Bab 15 - Naila

77 3 0
                                    

"Nanti jangan serik datang sini lagi ya Jenny." Mak cik Latipah menitipkan pesanan. Gadis tionghua yang nampak sopan berbaju kurung itu dipandang dengan senyuman. Sejuk matanya memandang.

"Iya mak cik. Pasti akan datang lagi. Saya suka sangat dengan suasana di sini. Pemandangan indah, udara segar dan yang paling penting, dapat makan sedap-sedap." Balas Jenny berseloroh. Walaupun cara cakapnya seperti bergurau tetapi sungguh dia selesa berada di situ. Nyaman dan tenang.

"Amboi Jen, dari semalam tak habis-habis membodek mak aku." kutuk Nur Jannah selamba. Beg bajunya terus dimasukkan ke dalam bonet kereta Toyota Vios milik sahabatnya itu.

"Mana ada membodek. Jujur dari hati tu."

"Hurmmm...iyalah kau." Bonet kereta terus ditutup. Malas hendak melayan Jenny lagi, dia terus berjalan menghampiri pak cik Ahmad yang sedang berdiri tidak jauh dari situ. Sampul surat kecil yang diletakkan di dalam beg tangannya diambil.

"Kakak dah nak balik bah. Abah jaga diri baik-baik. Kalau ada apa-apa telefon kakak jangan nak sembunyikan macam hari tu." Pesannya. Itupun gara-gara dia tahu apa yang berlaku kepada abah beberapa minggu yang lepas sehinggakan dia tidak dibenarkan balik. Kalau bukan kerana Najihah yang digelarkan si mulut busuk bercerita, entah-entah sampai bila pun dia tidak akan tahu. Lebih menyakitkan hati apabila si mulut busuk itu menuduhkan sengaja tidak ambil tahu tentang orang tua di kampung setelah duduk di Bandar. Hello! Dia kalau boleh hendak sahaja bawa abah dan emak tinggal di Bandar tetapi hidupnya sendiri pun masih terumbang ambing lagi. Kalau ikutkan hatinya, dia tidak mahu langsung berjauhan dari keluarga tetapi dia juga ada kehidupan yang perlu dia lalui.

"Ala kakak, hari tu abah luka sikit aje. Jauh lagi dari nyawa." Pak cik Ahmad berseloroh. Padahal yang sebenarnya, hampir seminggu jugalah dia tidak boleh bergerak kemana-mana kerana keadaan luka dikakinya ketika itu.

"Tengok tu. Suka cakap macam tu." Nur Jannah tarik muka kelat. Mulalah dia rasa berat hati hendak balik ke bandar semula.

Pak cik Ahmad gelengkan kepala. Bibir pula menguntum senyum lebar. Apa tidaknya, suka dia melihat wajah anak gadis yang sudah berubah cemberut begitu. Sedari kecil sehinggalah sudah besar panjang begini, perangai anak gadisnya itu langsung tidak berubah. "Sudahlah, baik kakak gerak sekarang nanti lambat pulak sampai rumah." Suruh pak cik Ahmad sengaja malas hendak memanjangkan isu tersebut.

Nur Jannah mendengus. Tahu sangat abahnya sengaja mahu mengubah topik perbualan mereka.

"Iyalah kakak gerak dulu." Balasnya perlahan. Tangan diangkat untuk bersalaman. "Ini ada duit sikit untuk abah dengan mak. Kakak nak beri banyak kakak tak mampu lagi tapi kakak nak abah dan mak merasa hasil titik peluh kakak." Sampul di tangannya dihulurkan untuk pak cik Ahmad sambut.

Pak cik Ahmad terus terdiam. Anak gadisnya itu dipandang tak berkelip. Entah kenapa tiba-tiba hatinya terasa sayu pula.

"Abah, ambillah." Sampul di tangannya dihulur lagi apabila pak cik Ahmad masih terus diam membatu ditempatnya.

Perlahan-lahan pak cik Ahmad lepaskan nafas. Mata yang terasa basah cepat-cepat digosok dengan ibu jarinya.

"Kakak simpanlah duit tu. Abah tak perlukan duit tu.."

"Abahhh.." belum sempat pak cik Ahmad menghabiskan kata-katanya cepat sahaja Nur Jannah memintas. "Selama ni abah tak pernah ambil duit yang kakak bagi. Setiap kali kakak hulur abah mesti tolak. Abah rasa duit yang kakak beri ni kotor ke sampai abah langsung tak nak terima?" ucapnya berjauh hati.

Laju pak cik Ahmad gelengkan kepala dan beristigfar. "Astagfirulahalazim...kenapa kakak cakap macam tu? Abah tak pernah pun fikir sampai ke situ." Ucapnya. "Abah tak ambil sebab abah tahu kakak lebih memerlukan duit tu. Abah tahu kakak pun susah dekat sana. Abah tak nak kakak sampai ikat perut semata-mata nak hulur duit kepada abah setiap bulan. Bagi abah, apa yang abah ada sekarang dah cukup untuk kami hidup." Luah pak cik Ahmad panjang lebar.

DIA BUKAN BIDADARIWhere stories live. Discover now