BAB 13

950 22 0
                                    

"KONTRAK insurans adalah 'uberrimae fidei' yang bermaksud amat suci hati. Ada sesiapa yang nak jelaskan tentang istilah perundangan ni?" soal Zahirul sambil matanya memandang wajah pelajarnya satu per satu. Dia tersenyum apabila semua pelajar menunduk.

Namun, matanya beralih pada wajah Zafran yang duduk di belakang kelas. Kelihatan fikiran Zafran menerawang ke tempat lain. Pandangannya kosong.

"Zafran, tolong jawab soalan saya," pinta Zahirul. Dia meletakkan buku undang-undang di atas meja. Matanya difokuskan pada wajah Zafran yang masih lagi termenung. Zahirul tersenyum. Entah apalah yang mengganggu fikiran Zafran sampaikan dalam kelas pun boleh termenung.

"Ahmad Zafran Wazien!" tekan Zahirul dengan suara yang sedikit kuat.

Zafran tersentak. Dia mendongak memandang wajah Zahirul dengan terpinga-pinga. Dia menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Sekilas dia menjeling pada Wardah yang berada di hadapannya. Dia melihat gadis itu hanya tersenyum nipis.

"Ya, saya Encik Zahirul," sahut Zafran selamba. Kedengaran bunyi ketawa singgah ke telinga Zafran.

"Jawab soalan saya tadi," balas Zahirul.

"Soalan apa, encik?" Cukup bersahaja Zafran menanyakan soalan pada Zahirul. Dia tersengih apabila Zahirul menjegilkan matanya.

"Awak ni Zafran, terangkan pada saya tentang istilah perundangan uberrimae fidei," Zahirul mengulangi soalannya.

Zafran menelan air liur. Uberrimae fidei? Binatang apa tu? Tak pernah aku dengar pun. Alahai, abang ni suka sangat tanya soalan yang susah pada aku. Kalau aku tak boleh jawab nanti jatuhlah reputasi aku dekat mata Wardah. Aduh, macam mana aku nak jawab ni? benak hatinya berkata-kata. Zafran menggaru pipinya.

"Errr... Uberrimae fidei tu... Errr... Emmm..."

"Apa dia, Zaf?" tekan Zahirul lagi. Dia setia menanti jawapan daripada adik kesayangannya itu.

Zafran mula menggelabah apabila suara Zahirul mulai tegang. Abangnya itu bukan boleh dikira sangat, kalau dalam kelas, Zahirul memang seorang yang garang dan tegas.

"Uberrimae fidei tu... Entahlah, bang... Eh, Encik Zahirul," ucap Zafran gagap. Tanpa disedari dia tersasul memanggil Zahirul dengan panggilan biasa.

Kedengaran kawan-kawannya sekelas ketawa. Zafran hanya mampu tersengih pada Zahirul yang sudah menggelengkan kepala. Dia tahu pasti Zahirul akan membebel padanya apabila balik ke rumah nanti.

"Zaf, kenapa suka sangat main-main dalam kelas?"

"Zaf, cubalah fokus masa abang tengah mengajar."

Seakan terngiang-ngiang ayat yang selalu Zahirul gunakan apabila membebel.

"Awak ni Zaf, dalam kelas tempat untuk belajar bukan untuk termenung. Lepas ni tolong jumpa saya di pejabat. Baiklah, ada sesiapa yang nak tolong Zaf?" Zahirul mengubah topik. Pasal Zafran biarlah dia selesaikan di luar kelas.

Perlahan-lahan Wardah mengangkat tangan. Zahirul tersenyum pada Wardah. Kebiasaannya Wardah juga yang menjawab setiap soalan yang diajukan. Budak ni memang bagus.

"Silakan, Wardah..." ucap Zahirul.

Wardah tersenyum. Dia berdeham sedikit sebelum membuka bicara.

"Uberrimae fidei membawa maksud amat suci hati. Dalam kontrak 'uberrimae fidei' bermaksud ia memerlukan keikhlasan dan kepercayaan dalam membuat kontrak. Dalam kontrak insurans, risiko berlakunya perkara yang dilindungi adalah sangat penting. Oleh itu, menjadi tanggungjawab bagi pihak yang berkaitan untuk memaklumkan segala maklumat-maklumat yang penting kepada syarikat insurans. Tindakan menyembunyikan maklumat-maklumat tersebut membuatkan mereka hilang kelayakan untuk mendapat pampasan," terang Wardah.

INGKAR CINTAWhere stories live. Discover now