokus ke lantai kini menjadikan aku mangsa mereka.
'Dia ni sengaja nak aku jadi mangsa gosip ke?' Hati membentak geram.
"Am I that bad?" ulangnya mahukan jawapan.
Aku laju menggeleng. Tak mungkin aku mengakui di hadapan dia. Mahunya aku pula yang menjadi mangsa 'sembelihan' dia."Really?" duganya.
Aku mengangguk laju.
"Mungkin I patut lebih keras," bisiknya lagi. Wajahnya sekelip mata berubah lebih serius.
Aku meneguk liur yang terasa berpasir. Lebih keras? Aku tidak mahu menjadi penyebab rakan sekerjaku mendapat layanan yang lebih keras hanya kerana aku cuba menidakkan kenyataan di hadapan mata.
"Erk... I rasa... you dah cukup tegas," balasku. Suaraku begitu perlahan. Hanya untuk pendengaran dia sahaja.
"So, I am that bad, huh?"
Argh, sudah. Macam mana mahu komen ni? Cakap salah. Tak cakap pun salah."You..."
Senyum sinis terpasak di bibir itu. Dia menjarakkan diri. Kembali mencari mangsa 'sembelihan' seterusnya. Masing-masing kembali menunduk takut. Tidak lagi memandang ke arahku dan dia.Aku menghela nafas lega. Selamat!
YOU ARE READING
PILU Tanpamu
RomanceAmra Aleesa, puteri yang ditatang di atas dulang emas. Hidup dalam kemewahan. Tak pernah merasa susah. Permergian Dato' Alif tak mudah untuk diterima. Lalu kesumat mula beraja di hati. Pemergian insan tersayang akan dibela. Takkan dibiarkan begitu s...