Jin Islam atau Malaikat? Satu Pengalaman Di Bulan Ramadhan

168 3 0
                                    

Pada 27 Julai 2012 pada bulan Ramadhan aku balik ke flatku di Taman Sri Bayu sempena cuti hujung minggu. Setelah pukul empat petang aku ke kedai berdekatan untuk membeli juadah berbuka sebab suamiku akan berbuka di masjid dan terus sembahyang terawih, jadi aku akan berbuka seorang di rumah.
Setelah selesai membeli, biasalah walaupun sorang, bungkusan kuih dan lauk pauk penuh di kedua-dua belah tangan. Aku kembali ke flat dan terus menuju ke lif. Ya Allah ramainya orang menunggu lif, mentelah satu dari 3 lif tu rosak!. Lif nombor satu pintunya terbuka dan ramai berpusu-pusu masuk. Dalam hati berkata ‘ tak apalah, tunggu lif lagi satu’. Sementara menunggu, aku sandarkan badan di dinding depan lif.

Tidak semena-mena aku nampak seorang lelaki menuju ke arah lif, umurnya mungkin sebaya dengan aku, beliau berpakaian ala Pakistan, seluar dan baju berwarna putih, dan bajunya berbelah di kiri kanan. Ditangannya ada tasbih (Amboi prihatin nya aku!). Hatiku yang jahat berbisik, ‘Ala handsome lagi suami aku, alaa berzikir, aku pun sentiasa berzikir Laillahaillalah’.
Sambil menunggu, pintu lif ke dua terbuka, aku berserta beberapa orang dan juga lelaki tadi masuk ke dalam lif, mungkin ada dalam lima orang yang masuk ke dalam lif, yang herannya ramai lagi menunggu lif di luar, tetapi mereka tak masuk seolah-olah lif tu dah penuh.

Semua yang di dalam lif tekan butang untuk menuju ke tingkat masing-masing. Aku meminta seorang pemuda untuk menekan butang tingkat tiga memandangkan tangan aku penuh dengan juadah. Aku terus mengucapkan terima kasih pada pemuda tadi kerana tolong tekan butang. Melihat lampu di panel lif, nampaknya aku di tingkat paling bawah, dan akan keluar dulu, pastinya yang lain-lain tinggal di tingkat atas dari aku.
“Ting’ menandakan lif dah sampai ke tingkat ku, dan aku terus keluar sambil mengucapkan terima kasih sekali lagi pada pemuda yang telah menolong tekan butang tadi. Aku terus menuju ke unit aku, “Ish mengapa ada banyak selipar depan rumah dan bukan selipar-selipar yang aku kenal? Semua kasut/selipar aku letak dalam rumah bukan di luar”.

Aku berpatah balik ke lif dan menjenguk ke bawah, ‘ish awat ada banyaaak tingkat lagi di bawah?’. Aku terus terpandang di dinding depan lif yang menunjukkan tingkat sebelas (11), aku ditingkat sebelas? Mustahil tadi aku yang keluar dahulu.

Aku tekan butang lif dan pintu terus terbuka, masyaALLAH yang keluar adalah lelaki tadi yang berpakaian ala Pakistan!. Aku terus berkata pada beliau “Mengapa saya di tingkat sebelas?’. Beliau terus tergelak “Ha, ha,ha” dan berlalu dari situ.

Aku terus masuk ke dalam lif dan aku lihat butang lampu ke tingkat tiga telah sedia menyala untuk aku turun ke tingkat tiga.
Jin Islam ka? Malaikat ka? Ampun aku Allah kerana riak dan berfikiran tidak baik pada orang lain di bulan Ramadhan, emm satu pengajaran. Sabit pun awal tadi tak semena-mena aku nampak lelaki tu seperti ‘appear out of no where’ tetapi di kala itu aku rasa jelmaan lelaki Pakistan itu macam biasa saja, tidak pelik pun!

Kisah SeramWhere stories live. Discover now