BAB 1

1.9K 75 0
                                    

DIAKAH?

Lelaki berkemeja jingga dengan tali leher berbunga kecil bercermin mata yang sedang tekun menulis sesuatu di atas kertas. Nampak nerd dan tenang.

Atau diakah?

Lelaki itu berkulit sawo matang. Usianya mungkin sudah menginjak separuh abad. Mustahil. Kay hampir menggeleng kepala. Air liur ditelan pelan namun ekspresi wajahnya tetap beku seperti sebelum dia memasuki kamar kecil ini.

Dia?

Di sebelah lelaki sebaya abahnya itu, orangnya agak muda berkulit cerah. Wajahnya agak sedap mata memandang. Hidung mancung, bibir berwarna ceri dan rambutnya lebat. Kening sudah tentu tebal. Mata sepetnya itu tidak lepas merenung diri Kay namun langsung tidak juga menggoyahkan keyakinan Kay. Sempat Kay mengagak usianya dalam lingkungan 20 hingga 30 an. Atau lelaki itu nampak lebih muda dari usia? Kay kurang pasti. Tentu dia orang penting sehingga mampu menduduki kerusi itu sekarang.

Mata Kay mengawasi setiap tindak tanduk tiga lelaki di depannya. Hati Kay berkobar-kobar.

"Tiga kali Cik Kay Dhamina apply di sini dan menghadapi temu duga tapi tak putus asa." Encik Shah memberi komen. Komen diawang-awangan entah lelaki itu sedang menyindir atau mengetawakan dirinya. Encik Shah adalah lelaki berkaca mata. Kulitnya sawo matang tetapi boleh dikategorikan sebagai sedap mata memandang.

Yang separuh abad itu, namanya Tuan Haji Rafael.

Seorang lagi, lelaki kacak dan Kay mula menyimpan firasat buruk akan dirinya... Encik Ian. Ian Ghadafi tertera di atas meja.

"Dengan kelulusan you, you boleh cari kerja yang lebih baik. Ramai kompeni berlumba-lumba cari orang yang berpengalaman, lagi-lagi you pernah kerja di luar negara." Encik Ian memegang dagu merenung dalam-dalam wajah gadis di hadapannya.

"Saya tak boleh beri alasan yang kukuh, cuma saya berminat kerja dalam bidang ni," jawab Kay yakin.

"Tapi you tak rasa skop bidang tugas terlalu berbeza? Arkitek macam you, kerja untuk assistant interior designer?" Encik Ian menambah lagi.

Kay hela nafas dalam. Sungguh dia tidak goyah. Cuma nampak gaya untuk meraih kepercayaan dari Ian Ghadafi adalah yang paling sukar antara ketiga-tiga penemu duga.

"Saya bukan minta perjawatan sebagai ketua interior designer. I apply assistant for interior designer. Lulusan yang diperlukan pun setakat SPM sahaja kalau tak silap."

Ian Ghadafi mengangkat kening tanda sedikit terkejut dengan pernyataan berani dari bibir gadis di depannya itu. Langsung tidak kelihatan gementar.

Kay Dhamina. Getus Ian Ghadafi di dalam hati. Kreatif juga mak bapa dia bagi nama. Melalui nama ini, dia boleh rasa aura Kay yang agak kuat, seiring dengan air muka yang dipaparkan oleh wanita itu. Mata Ian beralih ke arah status. Bujang lagi. Atau punya tunangan? Ian merenung ke arah jari-jari kosong milik Kay Dhamina.

"Hmmm, kelulusan minima memanglah SPM. Tapi kalau ada yang berkelulusan dalam bidang, itu lebih baik lagi. Ada basic. Di luar bilik ni banyak yang memohon kerja dan mereka ada basic dalam bidang. You boleh cari syarikat lebih besar kalau you nak kerja sebagai arkitek. I ada beberapa kenalan kalau you nak."

"Ian.." Tuan Rafael mula bersuara.

Ian tersengih panjang, segan apabila ditegur oleh Tuan Rafael di depan candidate.

"Sayang bakat dia, papa."

"Tak payah masuk campur hal dia," tegur Tuan Rafael pelan.

Kay nampak ciri-ciri pemimpin yang begitu tinggi dalam diri Tuan Rafael. Ya, tak mungkin lelaki itu yang mencari nahas dengan keluarganya. Tapi bagaimana kalau betul-betul dialah dalang sebenar?

Kay menelan air liur kasar.

Fokus Kay. Fokus!

Dia tidak boleh dikuasai emosi kerana masalahnya belum berakhir sehingga dia diiktiraf oleh ketiga-tiga lelaki itu untuk berkhidmat di syarikat kecil ini. Syarikat yang berada di rumah kedai tiga tingkat. Memang cantik dalamannya, elegan dan berkonsepkan barat. Tetapi tidak memadamkan status syarikat ini sebagai syarikat kecil dan mungkin masih tercorot dalam kalangan pesaingnya.

Sekurang-kurangnya, syarikat ini membuka peluang pekerjaan. Bermakna masa depan syarikat ini sedang cerah. Kay genggam tangan kuat. Walaupun dia tahu konsep kerana nyamuk seekor habis kelambu dibakar, tapi kemarahan dan dendamnya belum hilang. Ada sebab kenapa Kay merendah diri menghantar resume ke atas meja penyambut tetamu walaupun beberapa kali gagal dalam temu duga mereka. Ada sebab kenapa dia degil menukar bidang kerjanya. Ya, memang Kay nak bakar satu kompeni keparat yang dah rosakkan masa depan keluarganya. Sebelum itu, Kay perlu mencari dalang sebenar yang menjadi penyebab keluarganya menjadi malap.

"Cik Kay yakin boleh bekerja dalam bidang interior design? Kami berharap orang yang kami cari ada basic skill dalam bidang ni tapi yang datang temu duga arkitek berkaliber pula." Encik Shah menutup fail di depannya.

"I boleh belajar dengan cepat."

"Itu satu bonus. Kesungguhan Cik Kay sangat kami hargai tapi macam mana nak cakap ya? Syarikat kami pun bukannya besar sangat... Untuk ambil Cik Kay bekerja dengan kemahiran kosong dalam bidang ni dan gaji yang ditawarkan pula tak setimpal dengan kelulusan dan kebolehan Cik Kay, kita tak mampu nak buat begitu," ucap Tuan Rafael lembut.

Kay hampir mendengus. Dia sangat tidak setuju dengan kata-kata Tuan Rafael. Agaknya lelaki separuh abad itu tak nampak beberapa homework yang dia dah buat dan disertakan sewaktu menghantar resume.

"I faham arkitek dan interior designer sangat berbeza. Interior designer lebih detail dengan kualiti tempat yang akan digunakan oleh pengguna. Kalau tuan beri peluang, I tak kan sia-siakan peluang tu. Tuan berilah I tempoh beberapa bulan, InsyaALLAH I akan cuba yang terbaik. Lagipun tentang bakat dan basic skills tu, tuan tak perlu risau sebab I dah banyak buat kajian sebelum I menghantar resume ke syarikat ni..."

Suasana bertukar sepi.

"Do you know how to use interiCAD software?" tanya Encik Ian tiba-tiba.

"I dah cuba, dan hasilnya I telah kepilkan bersama resume."

"You yang buat ni?" Soal Ian lagi. Dia layangkan kertas di atas udara.

Kay menarik senyuman. "Ya..."

"Tapi setakat ini aje belum mencukupi." Ian menarik senyuman perlu. Betul-betul tepat menjentik hati dalam Kay.

Kay menarik nafas dalam. Ada banyak benda yang berlaku di kepalanya saat ini. Dia sangat terdesak untuk mendapatkan kerja di Fantasia Interior Design. Tak kisahlah kalau dia di reject sampai 10 kali, kakinya tetap bakal melangkah masuk ke dalam bangunan tiga tingkat ini sebagai pekerja mereka! "Seperti yang I katakan tadi, I tak kan sia-siakan peluang yang diberi."

Wajah seorang demi seorang lelaki di hadapannya diamati lama. Kay akan menjawab apa sahaja persoalan yang dilemparkan, dia yakin dia mampu menundukkan stigma pemikiran kolot ketiga-tiga lelaki di hadapannya.


I Want You, Kay Dhamina (TERBIT) Where stories live. Discover now