MATA Wardah melilau mencari meja Zahirul di dalam bilik pensyarah. Terkejut juga Wardah tadi sebaik sahaja tamat kelas Pengurusan Sumber Manusia, dia mendapat mesej daripada Zahirul supaya berjumpanya di pejabat. Entah apalah yang abang Zafran nak daripada Wardah.
Wardah melemparkan senyuman manis saat matanya berlaga dengan anak mata Zahirul. Dari jauh kelihatan lelaki itu tersenyum manis. Nampak kacak dengan kemeja lengan panjang berwarna biru laut dan bersluar slack berwarna hitam. Adik dengan abang, sama saja kacaknya. Patutlah Athira dengan Amira hampir gila bayang dengan pensyarah muda ni. Sempat lagi hati Wardah mengomel.
"Assalamualaikum, Encik Zahirul nak jumpa saya?" sapa Wardah sambil berdiri di hadapan meja Zahirul. Senyuman ikhlas dilemparkan.
Zahirul membalas senyuman Wardah yang manis. Dalam hati dia turut tercuit melihat keayuan wajah Wardah yang kelihatan sopan dengan baju kurung cotton berwarna pink lembut dan dipadankan dengan tudung yang turut berwarna pink.
"Waalaikumussalam, Wardah. Haah, memang saya nak jumpa awak. Awak sibuk ke?" soal Zahirul lagi.
Wardah menggelengkan kepala. Dalam hati dia terasa berdebar. Kenapa agaknya Encik Zahirul nak jumpa aku? Entah-entah markah kuiz aku teruk kut. Hatinya mula meneka perkara yang bukan-bukan.
"Kalau macam tu, jemputlah duduk," pelawa Zahirul. Wardah hanya menurut.
"Ada apa, encik? Encik buat saya berdebar aje..." Wardah berterus terang. Bulat matanya memandang wajah Zahirul yang tenang mengukir senyuman.
Zahirul ketawa kecil melihat tingkah Wardah yang sedikit gelabah. Dia menggelengkan kepala.
"Kenapa encik geleng? Apa yang tak betul?" tanya Wardah selamba. Akibat rasa berdebar, dia menjadi seorang yang kelam-kabut. Dia mengerutkan dahi apabila terdengar bunyi ketawa yang terbit dari celah bibir Zahirul.
"Awak ni Wardah, tunggulah saya habis cakap dulu..." Zahirul mula bersuara. Wardah terdiam dan menunggu bicara seterusnya daripada Zahirul.
"Saya nak cakap pasal markah kuiz..."
"Kenapa dengan markah kuiz saya, encik? Saya tak lulus ke? Tapi untuk soalan tempoh hari, saya boleh jawab. Macam mana saya boleh tak lulus, encik?" soal Wardah bertubi-tubi. Dia pasti gelabah jika pensyarah menyebut tentang markah kuiz. Risau betul dia.
Zahirul menepuk dahi. Isy, dia ni, tadi aku dah cakap jangan potong cakap aku tapi dia potong juga. Kadang-kadang aku tengok dia ni comel juga, bisik hati Zahirul.
"Memanglah saya nak bincang pasal markah kuiz tapi bukan markah kuiz awak. Markah kuiz adik saya," terang Zahirul akhirnya. Nampaknya dia tak boleh menggunakan mukadimah yang panjang bila berbual dengan Wardah, gadis itu suka salah sangka.
Wardah menarik nafas lega.
"Alhamdulillah... Saya ingat apalah tadi..." Wardah mengurut dada tapi tiba-tiba...
"Hah? Kejap... Encik nak bincang markah Zafran? Apa kaitan dengan saya?" soal Wardah masih dengan kelam-kabut menjadikan suaranya sedikit meninggi. Matanya kembali membulat.
Zahirul tergelak kecil. Dia menyandarkan belakang badannya di kerusi sambil matanya terus merenung anak mata Wardah yang masih membulat.
"Memang ada kaitan dengan awak pun. Awak tahu tak?"
"Tak tahu..." potong Wardah cukup bersahaja membuatkan Zahirul tergelak lagi.
"Wardah, cuba awak diam sekejap biar saya cakap sampai habis, faham?" Zahirul terpaksa bercakap seperti berada di dalam kelas bagi mengelak Wardah memotong percakapannya.
YOU ARE READING
INGKAR CINTA
General FictionTajuk: Ingkar Cinta Penulis: Siti Khadijah Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-23-6 Harga: RM27.00 (Semenanjung) // RM30.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Penulisan2u DAPATKAN SEGERA MELALUI APLIKASI KARYASENI DI GOOGLE PLAY ATAU APP STORE ANDA...