BAB 2

1.7K 32 0
                                    

JULIANA tersenyum melihat Zafran yang makin menghampiri. Penampilan lelaki itu kelihatan santai tetapi tetap kacak di mata Juliana. Beberapa pasang mata anak dara yang berada di sekitar KFC Teluk Cempedak itu mengerling ke arah Zafran. Mana taknya, lelaki kacak sedang tersenyum manis membuatkan Juliana terasa bangga berdampingan dengan Zafran.

"Lama dah awak sampai?" soal Zafran sambil melabuhkan punggung di hadapan Juliana yang kelihatan cantik dengan memakai blaus lengan pendek yang agak sendat dengan saiz gadis itu. Rambutnya yang lurus dibiarkan berterbangan ditiup angin pantai yang sepoi-sepoi bahasa.

"Tak lama mana, baru 15 minit. Kenapa lambat?" tanya Juliana lembut.

"Saya tertidur tadi penat buat assignment. Nasib baik abang saya kejutkan kalau tak memang saya terlepas dari jumpa awak," bohong Zafran.

"Awak buat assignment? Bukan ke selama ni Wardah ke selalu tolong awak buat assignment, kenapa awak tak minta tolong dia?" soal Juliana membangkitkan soal Wardah.

Zafran mengeluh. Kenapalah dia selalu sahaja dikaitkan dengan Wardah?

"Saya tak nak susahkan dia dan untuk pengetahuan awak, Wardah cuma tolong aje tapi saya yang buat assignment saya sendiri tau. Saya tak nak awak anggap saya ni lelaki yang tak berguna pula," ujar Zafran. Dia meminum air Pepsi yang dibelikan oleh Juliana buatnya.

"Yalah, saya tahu kerja awak adalah hasil awak sendiri. Tapi saya tengok awak rapat sangat dengan Wardah, ada apa-apa ke?"

"Ada apa-apa maksud awak?" Dahi Zafran berkerut.

"Awak suka dia ke?"

Serentak, Zafran tersedak. Habis air yang diminumnya terkeluar balik. Nasib baik tak tersembur ke muka Juliana yang cantik tu, kalau tak ada peluang dia dapat penampar berganda daripada Juliana.

"Awak ni kalau ya pun janganlah sampai tersembur macam tu. Malulah orang tengok," rengek Juliana dengan muka tak puas hati. Dia merengus sambil berpaling ke kiri dan kanan bagi memastikan tiada sesiapa yang memerhatikan mereka saat ini.

Zafran mengelap mulutnya dengan tisu. Eh, minah ni aku tengah tersedak bukannya dia nak tolong, makin membebel adalah. Macam ni ke nak jadi bakal isteri? Reject!

"Saya tak sengajalah, awak. Dah awak asyik sebut nama Wardah mana saya tak tersedak. Lain kali kalau saya jumpa awak jangan awak sebut nama perempuan lain, okey?" ucap Zafran mendatar.

"Yalah saya janji tak sebut lagi." Juliana mengangkat tangan seolah-olah bersumpah. Zafran hanya tersenyum nipis.

"Awak dah siapkan laporan aktiviti Kursus Perintis Siswa tu? Esok kita nak adakan mesyuarat, nanti banyak pula yang tertangguh." Zafran mengalih topik perbincangan.

"Alah, awak ni pasal meeting kita bincang kat kolejlah. Sekarang kita bincang benda lain pula." Suara Juliana kedengaran manja sambil mengerdipkan matanya pada Zafran.

Dahi Zafran berkedut seribu. Lain macam aje bunyi minah ni, detik hati Zafran.

"Kita nak bincang apa lagi? Awak cakap awak nak bincang pasal aktiviti tu dengan saya." Zafran mula kehairanan.

Juliana tersenyum menggoda. Perlahan-lahan dia mencapai tangan Zafran membuatkan Zafran mula tidak berasa selesa namun dia hanya membiarkan. Hah, ulat bulu dah naik daun!

"Kita bincang pasal kitalah. About us," ucap Juliana masih berkias.

"Pasal kita? Pasal apa?" Zafran berpura-pura tak tahu.

Aduh, perempuan ni mula nak cakap pasal cintalah ni. Aku memang naik muak bila asyik tanya pasal cinta. Ya Allah, tolonglah aku lepas untuk kali ini. Zafran berdoa dalam hati.

INGKAR CINTAWhere stories live. Discover now