2. Balqis Insyirah

218 19 2
                                    

Bunyi beberapa suara telah menyedarkanku dari lena yang panjang. Aku pasti sebelum ini aku pengsan dan tak sedarkan diri.

Aku gagahkan diri untuk duduk walaupun kepalaku berdenyut-denyut seakan semua darahku terkumpul di kepala sebab terlalu lama terbaring.

Setelah beberapa saat membiasakan diri, aku pandang bilik tempatku berada sekarang. Patutlah aku rasa kepala aku teramat sakit, rupanya tidurku tadi berbantalkan batu dan bertilamkan papan. Kepalaku pula dibalut dengan daun-daun herba dan kain.

"Kau dah sedar?" Seorang wanita cantik menegurku. Di sampingnya pula ada seorang lelaki kacak. Sepasang suami isteri barangkali. Keelokan rupa mereka semakin terselah dengan jubah putih yang tersarung di tubuh mereka.

"Ya," aku berjeda seketika.

"Makcik dan pakcik ni siapa? Saya kat mana?" soalku bertalu-talu. Tak tahan dengan perasaan ingin tahuku.

"Kau di rumah kami. Tadi kami dapati engkau pengsan di depan. Kepalamu pula luka terhantuk batu," cerita perempuan itu.

"Kami orangtua barumu nak. Panggil kami ibu dan ayah," tutur Si Suami.

Kekarutan apakah ini? Tidak akan aku mahu menggantikan tempat mama dan babah.. detik hatiku.

"Tak mungkin! Qish masih ada mama dan babah," marahku.

"Mama dan babah kau sudah tiada. Mengertilah yang kau sudah berada di alam kami. Bukan lagi tempat asalmu!"

Kata-kata lelaki itu buat aku terpinga-pinga. Aku tak faham apa maksudnya. Alam? Alam itu apa?

Melihatkan aku yang tercengang tidak faham, lelaki dan wanita itu akhirnya mengeluh.

"Tidak apalah. Kau masih budak, belum tahu apa-apa lagi pasal golongan kami," keluh mereka perlahan.

Aku hanya memerhatikan mereka keluar dari bilik. Aku hampiri jendela di sudut bilik untuk menjenguk ke luar.

Bulan yang penuh dan dihiasi bintang-bintang di sekitarnya memaklumkanku yang hari sudah malam. Aku hanya nampak beberapa buah pondok di luar. Pondok beratapkan nipah sama seperti pondok yang kududuki ketika ini.

Sungguh aku bingung! Aku di mana? Siapa pula mereka dan kenapa tiba-tiba mereka mengaku yang aku anak mereka? Mana pula mama, babah, pak long, mak long dan.. Afiq?

Hah Afiq! Dialah orang terakhir yang aku jumpa petang tadi.

Aku pandang lagi ke sekeliling pondok. Hanya ada pokok-pokok hijau yang tinggi.

Pokok-pokok hijau? Hutan rimba. Aku di hutankah? Ekspidisi petang tadikah yang menyebabkan aku di sini? Ya, aku ingat. Aku sendiri yang masuk ke hutan.

Lalu, bagaimanakah caranya agar aku boleh pulang kembali? Aku harus cari tahu.

Aku mencari pasangan suami isteri tadi. Rupanya mereka di dapur.

"Bolehkah saya balik ke rumah pakcik saya?" gesaku.

"Kau tidak akan balik ke situ. Kau akan tinggal di sini. Bersama kami," putus lelaki itu tanpa memandangku. Dahinya berkerut sebab tidak suka mendengar pertanyaanku tadi.

"Kenapa pula saya harus tinggal di sini? Saya perlukan keluarga saya!" Aku sudah tidak takut untuk menentang.

Untuk apa aku takut? Naluriku kuat mengatakan yang mereka tidak akan mengapa-apakanku.

"Sudahlah Balqis, apa cara sekalipun kau tetap tidak akan dapat pulang. Keluargamu sudah melupakanmu. Mereka tidak memerlukanmu lagi. Buktinya mereka tidak mencarimu sejak kau hilang petang tadi," pujuk Si Isteri pula dengan lembut lagi meyakinkan.

Bolehkah aku percaya saja dengan kata-kata mereka? Tapi perempuan itu tidak nampak seperti menipu.

Ya Allah, apa yang menimpa aku ketika ini? Aku tak faham. Aku masih kecil dan tak mengerti apa-apa.

Aku pandang mereka dalam-dalam. Cuba mencari sesuatu. Apa saja. Cari apa saja untuk dijadikan petunjuk tentang apa yang harus kulakukan selanjutnya. Tapi pencarianku menemui jalan buntu. Aku sendiri tidak tahu apa yang aku cari.

"Tinggallah saja bersama kami Balqis. Kami akan menjaga dan melindungimu selayak ibu bapa terhadap anak mereka. Di sini kau boleh ada kawan-kawan yang menghormati dan menyayangimu di sini. Tidak ada sesiapa yang akan berani mengganggu dan mencelamu seperti apa yang kawan-kawanmu dulu lakukan," kata Si Isteri beserta senyuman. Senyum seperti mama. Penuh keibuan dan kasih sayang.

Ya Allah.. apakah ini. Hatiku bercelaru tapi dalam masa yang sama aku hampir termakan dengan pujukan mereka.

Aku diam untuk menganalisa kebenaran di sebalik kata-kata perempuan itu.

Benar katanya. Kawan-kawanku di sekolah selalu membuli dan mencemuh keadaan fizikalku. Aku gemuk, hitam, pendek dan tiada rupa kata mereka. Jangankan kawan-kawan sekolah, sepupuku sendiri pun membenciku kerana luaranku.

"Betulkah tak ada yang akan buli saya di sini?" tanyaku perlahan.

Selain perempuan itu, lelaki di sebelahnya pula sudah menayangkan senyuman kemenangan.

"Betul Balqis. Tak ada siapa yang akan berani mengganggumu. Kau akan dihormati, disayangi dan semua orang akan berkawan denganmu," ujar lelaki itu sambil tersenyum.

Aku diam lagi. Cuba mempertimbangkan segalanya. Bertahun-tahun aku rasa terseksa dengan semua orang yang selalu mencemuhku.

"Di sini pun ada zoo, taman dan sekolah. Di sekolah, Balqis akan ada ramai kawan-kawan. Banyak benda akan Balqis pelajari," promo mereka lagi. Macam tahu-tahu saja.

"Zoonya macam mana?"

"Balqis boleh jumpa banyak binatang di sini. Binatang yang tidak ada dalam zoo pun ada," cerita lelaki itu.

"Tamannya?" soalku lagi.

"Pernah dengar Ulu Temburung?" Aku sudah selesa berbual dengan lelaki itu. Isterinya pula hanya membiarkan kami berbual sambil menyediakan bahan masakan.

"Ya, taman yang terhad itu kan? Tiket masuk pun mahal. Balqis teringin sangat nak masuk situ, selalu dengar cerita je," ujarku.

"Ulu Temburung itu tak jauh dari sini. Kalau Balqis mahu, ayah boleh bawa pergi situ bila Balqis dah sihat. Bagaimana?" tawarnya ceria.

Terkebil-kebilku seketika sebab dia membahasakan dirinya sebagai ayah.

"Betul tu Balqis. Kalau nak sihat cepat, Balqis kena makan ubat. Kejap lagi ibu sediakan herbanya," celah isterinya pula.

Sebab mereka sudah berkata begitu, aku hanya ikut saja arus mereka.

"Baiklah ibu, ayah." Aku senyum ikhlas pada mereka.

Tidak kusangka, sikap ramahku itu akan menyulitkan hidupku. Aku tidak tahu yang aku sudah benar-benar terperangkap di tempat itu.

BalqisWhere stories live. Discover now