ZAFRAN gelisah menanti Wardah yang hilang entah ke mana. Dia mengerling jam di tangan. Sudah hampir pukul 9.00 malam, sepatutnya semua peserta dan fasilitator harus berkumpul di dewan untuk makan malam.
"Abang Zaf tak makan lagi ke? Tadi saya tengok lauk dah nak habis..." tegur Qistina. Dia melabuhkan punggung di sebelah Zafran.
Zafran mengengsot ke tepi, memberi ruang pada Qistina untuk duduk di sebelahnya. Dia perasan pelajar- pelajar lain menjeling pada mereka berdua.
"Qis makanlah dulu. Kejap lagi abang makan. Ada sesiapa nampak Kak Wardah tak?" soal Zafran akhirnya.
Dia memandang wajah pelajar-pelajar yang sedang enak menjamu selera. Memang dia sudah tetapkan bahawa semua fasilitator harus makan bersama-sama dengan pelajar barulah kemesraan itu terjalin. Zafran tidak mahu ada jurang di antara pelajar senior dan pelajar junior.
"Rasanya tadi saya nampak Kak Wardah solat. Mungkin lambat sikit sebab surau penuh, Abang Zaf." Azlin menjawab.
Zafran terdiam. Wardah memang seorang yang menepati waktu solatnya. Hal itu yang membuatkan Zafran kagum dengan Wardah.
"Abang Zaf pergilah ambil makanan dulu. Nanti habis, abang tak sempat nak makan pula," sambung Qistina sambil mencuit lengan Zafran.
Zafran sedikit terkejut dengan tindakan Qistina lalu dengan pantas dia melarikan tangannya. Apa hal pula budak ni, nak cuit-cuit aku. Jangan nak goda aku sudahlah. Aku tak main budak- budaklah, bisik hati Zafran.
"Oh, ya ke? Abang pergi ambil dululah," ucap Zafran lalu melangkah menuju ke meja yang menempatkan lauk-pauk.
Qistina tersenyum kemenangan. Dia menayang muka bangga kepada kawan-kawannya yang lain. Sangkanya, Zafran sudah mula terpikat pada dirinya. Perasan!
Tidak lama kemudian, Wardah datang setelah siap bersolat. Dia tahu dia sudah terlambat untuk makan malam tapi apakan daya menghadap Yang Maha Esa lebih penting daripada makan. Wardah tidak kesah tentang itu asalkan tanggungjawab lima waktunya telah sempurna.
Dia mencari kedudukan kumpulannya, dari jauh dia melihat Qistina sedang menempel di sebelah Zafran. Dia mengerutkan kening. Agak janggal pada pandangannya apabila Qistina seorang saja perempuan dalam kalangan pelajar-pelajar lelaki. Ada ulat bulu dah naik daun! fikir Wardah.
Akhirnya, Wardah melangkah untuk mengambil makanan. Tapi apakan daya, nasib tak menyebelahinya. Semua makanan sudah habis. Nampaknya terpaksalah dia ikat perut malam ini. Wardah melepaskan keluhan. Walaupun perutnya sudah berbunyi tapi dibiarkan saja. Mungkin bukan rezekinya. Lalu Wardah mencapai cawan dan mengambil air.
Dia duduk di sebelah Azlin. Air yang diambil diteguk perlahan-lahan.
"Kak Wardah tak makan ke?" soal Azlin yang tersedar Wardah duduk di sebelahnya.
Wardah berpaling dan melemparkan senyuman kecil pada Azlin.
"Tak sempatlah, Azlin. Akak lambat tadi. Akak minum aje," ucap Wardah.
"Saya lupa nak ambilkan untuk akak sekali. Saya lapar sangat tadi sampaikan semua orang saya lupa," ujar Azlin sambil ketawa kecil.
Wardah turut tergelak dengan kata-kata Azlin. Namun, ketawanya terhenti apabila Zafran duduk di hadapannya sebelum menyuakan pinggan kepadanya. Dahi Wardah berkerut. Kenapa pula dengan lelaki ni? soal hati Wardah.
"Ambillah nasi ni, aku tahu mesti kau lapar, kan. Aku ada simpankan untuk kau..." ucap Zafran sambil menolak pinggan yang berisi nasi dan ayam masak merah ke hadapan Wardah.
Wardah serba salah apatah lagi saat ini semua mata memandang ke arah mereka berdua. Entah apa yang budak-budak ni fikir. Kenapalah Zaf ni suka sangat mencetuskan kontroversi? keluh hati Wardah.

YOU ARE READING
INGKAR CINTA
Ficțiune generalăTajuk: Ingkar Cinta Penulis: Siti Khadijah Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-23-6 Harga: RM27.00 (Semenanjung) // RM30.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Penulisan2u DAPATKAN SEGERA MELALUI APLIKASI KARYASENI DI GOOGLE PLAY ATAU APP STORE ANDA...