BAB 3

1.4K 27 0
                                    

ZAHIRUL melangkah masuk ke kelas dengan penuh semangat. Dia tersenyum melihat pelajarnya yang sudah memenuhi tempat duduk di dalam kelas pagi itu. Dia terpandang pada Wardah yang duduk di meja di hadapan kelas. Dia tersenyum. gadis itu tidak pernah lewat untuk ke kelasnya berbanding dengan Zafran yang selalu lambat ke kelasnya.

"Assalamualaikum semua?" Zahirul memberi salam. Dia duduk di meja pensyarah yang berada di hadapan kelas.

Serentak semua pelajar menjawab salam yang diberikan. Zahirul memandang ke serata kelas. Dia menggelengkan kepala apabila kelibat adiknya tidak kelihatan. Sah, bangun lambat lagi.

Wardah memandang ke belakang kelas. Kelibat Zafran tidak kelihatan. Tak datang ke mamat ni? soal Wardah dalam hati. Dia kembali memandang pada wajah Zahirul yang kelihatan kacak dengan kemeja berwarna hitam sesuai dengan kulit lelaki itu yang putih kemerahan. Kacaklah pula dia ni, bisik hati kecil Wardah nakal.

"Siapa yang tak datang lagi?" tanya Zahirul sambil memeriksa kedatangan yang telah siap ditandatangani oleh pelajar-pelajarnya.

"Zafran, Encik Zahirul..." ujar Wardah.

Zahirul hanya tersenyum. Apa nak jadilah dengan adik aku sorang ni. Keluar malam sampai tak ingat nak balik rumah. Memang nak kena dia ni. Namun, tidak lama kemudian kelihatan Zafran membuka pintu kelas sambil tersengih-sengih pada Zahirul.

"Dah lupa nak bagi salam ke?" perli Zahirul sengaja mengenakan adiknya yang kelihatan kalut.

Zafran menyeringai.

"Assalamualaikum..." ucap Zafran. Kedengaran pelajar-pelajar lain ketawa. Dia membuang pandangan pada Wardah yang hanya tersenyum. Abang ni buat malu aku aje, bebel Zafran dalam hati.

"Waalaikumussalam, dah awak boleh duduk. Lain kali jangan datang lambat. Saya tak suka pelajar saya datang lambat," ujar Zahirul ditujukan khas untuk adik kesayangannya itu.

"Baik, Encik Zahirul..." balas Zafran. Dia malas nak bertekak dengan abangnya itu lagipun sebagai pelajar dia harus menghormati Zahirul yang merupakan pensyarahnya walaupun Zahirul itu adalah abang kandungnya. Dia cuba bersikap profesional bila berada di dalam kelas.

"Okey. Saya akan pulangkan balik markah test kamu semua dan seperti biasa Wardah, tahniah awak dapat 100 markah," ucap Zahirul dengan senyuman manis dilemparkan pada Wardah yang manis bertudung hijau.

Wardah tersenyum girang. Dia menyambut huluran kertas ujiannya daripada tangan Zahirul.

"Dan seperti biasa Ahmad Zafran Wazien, awak dapat markah yang kedua terendah. Tapi tak mengapa, boleh diperbaiki lagi sementara masih ada waktu sebelum final," ujar Zahirul. Dia menggelengkan kepala pada saat Zafran mengambil kertas ujian daripada tangannya.

Zafran hanya menundukkan kepala. Malu juga dia pada abangnya itu. Apa tidaknya, abangnya seorang pensyarah undang-undang, tetapi dia sering kali gagal dalam ujian yang dijalankan. Hai, apalah aku nak buat? Nampaknya kena rebus buku teks lepas tu minum. Mungkin cara ini lebih mujarab, desis hati kecil Zafran.

"Okey kita teruskan sambung pelajaran kita yang lepas."

Setelah hampir satu jam setengah mengajar. Kelas bersurai. Zahirul melihat adiknya mula mengorak langkah untuk keluar kelas.

"Zaf dan Wardah tolong tunggu sekejap. Saya nak jumpa kamu berdua," ujar Zahirul membuatkan langkah Wardah terhenti. Dia melangkah menghampiri Zahirul yang duduk di meja pensyarah.

"Ada apa Encik Zahirul nak jumpa saya dan Zaf?" soal Wardah lembut.

Kelihatan Zafran menghampiri Wardah dan Zahirul. Kali ni mesti aku kena dengan abang. Aduhai, keluh hatinya.

INGKAR CINTAWhere stories live. Discover now