WARDAH melambaikan tangan pada sahabat-sahabatnya yang sedang mengorak langkah ke arahnya. Dia melemparkan senyuman dan menggamit Athira dan Amira yang tersengih-sengih seperti kerang busuk. Namun, tiba-tiba pandangannya terpaku pada seseorang yang berjalan di belakang Athira dan Amira. Dia lagi! Hati Wardah menjerit.
Zap! Bagaikan terkena kejutan elektrik, jantung Wardah berlari kencang saat Emir membalas pandangannya dengan senyuman manis terukir di bibir lelaki itu. Wardah dapat rasakan seperti hatinya cair dengan pandangan Emir yang redup. Kenapa aku asyik terserempak aje dengan dia? Adakah ini petunjuk yang dia jodoh aku? bisik hati Wardah. Nakal!
"Assalamualaikum, Ada, kau ni dah kenapa? macam orang tak siuman aje aku tengok. Kau pandang siapa tu?" soal Athira sambil berpaling ke belakang.
"Waalaikumussalam, hesy tak ada siapa-siapalah. Kau ni menyibuk aje..." balas Wardah sambil matanya masih melirik ke arah Emir yang duduk bertentangan dengannya.
"Lama ke kau tunggu kita orang ni?" soal Amira sambil melabuhkan duduk di hadapan Wardah. Diikuti oleh Athira.
"Taklah lama mana. Aku pun baru habis kelas Encik Zahirul ni..." ujar Wardah sambil tersengih apabila melihat teman-temannya sudah mencebik.
"Handsome tak Encik Zahirul hari ni?" soal Athira kegatalan. Dia tersengih-sengih.
Namun, belum sempat Wardah membalas, perbualan mereka diganggu oleh pelayan yang mahu mengambil pesanan. Selepas memesan makanan, mereka kembali menyambung perbualan.
"Well, Encik Zahirul kau orang berdua tu memang sentiasa kacak tetapi hari ini dia buat sengal dengan aku..."
"Apa yang dia buat?" pintas Athira pantas.
"Kau ni pun tunggulah aku habis cakap dulu. Dia minta aku jadi tutor untuk adik dia tu..." balas Wardah sambil mengacau-ngacau straw yang berada di dalam gelas.
"Tutor?" soal Amira dan Athira hampir serentak. Mereka berpandangan. Kemudian mereka ketawa serentak.
"Apa yang kau orang gelak sangat tu?" tanya Wardah tidak berpuas hati.
"Gila kami tak gelak, Ada? Kau tak perasan ke yang Encik Zahirul tu sengaja nak dekatkan kau dengan adik dia? Entah-entah dia dah berkenan nak jadikan kau tu adik ipar dia kut..." usik Amira disambut gelak oleh Athira yang terkekek-kekek ketawa.
"Seronoknya kau orang gelakkan aku, sekali aku sumpah jadi sesumpah baru kau tahu langit tu tinggi atau rendah," balas Wardah geram. Dia mengetap bibir. Satu jelingan dilemparkan pada Athira dan Amira yang masih lagi mengekek ketawa.
"Aik, makin sensitif lagi aku tengok bila kita orang sebut pasal Zaf, kalau tak suka kenapa nak terasa? Tak gitu, Mira?" giat Athira lagi disambut dengan anggukan daripada Amira.
Wardah dapat rasakan wajahnya berbahang. Dia menepuk dahi. Makin pening dengan perangai kawan-kawannya yang asyik mengusiknya dengan Zafran. Kenapalah aku asyik kena gosip dengan Zaf aje? Eh bukan taste akulah muka macam tu, bentak hati Wardah.
"Dah memang aku tak suka nak buat macam mana? Dia bukan taste akulah. Taste aku macam tu..." ucap Wardah sambil menjuihkan bibirnya ke belakang.
Athira dan Amira memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Wardah. Seorang lelaki memakai jaket berwarna hitam sedang berbual dengan kawan-kawannya. Athira dan Amira terpaku melihat wajah lelaki tersebut kemudian dia memandang pada Wardah yang sedang menongkat dagu sambil memandang wajah lelaki tersebut dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.
"Mak ai, selera kau Ada. Handsome betul mamat tu. Siapa dia?" soal Athira sambil mengangkat-angkat kening.
"Entah. Aku tak kenal pun tapi aku tahu dia seorang lelaki yang hebat. Handsome dia bukan terletak pada wajah semata-mata tapi ilmu dia yang buatkan dia tambah handsome di mata aku," ujar Wardah sambil tersenyum penuh makna.

YOU ARE READING
INGKAR CINTA
قصص عامةTajuk: Ingkar Cinta Penulis: Siti Khadijah Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-23-6 Harga: RM27.00 (Semenanjung) // RM30.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Penulisan2u DAPATKAN SEGERA MELALUI APLIKASI KARYASENI DI GOOGLE PLAY ATAU APP STORE ANDA...