Dugaan Si Tukang Urut

609 22 0
                                    

Nota Kaki- Cerita ini 80% adalah dari kejadian sebenar yang berlaku di Benut, Pontian sekitar tahun 2009. Watak dan nama adalah rekaan semata mata.Cerita ini telah diceritakan sendiri oleh tukang urut yang kini sudah menjangkau usia 60-an.

*

Malam ini, malam Khamis. Selalunya malam begini mesti ramai orang datang berurut, padahal aku tak pernah menetapkan tarikh atau hari yang perlu mereka datang pun. Cukuplah sekadar aku bagi tarikh 'seminggu lepas urutan pertama , nanti datang balik'.

Kalau kena hari Khamis mesti ramai yang datang. Bab bayaran pun arwah bapa aku pesan terima seikhlas hati. Malam itu last 'pesakit' aku, tak lain tak bukan orangnya, saudara- mara aku jugak, Roslan (Lan) namanya.

"Urut belakang aku Ali, lenguh la kerja loader ni." Keluh Lan. Memang kerjanya memerlukan kederat yang kuat, sebagai pengangkut buah sawit ke dalam lori merangkap drebar lori.

Aku mulakan urutan,di selang seli dengan bual kosong, orang kata bual orang kampung. 40 minit berlalu. Sewaktu aku nak 'menutup urutan' memang aku ada baca surah Al Fatihah dan beberapa ayat Al Quran,yang memang diajar oleh ayah aku, termasuk ayat beberapa ayat Ruqyah.

Semasa aku membaca potongan ayat suci, jari aku terasa 'dicengkam' dari atas dan tengkuk aku serta merta panas! Ketika itu Lan dalam posisi duduk berlunjur, dan mata dan badan mengadap aku. Matanya di pejam. Aku pandang muka Lan, perlahan lahan wajahnya menjadi hitam dan ditumbuhi janggut hitam panjang berjurai! Aku kuatkan sedikit bacaan ayat penutup aku.

Dan ketika itu, ada susuk lembaga hanya berseluar dalam dan perutnya buncit ke depan, berdiri sebelah Lan sambil mata susuk lembaga itu tepat memandang aku. Kaget, aku cepat cepat alihkan pandangan dan aku tamatkan urutan.

"Dah ,dah Lan..." aku jerit kecil. Dan bila aku tengok Lan semula, mukanya kembali normal.

"Huarghh, lega betul Ali, best best!" Sambil itu Lan menggeliat kiri dan kanan, jari jempulnya dihalakan pada aku, tanda bagus.

Sewaktu isteri aku hidangkan air untuk kami berdua, aku berat hati nak bercakap benda yang aku nampak. Akhirnya aku diamkan saja.

2 hari berselang.

Aku dapat panggilan telefon kira kira jam 2 petang, dari kenalan aku dari kawasan kampung jugak, Rahman namanya. Aku angkat, usai beri salam, Rahman terus memotong cakap aku, salam aku pun tak disambut.

"Bang, Roslan dah meninggal bang, baru kejap ni. Kena timpa buah sawit!" Ujar Rahman dalam telefon.

Aduh. Macam ada yang tak kena. Aku mula rasa tak sedap hati. Aku terus ke bilik dan salin pakaian. Ada benda yang perlu aku cakap pada waris si mati!

Lewat jam 3 petang, aku terus bergegas ke rumah arwah. Masih ramai lagi orang belum lagi beransur pulang. Rupanya arwah baru selesai disolatkan. Aku terus turun dari motorsikal dan bergegas masuk dalam rumah arwah.

Usai bersalaman dengan teman- teman, aku terus ke belakang, bertemu dengan Erni, isteri arwah. Erni baik dengan isteri aku, tiap kali raya mesti mereka berdua berbisnes kuih raya dalam skala besar.

Hampir 20 minit aku berbual dengan Erni dan aku mintak izin untuk ke kubur untuk menghantar jenazah sempat juga aku menghulurkan sedikit sumbangan kepada balu. Di kubur, pengkebumian berjalan seperti biasa, cuma aku tak nampak si Hashim, anak kepada Arwah. Arwah mempunyai 8 orang anak.

Hashim ni berkerja kilang di Pekan Nenas, tak jauh pun dari rumah mak ayah dia, anak-anak dia yang lain ada yang iring, yang dari Singapura pun ada balik. Detik hati aku,mungkin dia uruskan hal di rumah atau aku yang terlepas pandang.

Semasa aku nak balik dari kubur, waktu aku nak hidupkan enjin motorsikal, dari jarak 20 meter. Muncul si Syam, orang kuat masjid di kampung. Hanya terpacul dan diri tegak melihat aku. Aku mengangkat tangan ke arah Syam dan dia buat isyarat 'tunggu sekejap' pada aku. Aku matikan enjin.

Kisah SeramWhere stories live. Discover now