BAB 10

1.1K 23 0
                                    

Saat lakonan dirasakan satu kenyataan, getarannya mampu menggoncang perasaan.

SILING bilik tidurnya direnung kosong. Sesekali bibirnya akan mengukir senyuman manis. Kadangkala dia akan tergelak kecil. Entah apa yang bermain dalam fikirannya saat ini. Fikirannya asyik teringatkan gadis itu.

"Memang ramai perempuan yang nak jadi kekasih aku, tapi gadis sebelah aku ni, tak nak pula."

Zafran tergelak sendiri apabila teringatkan kata-kata yang diucapkan pada Wardah pagi tadi di hadapan Amira dan Athira. Masih lekat dalam ingatan Zafran wajah merah Wardah yang tersedak kerana mendengar kata-katanya. Sungguh, Zafran pun tidak tahu bagaimana mulutnya boleh terlepas cakap begitu padahal sebelum ini dia tidak pernah bersikap seperti itu dengan Wardah.

Memang benar Wardah dan dia bersahabat sejak kecil lagi memandangkan mereka berjiran dan bersekolah di sekolah yang sama. Tetapi Zafran tidak pernah menyimpan apa-apa perasaan pada Wardah kerana baginya Wardah adalah sahabat dan mungkin Wardah pun sama dengannya. Sejak kecil lagi Wardah amat baik dengan Zafran, pantang jika ada sesiapa yang ingin membuli, pasti Wardah orang yang pertama akan melindunginya. Zafran tersenyum mengenangkan zaman kecilnya dengan Wardah.

Kadangkala Zafran rasa pelik setiap jalan hidupnya pasti akan berkaitan dengan Wardah seolah-olah takdir hidupnya tertulis bersama dengan Wardah walaupun bukan itu yang dia inginkan. Tengoklah, ketika dia menerima tawaran menyambung pelajaran di IKIP International College dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia di Kuantan, Wardah turut mendapat tawaran yang sama. Satu kursus pula tu.

Kini, mereka berada di tahun terakhir dan sikap prihatin Wardah masih tidak berubah. Apabila ada ujian bulanan, kuiz atau tugasan, gadis itu terlebih dahulu mengingatkannya. Zafran keliru apa yang Wardah fikirkan. Adakah gadis itu menyukainya?

Jika Wardah menyukainya, adakah dia turut menyukai Wardah? Zafran meraup wajahnya. Teringat kembali pertaruhan antara dia dan Riduan untuk mendapatkan Wardah. Adakah dia mampu mendapatkan Wardah sekali gus menang dalam pertaruhan itu atau dia sendiri akan tersungkur? Ada kalanya Zafran rasa seperti orang bodoh kerana menyahut cabaran Riduan sedangkan Wardah adalah kawannya sendiri. Tetapi apa yang telah dilakukan tidak boleh ditarik balik dan sekarang dia mula dihimpit pelbagai rasa.

"Mungkin aku boleh batalkan pertaruhan antara aku dan Duan tapi..." Kata-kata Zafran mati di situ.

"Kalau kau menang pertaruhan ni, kau akan dapat RM1000 dan memang aku respect kau sebagai kasanova yang serba boleh. Lagi tinggilah saham kau, Z." Suara Riduan terngiang-ngiang seolah menghasut.

"Seribu ringgit, mana ada orang nak kasi duit suka-suka macam tu. Ayah pun bagi aku lima ratus aje tiap-tiap bulan. Kalau dapat duit ni boleh juga aku enjoy. Tapi macam mana dengan Wardah?" Dia mula menyoal diri sendiri.

Persetanlah dengan Warda, Zaf, yang penting sekarang duit. Siapa nak bagi kau duit? Setakat ayah kau bagi lima ratus aje sebulan, lekat celah gigi aje duit tu. Lebih baik kau cari duit lebih. Bukannya kau rosakkan Si Wardah tu, cuma kau bertaruh untuk dapatkan dia aje. Bukan luak pun. Suara itu menghasut lagi.

"Betul juga. Bukan aku nak sentuh dia pun, cuma berlakon sukakan dia. Lepas aku cakap kat Duan yang aku dah dapat dia, aku terangkan pada dia dengan baik tak pun aku rahsiakan aje terus." Zafran menjawab suara hatinya. Dia bermain dengan jari-jemarinya sendiri. Cuba menimbal balik keputusan yang diambil.

Zafran tersengih sendirian. Keputusan telah dibuat, dia akan meneruskan pertaruhan itu. Bukan namanya anak jantan kalau cabaran tidak disahut, tekad Zafran. Buat seketika wajah Wardah hilang daripada ingatan yang ada hanyalah bayangan duit yang bertaburan. Dia dapat rasakan yang Wardah sudah hampir ke dalam genggaman.

INGKAR CINTATempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang