BAB 9

1.1K 24 0
                                    

ZAFRAN tenang sambil duduk bersandar di kerusi dalam kelas Tasawwur Islam pagi itu. Dia melemparkan pandangan ke arah gadis manis berjubah labuh yang sedang asyik berbincang dengan sahabat-sahabatnya tanpa menyedari dirinya menjadi perhatian Zafran. Zafran tersenyum bila gadis itu tersenyum seolah-olah ada magnet sehingga dia turut terjebak sama dalam senyuman itu walaupun gadis itu tidak senyum padanya.

Tanpa Zafran sedari perbuatannya diperhatikan oleh Juliana. Gadis itu mengetap bibir, sakit hati dengan sikap Zafran. Sejak pertengkaran tempoh hari, Zafran sudah mula mengelak untuk bertemu dengannya. Bila dia mengajak, ada saja alasan Zafran, malaslah, nak belajarlah. Padahal sebelum ini boleh saja lelaki itu keluar dengannya. Ini pasti ada kaitan dengan perempuan tu! cebik Juliana dengan hati yang mendidih.

"Assalamualaikum." Bunyi suara dari arah pintu yang terkuak membuatkan semua pelajar di dalam kelas tersebut terdiam. Mereka mengambil tempat masing- masing. Zafran membetulkan duduknya sambil mata difokuskan pada Ustaz Fazli yang berdiri di tengah kelas selepas meletakkan buku dan komputer riba di atas meja pensyarah.

"Waalaikumussalam, ustaz..." jawab mereka hampir serentak.

"Okey, hari ni kita masuk bab baru, kan? Bab apa?" soal Ustaz Fazli dengan senyuman.

"Bab lima. Wanita dan Islam, ustaz," balas Hafiza yang duduk di tepi Amira.

"Yup, hari ni kita ada presentation, kan? Grup mana, ya?" soal Ustaz Fazli lagi sambil melilau matanya memandang ke belakang kelas. Kira pelajar kut.

"Grup kami, ustaz..." sahut Wardah. Ustaz Fazli tersenyum.

"Baiklah, sebelum kita mulakan presentation, ustaz nak cakap sikit. Memandangkan tajuk yang kita akan bincangkan hari ni agak menarik jadi saya nak setiap seorang sediakan satu soalan untuk ditanyakan pada kawan kita yang akan bentang. Setiap soalan itu saya akan berikan markah, okey?" ujar Ustaz Fazli dengan senyuman yang tak pernah lekang di bibirnya.

Kedengaran pelajar-pelajar mengeluh. Apa taknya, kena tanya soalan. Itulah perkara yang paling malas untuk mereka lakukan. Manakala, kumpulan Wardah sudah berdebar-debar dengan arahan Ustaz Fazli. Belum pernah Ustaz Fazli buat sesi soal jawab dengan mereka begini, paling tak bila ada soalan, Ustaz Fazli sendiri yang jawab.

"Okey, Wardah. Awak boleh mulakan," arah Ustaz Fazli. Dia mengambil tempat di belakang kelas untuk melihat dan mendengar pembentangan itu dengan jelas.

Jantung Wardah mula berdebar-debar. Bukan tak pernah buat pembentangan tetapi kali ini dia rasa gabra. Dia takut apa yang disampaikan tidak mencapai piawaian Ustaz Fazli. Apa-apa pun redah ajelah Wardah, bisik hatinya.

"Assalamualaikum semua, hari ni saya Nur Wardah Zahra, ini Nurul Athira dan sebelah sana Noor Amira Haiza. Wanita dan Islam tajuk pembentangan kami hari ini." Wardah memulakan bicara. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum menghembuskannya dengan lembut. Dia tersenyum pada Amira dan Athira.

"Sebelum memanjangkan perbincangan, saya rasa semua yang ada di sini tahu apa makna wanita, kan? Wanita menurut Kamus Dewan adalah lawan kata bagi lelaki jadi tak perlulah saya terangkan lebih lanjut. Apa yang saya ingin terangkan adalah berkaitan dengan wanita sebelum kedatangan Islam." Wardah menelan liur sebelum menyambung.

"Rata-rata semua agama sebelum kedatangan Islam berpendapat kewujudan wanita ini hanya menyusahkan dan mendatangkan bala bagi keluarga mereka jadi tak hairanlah bila masyarakat jahiliah membunuh semua bayi-bayi perempuan semata-mata tidak mahu menanggung malu kerana bagi mereka, kelahiran bayi perempuan mendatangkan bala pada keluarga mereka. Tak kurang juga, mereka menjadikan wanita-wanita sebagai hamba pemuas nafsu sahaja tanpa sedikitpun memberi hak yang sewajarnya kepada wanita yang merupakan makhluk Allah.

INGKAR CINTAWhere stories live. Discover now