3

80 7 2
                                    

"Ibu tak apa-apalah. Dah, jangan nangis."

Puan Ariana mengusap lembut kepala Andi yang sedang menangis di tepi katil. Tangan kirinya siap bersimen, dan ada plaster besar di pipi kanannya. Salleh yang memerhati sejak tadi hanya membisu. Terkejut jugalah apabila Andi tiba-tiba menelefonnya, minta teman di hospital. Mujurlah ibu bapanya tidak kisah. Malah, Puan Fauziah sendiri yang tolong hantarkan mereka berdua ke situ.

"Macam mana boleh jadi macam ni, Ana?"

Puan Ariana memandang ke arah Puan Fauziah yang baru sahaja sampai di wad itu. Yalah, walaupun esok Hari Raya, kawasan parkir hospital masih lagi sesak.

"Hm. Kita sendiri yang cuai, Cik Zee. Langgar tiang lampu isyarat," kata Puan Ariana sambil sengih.

"Tapi kereta kan baru je hantar servis, kan?"

Puan Ariana hela nafas. "Ada siapa entah baling mercun ke tingkap kereta. Meletup. Tu yang terbabas langgar tiang tu."

Puan Fauziah terus cekak pinggang. "Budak-budak ni. Nak main mercun pun agak-agak la. Sampai kena kereta orang dibalingnya."

"Ala. Tak apalah. Tak sengaja tu."

"Macam ni pun awak boleh okey je?" Puan Fauziah kehairanan, tidak percaya dengan kata-kata Puan Ariana itu.

Puan Ariana hanya senyum penuh makna.

"Sebab pernah kena lagi teruk dari ni. Setakat tangan patah ni, sikit je," bisik Puan Ariana.

"Apa?" Puan Fauziah gagal menangkap butir bicara Puan Ariana tadi.

"Tak ada apa-apa." Puan Ariana terus melemparkan senyum manis kepada Puan Fauziah.

(...)

"Macam mana malam ni? Takkanlah awak nak tinggal seorang diri di rumah tu?" Salleh bertanya sebaik sahaja waktu melawat tamat. Mereka berdua berada di koridor luar wad yang menempatkan ibunya itu, menunggu Puan Fauziah yang masih di dalam.

"Tak apa. Saya dah biasa."

"Tapi malam ni lain sikit. Malam ni malam raya."

Andi garu kepala. "Entahlah. Tak ada mood nak raya bila jadi macam ni. Tak apa. Saya boleh je duduk sorang."

Puan Fauziah muncul seketika kemudian. "Makcik dah tanya mak kamu, dia izinkan kamu tumpang rumah makcik buat semalam dua."

"Eh, tak apalah, makcik Zee. Betul tak apa," kata Andi, serba salah.

"Tak mengapa. Lagipun kami ni beraya di sini je. Petang esok boleh ziarah mak kamu lagi. Okey?" pujuk Puan Fauziah

"Yalah, Andi," kata Salleh. "Kan dah cakap semalam. Awak boleh je tumpang tidur bilik saya. Tak ada masalahlah."

Andi hanya tunduk. Nafasnya dihela lemah.

(...)

Tilam kembara siap terbentang di atas lantai bilik. Salleh kemudian muncul membawa selimut tambahan dari bilik ibu bapanya. Bantal tambahan memang sudah ada di dalam biliknya. Sesekali matanya merenung Andi yang termenung di atas kerusi, merenung tingkap.

"Andi, fikir apa tu?"

"Eh?" Andi bagaikan tersedar dari lamunan. "Tak ada apa-apa. Cuma risaukan Ibu je."

"Dia tak apa-apa tu. Cheer up, okey. Lagipun esok raya," pujuk Salleh. Bahu Andi ditepuk mesra.

"Tapi raya macam tak ada makna kalau Ibu tak ada bersama," kata Andi perlahan.

Salleh hela nafas lemah.

"Macam ni la. Kita tidur dulu. Rehat. Esok, lepas Solat Jumaat, kita terus pergi hospital. Lawat mak awak tu. Okey?" Salleh beri cadangan. "Lagipun, masa melawat memang dah mula lepas Solat Jumaat kan."

Andi mengangguk perlahan. Dia bangun dari kerusi lalu duduk di atas tilam kembara yang terbentang itu. Lama dia membisu sebelum pandang ke arah Salleh yang sudah naik ke atas katilnya.

"Terima kasih, Salleh."

Salleh angguk sekali. "Kita kan kawan. Kawan mesti saling membantu, tak gitu?"

Andi angguk seraya selimut ditarik ke seluruh tubuh. Bilik Salleh ada pendingin hawa, maka hanya beberapa minit sahaja diperlukan untuk masing-masing dibuai lena dek kedinginan bilik itu.

(...)

Matanya tiba-tiba celik. Bilik itu suram. Matanya melilau ke sekeliling bilik sebelum dia bangkit, duduk, terkejut.

"Aku di mana ni? Ni bukan bilik aku."

Dia terus berdiri, cuba mengecam di mana dia berada. Gagal.

"Mana pula budak lembik penakut tu bawa aku ni?" Dia mendesis geram. Serentak dengan itu, pintu bilik air terbuka. Salleh melangkah keluar dari situ sambil mengelap rambutnya yang basah menggunakan sehelai tuala kecil. Tuala berwarna jingga yang agak besar membalut hampir seluruh tubuhnya.

"Oh, awak dah bangun ke, Andi? Baru nak kejutkan."

Siapa pula dia ni? Eh, macam kenal.

"Aaa... Ya. Baru je bangun," katanya, menggunakan gaya bahasa Andi.

Ni kawan dia ya? Kenapa dia ni pergi bermalam di sini? Mana Ibu?

"Cepat siap. Kejap lagi habis Subuh. Nanti nak pergi Solat Sunat Raya di masjid pula. Kalau lambat, kena tinggal," seloroh Salleh.

"Solat... Sunat... Raya?"

"Hari ni hari rayalah! Lupa la tu."

Hah?

Trance : RayaNgeriWhere stories live. Discover now