SEBUAH kereta memasuki halaman rumah. Hon kereta dibunyikan beberapa kali. Dari jauh sudah nampak Yani mengukir senyum panjang sampai belakang telinga.
"Assalamualaikum!" Ucap gadis itu ceria seraya berjalan menghampiri Yani di bangsal rumah.
"Waalaikumsalam." Daun kelapa yang sedang diraut untuk buat penyapu lidi diletak tepi. Tangan dia dihulur. Lalu disambut mesra dan dikucup hormat oleh gadis itu.
"Husna dari sekolah ke ni?"
"Haah. Cuti-cuti pun kena mengajar juga. Buat kelas tambahan dekat budak-budak nak dekat SPM." Punggungnya selamba menenggek sebelah Yani.
"Kak Yan... Husna datang ni nak tempah kuih tau. Minggu depan ada majlis sikit untuk guru-guru kat sekolah tu."
"Husna nak kuih apa?"
"Macam biasa la. Karipap pusing inti kentang lima puluh biji dengan kuih seri muka setalam besar tu."
"Yalah. Kejap lagi Kak Yan masukkan dalam buku. Bimbang terlupa pula."
"Eh, Husna!" Tersenyum Qayyim melihat kehadiran gadis berbaju kurung dan bertudung itu. Seminggu dia tak nampak Husna. Kalau tidak, rajin betul budak tu datang melawat Yani atau dia di gerai.
Wajah Husna dan-dan berona merah. Lemah hati perempuannya tiap kali melihat senyuman lelaki yang bernama Muhammad Qayyim ini. Cair!
"Segak-segak ni nak keluar beli barang ke Abang Ayyim?" Sejak tadi lagi dia perasan kereta Myvi putih milik Rais terpakir sebelah pokok rambutan tu.
"Tak la. Abang ada hal sikit dekat luar," balas Qayyim sambil menyarungkan kasut di kakinya.
"Jom!"
Husna tersentak. Dari atas sampai bawah dia pandang wanita yang tiba-tiba muncul di belakang Qayyim.
"Hah, Husna. Ni kawan abang, Zeeya." Sebelum ditanya siapa, lebih baik Qayyim kenalkan siap-siap. Dia yakin Husna pasti terkejut dengan kemunculan Zeeya di rumah ini.
"Hai, err..."
"Husna," beritahu Husna.
"Hai, Husna." Zeeya mengangkat lima jari. Bibir mengarit senyum. Serupa baru dapat kawan baru lagak dia.
"Kak Yan, kami pergi dulu." Qayyim minta diri.
"Elok-elok sikit bawa kereta tu." Bebola mata Yani menghantar langkah Qayyim dan Zeeya sampai ke kereta.
Husna bangkit. Bercantum keningnya di tengah. Masih hairan. Ini kali pertama dia lihat Qayyim membawa balik perempuan sampai rumah. Mustahil Zeeya kawan biasa. Lalu, apa?
"Itu la bakal isteri Ayyim."
"Bakal isteri? Bi... biar betul Kak Yan?" Husna melabuhkan semula duduk. Ini lagi tak boleh percaya. Mustahil la kalau perempuan yang macam itu menjadi pilihan Qayyim. Lagipun, sejak bila pula lelaki seperti Qayyim pandai bermain cinta?
"Betul la."
Ah, hancur hati Husna! Rasa nak menangis.
"Kenapa? Husna cemburu ke?"
Husna menunduk bermain dengan jemarinya. Kalau bukan kerana wanita terkenal dengan sifat pemalu, sudah lama dia mengaku. Boleh jadi dia terus melamar Qayyim untuk dijadikan suami.
Terbit senyum daripada bibir Yani. Diam Husna... Riak mendung pada muka Husna... Itu sudah cukup menjawab soalannya.
"Akak gurau aje. Mereka tak ada apa-apa pun." Jauh di sudut hati, Yani harap apa yang ditelahnya ini benar. Kerana dua cukup berkenan dengan Husna untuk dijadikan sebagai adik ipar.
YOU ARE READING
BERTAHAN PADA PILIHAN
RomantizmYang tersulit dalam hidup bukanlah memilih, tapi bertahan pada pilihan.