Beg baju dicebet dan diletakkan di atas sofa sebaik berdiri di ruang tamu. Mata melilau memandang sekeliling. Mana pulaklah Ika ni. bisiknya.
"Ika!" laungnya. Jam di tangan dikerling. Mesti Jenny sudah menunggu di bawah sekarang.
"Ika!" panggilnya lagi. Lebih kuat dari tadi. Macamlah rumah mereka itu besar sangat ruangnya. Padahal yang ada dua bilik, satu dapur dan ruang tamu kecil sahaja. Rumah pangsalah katakan.
Terkocoh-kocoh Zulaika meluru keluar dari biliknya. Dengan muka yang masih belum bercuci. "Apahal kau ni. Aku nak tidur pun tak senang." Mata digosok-gosok dengan jari. Gila mengantuk. Apa tidaknya, pukul empat pagi baru tidur gara-gara menyiapkan costing untuk projek baru syarikatnya. Nasib baik tengah bendera merah jadi tidak perlulah bangun pagi untuk solat subuh.
"Dah pukul sembilan pagi Ika." Bebel Nur Jannah sambil gelengkan kepala. Zulaika dipandang dari atas ke bawah. Ya Allah, serabai gila!
"Ngantuklah!" Tubuh terus direbahkan ke sofa. Mulut menguap lebar.
Nur Jannah menggeleng melihat apa yang dilakukan Zulaika. Gila Buruk! "Ya Allah, tutup-tutuplah mulut tu kalau nak menguap tu. Hodohlah mek!" bebelnya.
Zulaika tersengih. "Eh! Kau nak balik kampung eh?" Tubuh ditegakkan dan Nur Jannah dipandang dari atas ke bawah.
"Habis tu kalau aku macam ni kau ingat aku nak pergi mana? Melawat orang mati?" bebelnya geram.
Sengih Zulaika menjadi semakin lebar. "Cantik...kau cantik Nur pakai macam tu. Nampak manis dan bersopan aje. Malah lebih cantik dari hari-hari biasa tau." Pujinya tulus. Ya, Nur Jannah memang cantik kalau bertudung litup dan berbaju kurung kain kapas begitu. Cuma Nur Jannah sahaja yang perasan dia akan nampak lebih cantik kalau menunjukkan apa yang dia ada.
"Ala Ika, aku nak balik kampung ni. Tak payahlah kau mulakan ceramah agama kau tu. Lain kali aje ya kalau nak membebel." Sengih dipamer menunjukkan gigi putihnya yang tersusun itu.
"Banyaklah kau punya ceramah. Mukadimah pun belum lagi tu tau." Zulaika mencemik.
Sengih Nur Jannah menjadi semakin lebar. "Kau memang tak nak balik kan?" tanyanya lagi. Malas hendak mendengar Zulaika menceceh tidak tentu pasal lagi. Manalah tahu tiba-tiba Zulaika berubah fikiran.
"Tak kut. Aku banyak kerjalah nak kena siapkan. Kau baliklah. Kirim salam dengan mak dan ayah aku eh.Salam rindu peluk cium. Tapi ayah aku, kau tak payahlah peluk cium segala. Haram! Lagipun aku tak nak dapat mak muda macam kau. Kesian bapak aku hari-hari kena dera dengan kau nanti. " Gelaknya pula.
"Cehhh! Aku pun tak ingin." Lidah dijelirkan.
Zulaika sambung tawa. Macam manalah dia boleh keluarkan kata-kata macam tu. Kalau mak dengar tentu panjang telinga dia kena piat. Sudahlah mak cik Kiah tu cemburu amat orangnya. Macamlah ayah hensem sangat. Ya Allah, mulut kau Ika! Marahnya kepada diri sendiri.
"Sudahlah, aku pergi dulu. Kau jaga diri. Kunci pintu masa tinggal sorang-sorang. Kawasan ni bukannya selamat mana pun. Orang yang macam gila sex pun ramai." Pesan Nur Jannah mengingatkan.
Zulaika bulatkan mata. Geram, bantal kecil dicampakkan. "Choi betullah mulut kau Nur. Sudahlah aku tinggal sorang makin kau takut-takutkan aku macam tu." Marahnya. Nur Jannah dijeling.
Mengekek-ngekek Nur Jannah tertawa. Tahu takut juga tu. "Aku gurau ajelah. Kau take care tau. Aku pergi dulu." Beg bajunya dicapai dan dicebet. Langkah mula diayun menuju ke pintu. Zulaika turut bangun.
"Kunci pintu. Jangan lupa. Lepas tu kau boleh sambung membuta lagi." pesannya lagi.
"Iyalah..iyalah..."
YOU ARE READING
DIA BUKAN BIDADARI
Aktuelle LiteraturNur Jannah Zahra, dia cantik, berpelajaran, bijak bergaya, berpenampilan menarik dan pandai menggoda tetapi sayangnya dia hanyalah seorang anak kampung yang hidupnya serba sederhana. Ingin lari dari kehidupan yang menyesakkan dia mula menggoda anak...