BAB 10 - Kenapa dia di sini?

1K 44 2
                                    

“SELALUNYA parking tak penuh.”
Puan Aisya membuka tali pinggang keselamatan walaupun kereta masih dipandu. Tiga kali Kay membawa kereta berputar di tempat parkir tapi tiada tanda-tanda kereta lain keluar dari kawasan petak masing-masing.

“Ha’ah. Selalu kosong aje. Ada program ke dia orang ni?” Encik Azmi yang berada di tempat duduk belakang mula memberi komen. Kay menghela nafas panjang.
Lagi lama mereka dalam kereta, lagi lewat urusan selesai.

“Kay tunggu dalam kereta je. Nanti bila ada parking kosong, baru Kay ikut naik ke atas,” ujar Kay lantas memberhentikan kereta berdekatan dengan pintu masuk hospital.

“Kal ikut?” Soal Puan Aisya memandang ke arah belakang.

“Ikut je abah dengan mak, Kal. Akak okey sorang kat sini. Mana tahu ada apa-apa ke.” Kay menoleh ke belakang apabila melihat Kal teragak-agak melalui cermin pandang belakang.

“Okey,” balas Kal seraya membuka pintu kereta.

Keluar saja mereka bertiga, Kay bergegas memandu menuju ke arah tempat yang agak jauh dari laluan depan hospital. Mana tahu ada emergency, dia mungkin akan menghalang laluan.

Rose.

Hati berbisik dalam. Si kecil itu setelah tujuh tahun tidak dipandang dengan mata kepala Kay, akhirnya terlantar di sini kerana masalah mental. Selepas kemalangan kecil tahun lepas, Puan Aisya menyatakan bahawa mental Rose terganggu dan terpaksa dimasukkan ke hospital untuk satu tempoh masa sehingga pengawasan doktor selesai. Tapi keadaan berlanjutan sampai berbulan-bulan dan Rose tiada tanda-tanda untuk sembuh.

Benarkah Rose berpenyakit gara-gara putus cinta atau kerana kemalangan yang berlaku? Kemalangan sekecil apa pun boleh menimbulkan trauma dan mengganggu sistem otak.

Walaupun dia bukan doktor tapi Kay sedar tentang betapa tubuh badan manusia ini kadang-kadang lemah menahan tekanan. Mana tahu kesan hentakan di kepala? Sebab sewaktu kemalangan itu terjadi, Kal ada menghantar gambar padanya dan kepala Rose waktu itu sedang berbalut. Tapi Kal beria-ia menyatakan punca Rose begini kerana putus cinta.

Atau sebenarnya memang putus cinta yang menyebabkan kemalangan itu terjadi?
Kay memegang dahinya yang dirasakan berdenyut kecil. Jarang-jarang kepalanya sakit walaupun kerana tekanan kerja tapi sejak akhir-akhir ini, jiwanya sering gelisah dan tak tenteram. Kenapa? Kay sendiri tiada jawapannya.
Hampir 30 minit dia duduk di dalam kereta seorang diri dan walaupun ada beberapa buah kereta keluar dari petak parkir, Kay mengambil keputusan untuk tetap duduk di situ saja.

‘Lama lagi ke Kal?’ Pesanan ringkas dihantarnya.

‘Sikit lagi. Tunggu sekejap.’ Balasan Kal membuat Kay sedikit lega. Dia yang tadinya hampir keluar dari kereta terus membatalkan niatnya.
Volume lagu popular Esok Masih Ada dikuatkan dan Kay menyandar tubuh tenang sambil matanya memandang ke arah pintu utama keluar masuk hospital, menanti kelibatan mereka muncul dari sana.

Bibirnya mengalun kecil lirik lagu sehingga matanya terhenti pada sebuah kereta yang baru masuk ke kawasan parkir. Kereta milik Ian Ghadafi! Dia kenal betul dengan kereta itu kerana tempoh hari kereta itu juga yang ditumpanginya.

Mata Kay mengekor kereta itu sehinggalah di petak parkir. Nafasnya seakan sesak bila ternampak Ian Ghadafi keluar dari pintu kereta. Apa dia buat kat hospital ini?

Volume lagu dikecilkan dan Kay membuka tali pinggang keselamatan.

Lelaki itu berjalan perlahan ke arah hospital dan berhenti di satu sudut yang agak tersembunyi. Dia duduk di kerusi panjang sambil membelek-belek telefon bimbitnya buat beberapa ketika. Melawat keluarga, kah? Di hospital ini? Bukan di hospital biasa?

Mata Kay setia di situ sehinggalah Ian bangun dari duduknya dan berjalan semula menuju ke pintu utama hospital. Tapi langkah Kay berhenti agak jauh dan mengundur sedikit di satu sudut. Kay mencari pandang ke arah tempat yang direnung oleh Ian dan jantungnya seakan hampir pecah apabila orang yang keluar dari situ adalah Rose, Kal, Puan Aisya dan Encik Azmi!

Nampak sangat lelaki itu mengelak dari mereka berempat. Kay menelan air liur beberapa kali untuk menenangkan perasaannya sendiri.
Persoalan demi persoalan timbul di kepala sehingga menyesakkan nafas Kay. Kay memandu perlahan ke arah perkarangan pintu utama hospital tetapi matanya masih mengawasi lelaki itu dari side mirror.

Kay pasti ada sesuatu yang tak kena. Sampailah semua ahli keluarganya masuk ke dalam kereta, Kay masih lagi memandang ke arah itu. Apa sebenarnya yang Ian cuba lakukan? Adakah benar lelaki itu penyebab Rose jadi begini?

Kay lupa, Rose ada dalam kereta! Dia memandang ke belakang dan mencari reaksi wajah adiknya tetapi gagal. Wajah Rose kosong dan matanya tidak bercahaya, gelap.
“Kay, apa lagi duk tercegat kat sini, drive lah.” Encik Azmi di sebelahnya menegur.

Kay tak menunggu lama, terus memandu keluar dari hospital. Anehnya walaupun kereta yang di bawa telah jauh, tapi Kay masih ternampak Ian Ghadafi berdiri di tempat yang sama seperti tadi.
Jiwanya memberontak kuat. Mahu disoal pada siapa misteri yang tak terungkai ini?

Perasaannya semakin kuat menyatakan bahawa Ian adalah dalang di sebalik gangguan emosi dan mental Rose Dhamia!

Stereng kereta digenggam kuat seolah-olah mahu dicabut dan dihumban keluar saja.

“Kay nak abah drive ke?”
“Hmm?”

“Macam tengah leka aje ni. Jangan dekat sangat dengan kereta depan, takut tiba-tiba kereta depan berhenti kita tak sempat tekan brake, Kay.”
Kay mengangguk kecil menerima teguran Encik Azmi. Kelajuan dikurangkan dan sesekali matanya terarah ke belakang.

Senyap dan sunyi seolah-olah suasana dalam kereta ini sangat malap dan tak bersemangat. Kay rindu pada suara gelak ketawa Rose dan Kal seperti tujuh tahun yang lepas. Apa sebenarnya yang telah terjadi sehingga menyebabkan rentak keluarganya jadi berubah sejauh ini?

I Want You, Kay Dhamina (TERBIT) Where stories live. Discover now