"SEMUA pelajar diminta untuk berkumpul di depan saya sekarang juga!" laung Zafran dengan menggunakan pembesar suara.
Sebaik sahaja mendengar pengumuman daripada Zafran, seramai 100 orang pelajar semester satu berkumpul berhadapan Zafran. Manakala, fasilitator-fasilitator menjadi pemerhati dari belakang. Mereka juga menanti arahan daripada Zafran selaku ketua fasilitator.
"Handsomenya senior kita ni..." bisik seorang pelajar junior yang berdiri tidak jauh daripada Wardah.
"Haahlah. handsome gila macam hero Korea. Tak lena aku tidur kalau macam ni..." balas kawan gadis tersebut. Kemudian mereka ketawa kecil.
Wardah hanya tersenyum sendirian. Siapa yang tidak mengkagumi rupa paras yang dikurniakan oleh Allah kepada Zafran, malah ramai gadis yang ingin mendampingi dan menjadi buah hati lelaki itu tapi sayangnya, kelemahan wanita itu digunakan oleh Zafran untuk mempermainkan perasaan perempuan. Apabila ditanya mengapa, pasti pelbagai jawapan yang diberikan oleh Zafran. Sudahnya, Wardah hanya mampu menggelengkan kepala.
"Lepas ini saya bagi masa untuk kamu semua kemas barang-barang kamu. Kamu boleh ke khemah mengikut kumpulan yang telah diberikan. Lepas 20 minit, kamu semua harus berkumpul di sini semula. Nanti saya akan berikan kumpulan dan fasilitator untuk memantau kamu semua sepanjang Kursus Perintis Siswa ini dijalankan. Faham?" ujar Zafran lagi.
"Faham!" jerit mereka serentak.
Sebaik sahaja Zafran selesai memberi arahan, semua pelajar beredar ke khemah masing-masing.
"Fasi-fasi semua, sila berkumpul dekat saya sekejap..." panggil Zafran sambil menggamit rakan-rakan untuk mendekatinya.
Mereka berkumpul dalam satu bulatan. Wardah hanya mengikut dan berdiri di sebelah Hafizah. Manakala, Juliana dengan pantas mengambil tempat di sebelah Zafran. Sempat lagi dia menjeling tajam pada Wardah. Wardah hanya mencebik. Macamlah aku hadap sangat nak berdiri sebelah Zafran, bebel hatinya.
"Baiklah, semua dah ada. Kejap lagi saya akan bahagikan kamu mengikut kumpulan. Memandangkan pelajar kita ramai semester ini jadi saya terpaksa pecahkan dalam sepuluh kumpulan. Satu kumpulan ada sepuluh orang. Jadi setiap satu kumpulan akan dijaga oleh dua fasilitator. Berkenaan aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan dalam tempoh kursus ini, kita serahkan pada pihak Dejavu Rangers cuma aktiviti hari terakhir saja kita yang uruskan." Zafran memberi taklimat.
Semua fasilitator mengangguk tanda faham dengan apa yang Zafran sampaikan. Namun, Hafizah mengangkat tangan.
"Ada apa, Fizah?"
"Apa aktiviti hari terakhir tu?" soal Hafizah.
Wardah pun ingin tahu. Dia memandang wajah Zafran menanti jawapan daripada ketua fasilitator itu. Namun, dengan pantas dia menundukkan pandangannya saat Zafran membalas pandangannya dengan senyuman. Hati Wardah berdenyut laju. Dia tidak suka dengan pandangan Zafran itu.
"Kita akan adakan pertandingan memasak antara kumpulan. Siapa yang menang kita bagilah hadiah atau hamper sikit. Barulah mereka seronok sikit kalau dapat hadiah. Tapi untuk makluman kamu semua, setiap aktiviti yang dilakukan, semua fasilitator kena turut serta jikalau pihak Dejavu Rangers nak fasilitator terlibat sama," terang Zafran.
Wardah mengeluh. Ini yang dia tidak suka. Aktiviti air, memanjat, flying fox segala bagai. Bukan dalam bidangnya. Dia memang bukan seorang yang lasak malah dia tidak gemarkan aktiviti-aktiviti yang melibatkan percampuran antara lelaki dan perempuan.
"Kenapa, Wardah? Kau ada masalah dengan apa yang aku cakapkan?" soal Zafran. Fokusnya tertumpu pada Wardah yang kelihatan tidak senang duduk dengan pertanyaannya.
YOU ARE READING
INGKAR CINTA
Genel KurguTajuk: Ingkar Cinta Penulis: Siti Khadijah Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-23-6 Harga: RM27.00 (Semenanjung) // RM30.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Penulisan2u DAPATKAN SEGERA MELALUI APLIKASI KARYASENI DI GOOGLE PLAY ATAU APP STORE ANDA...