AKU menanti di ruang menunggu. Hari pertama bekerja. Dan sekejap lagi tentunya aku akan dibawa bertemu lelaki itu. Pertemuan kali kedua. Majikan dan pekerja.
Rasa gementar tiba-tiba menjentik. Kuketap bibir cuba membuang rasa yang hadir. Ingin kelihatan tenang. Lagi-lagi kala mata-mata yang melihat melirik ke arahku dengan tanda tanya besar di kepala masing-masing.
"Siapa tu?"
Suara lantang seorang gadis menerpa gegendang telingaku. Soalan berkenaan aku yang ditujukan kepada penyambut tetamu yang tersenyum simpul. Mungkin kerana soalan itu begitu lantang tanpa cuba dikawal.
"Personal assistant siapa?"
Makin lantang suara gadis yang bertanya tadi buat mataku tertancap pada sesusuk tubuh yang tersarung kemeja tidak berlengan dipadankan dengan skirt hitam pendek. Seksi.
"Encik Khaliq?" Nada si gadis seperti terkejut. Bagai tidak percaya apa yang dibisikkan penyambut tetamu itu kepadanya.
Gadis seksi itu berpaling ke arahku. Mata aku dan dia beradu. Memerhati dan menilik. Seperti cuba menilai kelebihan dan kelemahan masing-masing.
Aku tiada niat mahu mencari musuh. Tetapi bila berhadapan dengan gadis yang tidak cuba menjaga adab, aku juga tidak punya sebab untuk berlagak baik.
Gadis seksi itu menghampiriku. Senyum sinis terpamer di bibir. Tangan dihulur dan aku tidak teragak-agak menyambutnya.
"Anna."
"Aleesa."
"You're so lucky," ucap gadis itu jelas tidak senang kehadiranku.
Baru hari pertama dan aku sudah punya musuh tanpa dipinta. Peminat lelaki itu agaknya.
"Am I?" soalku lembut. Jika aku begitu bertuah, aku takkan berada di sini. Daddy takkan membenarkan aku memijakkan kaki di syarikat lain.
"Of course. So lucky," balas Anna tersenyum lebar seraya menguatkan genggaman tangannya hingga dahiku berkerut menahan sakit yang menjerut.
Aku baru sahaja ingin bertindak meleraikan genggaman tangan itu kala namaku dipanggil gadis bertudung litup yang menyambutku semalam.
"Cik Aleesa... ikut I. I tunjuk tempat you. Lepas tu you boleh jumpa Encik Khaliq."
Lembut suara gadis bertudung litup itu. Lela. Nama pun kedengaran lembut di telinga. Aku lemparkan senyum menutup debar yang hadir kala mendengar nama lelaki itu.
Tangan yang masih di dalam genggaman Anna kurentap kasar lalu membuntuti langkah Lela tanpa banyak bicara.
Aku menarik nafas dalam-dalam menjemput ketenangan cuba membuang debar di dada. Setiap langkah yang kuatur semakin mendekatkan jarak aku dan lelaki itu. Membuat aku resah sendiri.
Aku tersenyum sinis. Mengundur bukan pilihan. Aku hanya mampu maju ke hadapan. Biarkan masa yang menentukan siapa yang akan terkorban. Aku atau dia?
YOU ARE READING
PILU Tanpamu
RomanceAmra Aleesa, puteri yang ditatang di atas dulang emas. Hidup dalam kemewahan. Tak pernah merasa susah. Permergian Dato' Alif tak mudah untuk diterima. Lalu kesumat mula beraja di hati. Pemergian insan tersayang akan dibela. Takkan dibiarkan begitu s...