SEBAIK kaki melangkah masuk ke bilik lelaki itu, mata mendarat pada sesusuk tubuh tinggi lampai yang terpasak tegak di sudut kiri bilik. Dia tidak berpaling ke arahku. Sebaliknya sibuk melakukan sesuatu.
Mataku mengecil cuba mengamati lebih dekat. Ingin tahu apa yang dilakukannya. Peti besi?!
Semalam tidak pula perasan kewujudan peti besi di dalam bilik dia. Mungkin kerana kedudukan yang terselindung di sudut bilik membuat mata yang meliar tidak dapat menangkap imej itu.
Ruang bilik ini cukup luas. Hanya sekadar meliarkan pandangan tidak dapat menangkap semua rahsia tersembunyi di dalam bilik Khaliq.
Tidak mengapa. Akan muncul peluang untuk aku mengorek segala rahsia lelaki itu. Baru hari kedua aku sudah tahu akan kehadiran peti besi lelaki itu.
Peti besi itu tentu menyimpan barang berharga.
Duit? Atau dokumen sulit? Tangan terasa gatal mahu cuba membuka peti besi itu melihat sendiri isi di dalamnya."Let me see," ucap Khaliq tiba-tiba melangkah kemas ke arahku.
Sekejapan sahaja jurang antara aku dan dia terhapus. Dia menyambar laporan di tanganku seraya melabuhkan punggung di kerusi empuk. Matanya tidak langsung memandang ke arahku. Fokus pada laporan di tangan.
Aku menanti komen Khaliq penuh sabar. Mata sesekali melirik ke arah peti besi yang menarik perhatianku. Akal memikirkan cara untuk membuka peti besi itu.
"Not bad," komennya mengangkat wajah memandangku. "You cepat faham."
Pujiannya tidak berbekas buatku. Jika bukan kerana dia yang menerangkan dengan begitu teliti, masih sukar untukku menyiapkan laporan yang dimahukannya.
"Sebab you sudi terangkan untuk I," balasku dengan senyum nipis di bibir.
"Kalau you tak cepat faham, berbuih mulut I terangkan pun... you takkan dapat siapkan. I terang sekali aje you dah faham. Not bad," ulasnya.
"Thank you," balasku senada.
Mataku mendarat di tangannya yang menarik laci meja. Kunci!"Curious?"
"Hah?" Dahiku berkerut seribu dengan soalan itu. Tidak faham apa yang dimaksudkan.
Dia menayang kunci yang tergantung di jari telunjuknya. Aku memaksa senyum di bibir. Tidak mahu dia curiga tentang niatku.
"Kunci ni... tak ada sesiapa pun patut sentuh. Faham?" Suara garau itu bergema memberi amaran.
Aku hanya mampu mengangguk mengiakan. Senyum di bibir kekal manis."I keluar dulu," ucapku tidak betah terus berlama di situ. Mata hitam yang merenung tajam seperti cuba menebak ke ruang hati yang paling dalam. Sungguh tak selesa!
Sebaik duduk di kerusi sendiri, aku menepuk dahi berkali-kali mengutuk kebodohan diri. Melirik boleh. Jangan sampai mendatangkan curiga!
Nasib baik lelaki itu tidak menuduh yang bukan-bukan. Jika lelaki itu mula berprasangka, aku yakin sekejap sahaja aku berada di sini sebelum dihalau pergi.
"MANA bos you?" Suara ceria milik gadis seksi menampar gegendang telinga.
Aku mengangkat wajah. Bayangan Didi terlayar di mata. Hari ini gincu di bibir itu berwarna oren. Sangat pelik. Namun sesuai pula di wajah ceria itu.
"Keluar," balasku pendek.
"Tak bawak you sekali?" soalnya ingin tahu.
Didi tanpa silu bertenggek di mejaku. Aku berdeham kecil. Kurang selesa dengan caranya yang terlalu mesra."Tak bawak you sekali ke?" ulangnya.
"Tak."
"Ingatkan ke mana aje that hot guy pergi dia akan bawak you sekali."
"Kenapa dia nak bawak I pulak?"
"Sejak semalam dia heret you ikut dia. You jangan ingat kitorang tak ada mata tau. Lunch. Meeting. Mesti nak bawak you."
Aku menahan tawa yang hampir meletus. Over betul! Baru dua hari aku di sini. Bukannya sudah sebulan. Macamlah ke mana sahaja lelaki itu pergi mahu diheret aku sekali.
"You ingat I main-main? That hot guy mesti suka you," tingkah Didi dengan senyum senget di bibir orennya.
"I baru sangat lagi kat sini."
"Yup. You memang baru. Tapi tak ada orang lama kat sini yang that hot guy heret merata tau."
"I PA Encik Khaliq. Sebab tu I kena ikut ke mana dia pergi," balasku menyatakan fungsiku di syarikat ini.
"That hot guy tak pernah ada PA."
Aku tersenyum sumbing. Tak pernah ada bukan bermakna takkan pernah ada. Mungkin lelaki itu tiba-tiba mahu pembantu yang dapat meringankan beban kerjanya."So?"
"Maksudnya you perempuan murah yang pandai menggoda bos you!"
Sergahan yang tidak diundang itu buat amarah memukul dada. Mataku mendarat pada gadis seksi yang dibalut dress kuning sendat. Anna!
Perempuan murah? Tawa sinis bergema di dada. Jika mahu dibandingkan cara pemakaian sahaja sudah dapat membezakan siapa yang murah atau mahal.
Aku tidaklah baik sangat. Tidak bertudung litup. Tidak juga menjaga aurat. Namun pemakaianku tidaklah 'seseksa' gadis seksi di hadapanku ini.
"Jealous ke?" selar Didi membelaku."Kenapa I nak jealous dengan perempuan murah macam dia ni?" tingkah Anna sinis. Wajahnya jelas menunjukkan dia jijik dengan kehadiran 'perempuan murah' di hadapannya.
"Sebab you tak berjaya goda that hot guy. Lees pulak senang-senang aje dapat perhatian. You tunggu bertahun pun that hot guy takkan pandang you," cemuh Didi tidak berlapik.
Aku memicit dahi. Pening mendengar bicara Didi yang cuba membela namun melabelkan aku cuba menggoda bos sendiri.
Menggoda? Itu tidak mungkin terjadi!
"You!" Wajah Anna menyinga marah. Merah matanya memandangku seperti bila-bila masa sahaja akan menerkam ke arahku.
Aku mengeluh berat. Aku tidak bersalah. Kenapa kemarahannya perlu ditujukan padaku?
"Tak betul ke I cakap?" Suara Didi bergema lagi memprovok. Suka melihat wajah merah padam Anna. Jelas tiada hubungan baik di antara mereka berdua.
Aku terus memicit dahi. Mahu menghalau kedua-duanya pergi namun takut tersalah bicara mengundang masalah yang lebih besar.
Sebelum ini ketika Khaliq berada di bilik, tiada pula sesiapa yang berani dekat denganku. Seolah semua staf cuba menjauhkan diri dari melintas di hadapan bilik lelaki itu. Bila Khaliq tiada berani pula mereka muncul.
"You nak bela perempuan murah ni ke?!" Suara Anna begitu lantang mampu didengar staf-staf lain yang sedang mencuri dengar pertelingkahan yang berlaku.
"So, what?!"
"Ada masalah ke?"
Suara garau milik Khaliq kedengaran begitu dingin menampar pendengaran. Suasana sekelip mata berubah sepi. Hening. Tiada siapa berani bersuara.Sepasang mata hitam milik lelaki itu mendarat pada Anna. Mempersoalkan mulut yang begitu lantang berbicara. Anna hanya mampu menunduk lemah.
"Get back to work!"
Arahan yang bergema buat mereka yang mengganggu kerjaku dengan pantas menghilangkan diri. Anna dan Didi. Sekelip mata bayangan mereka tidak lagi kelihatan. Sepantas kilat!
Aku hampir memuji lelaki itu. Kagum dengan caranya. Begitu mudah menghalau mereka pergi. Itu sudah cukup membuktikan lelaki itu merupakan majikan yang cukup dihormati dan digeruni.
"Am I that handsome?"
Soalan itu buat aku terkebil-kebil. Tidak sedar sejak bila aku memandangnya tanpa berkelip. Merenung tanpa silu.Argh, bodohnya! Darah terasa naik ke muka. Hangat membahang. Malu dengan kebodohan diri. Merenung terlalu asyik.
"I don't mind," ucapnya dengan senyum sinis di bibir. Sekejapan bayangan lelaki itu sudah menghilang di dalam bilik.
'Stupid, Lees!' Aku hanya mampu mengutuk diri. 'Stupid. Stupid. Stupid!'
YOU ARE READING
PILU Tanpamu
RomanceAmra Aleesa, puteri yang ditatang di atas dulang emas. Hidup dalam kemewahan. Tak pernah merasa susah. Permergian Dato' Alif tak mudah untuk diterima. Lalu kesumat mula beraja di hati. Pemergian insan tersayang akan dibela. Takkan dibiarkan begitu s...