BAB 7

1.2K 22 0
                                    

BUNTANG mata Wardah melihat novel-novel baharu yang tersusun kemas di dalam kedai buku Popular, Berjaya Megamall. Terlalu banyak pilihan sehinggakan Wardah sendiri pening kepala harus memilih yang mana satu. Dia memandang sebentar pada Athira yang leka menilik sebuah novel terbitan Karyaseni.

"Novel apa tu, Ati?" soal Wardah mendekati Athira.

"Novel Rindu Dalam Sepi. Best novel ni, semalam aku ada terbaca dalam Blog Penulisan2u. Kalau tak silap aku, novel ni bestseller tau," jelas Athira bersungguh-sungguh.

Wardah hanya mengangguk. Dia mencapai novel tersebut. Sinopsis dibaca. Kepalanya diangguk-anggukkan.

"Apa yang kau terangguk-angguk tu, Ada? Dah macam burung belatuk aku tengok," tegur Amira lantas mendekati Wardah.

Wardah hanya tersengih dan memberikan novel yang dipegangnya kepada Amira. Hulurannya disambut lalu dia berlalu ke bahagian buku-buku agama. Wardah tersenyum sendirian. Banyak betul pilihan yang ada dan ternyata buku-buku agama lebih menarik perhatiannya.

Dia mencapai buku karya Burhan Sodiq bertajuk Ya Allah, Aku Tak Ingin Sendiri. Lama dia membelek helaian demi helaian di dalam buku tersebut. Hmmm... Boleh tahan buku ni. Buku motivasi yang berkaitan dengan cinta dan Islam menarik minat Wardah namun Wardah meletakkan semula buku tersebut di atas rak.

"Ati, jomlah kita balik, aku nak beli buku ni tapi duit tak cukuplah. Kejap lagi aku nak kena beli barang nak pergi kem pula," ucap Wardah tanpa memandang wajah Athira yang berada di belakangnya.

Athira hanya terdiam. Dia tidak berkata apa-apa. Lalu, tanpa menoleh sedikitpun, Wardah menarik pergelangan tangan Athira untuk keluar dari kedai buku tersebut tetapi saat langkahnya terhenti saat matanya terpandangkan batang tubuh Athira dan Amira yang berdiri berhadapan dengannya. Jantung Wardah berlari kencang. Kalau di depan aku ni Athira, habis tu tangan siapa yang aku tarik ni? benak hatinya bertanya. Nafasnya berombak ganas.

Terkebil-kebil dia memandang wajah Athira dan Amira. Kedua-dua sahabatnya itu turut memandangnya dengan pandangan yang pelik. Athira menunjukkan jarinya ke belakang supaya Wardah memandang ke belakang. Wardah terkaku, tangannya masih memegang pergelangan tangan makhluk yang disangka Athira itu. Hah sudah, siapalah yang aku pegang ni? Ya Allah... Perlahan-lahan Wardah memalingkan wajahnya ke belakang dan...

"Aaa!" Wardah terjerit kecil sebaik sahaja melihat wajah lelaki yang berada di belakangnya. Dengan pantas dia melepaskan tangan tersebut. Bunyi gelak ketawa Athira dan Amira membuatkan Wardah diserbu perasaan malu yang tersangat. Rasa seperti mahu dicabut mukanya dan diletakkan di tempat lain.

Bukan sahaja Wardah yang malu tetapi lelaki yang menjadi mangsa Wardah turut malu. Merah wajahnya menambah lagi perasaan malu Wardah apatah lagi lelaki tersebut adalah lelaki yang dia suka. Siapa lagi kalau bukan Emir Rehan!

"Errr... Awak, saya minta maaf. Saya betul-betul tak sengaja..." ucap Wardah sambil menundukkan wajah. Kalau boleh nak aje dia benamkan wajahnya ke dalam simen biar rasa malu itu hilang. Tapi apakan daya terpaksa juga dia berhadapan dengan Emir Rehan yang turut terkaku.

"Tak mengapa, saya maafkan. Saya tahu awak tak sengaja. Hajat hati saya nak tegur awak tapi awak terlebih dulu tarik saya," usik Emir Rehan sambil tersengih nakal.

Wardah terkesima. Dia rasakan seluruh dunianya berhenti berputar. Terasa seperti dia terbang di atas awan saat melihat senyuman Emir Rehan. Ya Tuhan, aku dah jatuh cinta ke?

"Kalau awak nak tahu, nama dia Wardah Zahra..." sampuk Amira sambil memeluk bahu Wardah.

Wardah tersipu-sipu. Dia memandang wajah Emir Rehan sekilas. Sungguh, dia tidak dapat memandang wajah itu, malu!

INGKAR CINTAWhere stories live. Discover now