BAB 6

1.3K 20 0
                                    

"ASSALAMUALAIKUM..." ucap Zafran sewaktu melangkah masuk ke dalam kelas yang digunakan untuk mereka bermesyuarat pagi itu. Zafran memanggil Wardah masuk untuk diperkenalkan kepada ahli fasilitator yang lain.

"Baiklah, saya kenalkan ini Wardah Zaharah, fasilitator yang baru. Dia akan bersama-sama kita untuk mengendalikan Kursus Perintis Siswa untuk pelajar-pelajar baru semester ini," ucap Zafran sambil memperkenalkan Wardah.

Wardah tersenyum manis. Satu per satu wajah yang berada di hadapannya dipandang. Semua yang berada di situ menyambut baik kedatangannya kecuali Juliana. Kelihatan gadis yang memakai baju kurung berwarna ungu itu hanya tersenyum hambar. Satu jelingan dihadiahkan buat Wardah.

"Baguslah kalau kau dah jumpa fasi tambahan. Kalau nak harapkan kita yang berapa kerat ni, aku rasa tak terlayan kerenah budak-budak junior tu nanti," sampuk Muaz yang duduk berhampiran dengan Zafran.

"Betul tu Muaz, senang sikit kerja kita nanti," sambung Hafiza tidak lama kemudian.

Zafran tersenyum gembira atas penerimaan sahabatnya terhadap Wardah. Dia memandang sekilas pada Wardah yang hanya tahu tersenyum manis. Gadis itu nampak agak kekok dan segan berhadapan dengan ahli kelab fasilitator yang lain.

"Tapi saya tak ada pengalaman dalam mengendalikan budak-budak junior ni. Zaf yang ajak saya sertai kelab ni jadi saya haraplah awak semua dapat tunjuk ajar apa yang patut pada saya," ucap Wardah merendah diri.

Wajah-wajah di hadapannya kini bukan lagi asing buat Wardah memandangkan mereka semua pelajar semester enam dan semester lima tetapi Wardah tidak pernah bekerjasama dalam satu kumpulan jadi dia tidak tahu sama ada mereka boleh menerima kehadirannya atau pun tidak.

"Kalau niat nak sertai kelab ni sekadar untuk menggatal baik batalkan saja niat tu. Biasa orang cakap, kalau niat tak baik semua kerja buat pun jadi tak baik," sinis Juliana tiba-tiba.

Wardah tersentak. Aik, lain macamlah bunyi Juliana ni. Macam tak puas hati pun ada. Wardah dapat rasakan yang kehadirannya tidak diterima oleh Juliana. Dia memandang pada Zafran yang turut terkejut mendengar bicara Juliana yang agak tidak sopan.

Zafran melemparkan senyuman dan mengerdipkan matanya pada Wardah. Dia tidak mahu gadis itu merasa tidak selesa dengan kata-kata Juliana. Dia ketua dalam kelab tersebut jadi suka hati dialah nak ambil siapa pun untuk menyertai kelab ini. Juliana tiada hak untuk menghalang.

"Saya yang minta Wardah untuk sertai Kelab Fasilitator Ivory ini sebab saya rasa dia layak. Bukan sahaja daripada pencapaian akademik tetapi daripada segi kemahiran dalam menguruskan sesuatu majlis. Jadi, saya pilih Wardah bukan atas sebab-sebab peribadi ya, Juliana," balas Zafran bagi pihak Wardah.

Juliana menarik muka masam. Dia dapat rasakan sesuatu yang tak kena pada tindakan Zafran untuk mengambil Wardah sebagai fasilitator. Sepatutnya Zafran tanya pendapatnya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan memandangkan dia juga salah seorang ahli kelab itu juga.

"Saya nak jumpa awak selepas meeting ni," bisik Juliana pada Zafran. Kedengaran keras dan tegas.

Zafran hanya mengangkat bahu. Dia mengalih pandangan ke hadapan. Malas dia melayan perangai Juliana yang agak merimaskannya saat ini.

"Zaf, bila tarikh Kursus Perintis Siswa yang sebenarnya? Aku dengar macam- macam tarikh yang pihak HEP cadangkan." Iqram mengalih topik perbincangan. Wajah Zafran dipandang.

"Tadi aku baru saja jumpa dengan Puan Umi, aku dimaklumkan tarikh sebenar kursus tu akan diadakan awal bulan depan selama tiga hari dua malam di Taman Pertanian Jubli Perak..."

"Maknanya kita juga perlu berkhemah dengan studen baru?" sampuk Juliana yang sejak tadi mendiamkan diri.

"Yup, kita akan berkhemah dan mengawasi studen kat sana. Kemungkinan pihak kolej akan menggunakan khidmat pihak luar untuk mengendalikan studen kali ini. Jadi, kita tak perlu menyediakan modul-modul seperti kursus yang lepas sebaliknya kita cuma jadi pemantau aje. Tetapi satu saja yang yang penting, ini untuk perhatian pada AJK perhubungan luar, kita perlu pastikan yang penceramah untuk sesi malam sampai tepat pada waktunya," ujar Zafran memberi maklumat.

INGKAR CINTAWhere stories live. Discover now