7

54 8 0
                                    

"Pistol. Darah. Orang hitam!" Salleh belum habis panik lagi nampaknya. Lantas mulutnya ditekup Malik.

"Syy... Diam. Nanti lelaki hitam tu jumpa kita!" Malik berbisik tegas. Salleh mengangguk laju. Tekupan pada mulut dilepaskan. Salleh kemudian tarik nafasnya sedalam-dalamnya, cuba untuk bertenang.

"Awak pasti ke kita akan selamat bila menyorok di sini?" Salleh bertanya.

"Harapnya," kata Malik perlahan, sambil mengalihkan batang mop ke tepi. Ya, mereka sekarang ini bersembunyi di bilik janitor, tempat menyimpan alatan pembersihan, betul-betul bersebelahan tandas tidak jauh dari Jabatan Forensik.

"Bawa telefon kan? Cuba call Polis. Dapat tak?"

"Ha, baru teringat ada bawa telefon," kata Salleh sambil sengih. "Pegang ni kejap," katanya lagi, menyerahkan bungkusan yang dipegangnya tadi kepada Malik. Telefon bimbit dibawa keluar dari saku baju melayunya. Skrin dilihat.

"Alamak! No service la pulak! Macam mana ni?"

Malik membelek bungkusan di tangannya itu. Baunya sedikit hanyir walaupun kelihatan bersih. Seakan daging yang membusuk. Dibuka sedikit bungkusan itu. Ada dua bungkus serbuk putih di dalamnya, setiap satu bersaiz besar sedikit dari bungkusan tepung gandum sekilogram.

"Ni... Dadah ke?" Malik menggumam perlahan. Terkejut dengan apa yang dilihatnya itu.

"Dadah? Biar betul!" Salleh berbisik, turut terkejut. "Macam mana boleh seludup masuk hospital pula ni?"

"Entah. Tapi, kalau bukan dadah, kenapa lelaki tu pergi tembak doktor tu kan," duga Malik.

"Maknanya kita pun akan dibunuh juga kan? Macam mana ni? Sini tak ada line. Area ni pun macam tak ada orang lalu," kata Salleh, mula menggelabah.

Malik melihat baldi berhampiran mereka. Air sisa mop masih bertakung di dalamnya. Lama dia berfikir, bagaimana mahu melepaskan diri dari lelaki serba hitam itu.

"Saya ada rancangan," kata Malik kemudian.

"Apa dia?"

(...)

Lelaki serba hitam itu berjalan menelusuri koridor. Setiap pintu yang berada di situ dibuka. Sasarannya hanya dua orang remaja yang merosakkan rancangannya.

"Adik-adik, mana adik-adik pergi? Marilah main sama abang," katanya dengan nada seram. Langkahnya terhenti di hadapan pintu bilik janitor. Tombol pintu dipulas dan pintu dibuka kasar.

Serentak dengan itu, baldi berisi air sisa mop jatuh menimpa lelaki itu dari atas. Habis basah pakaiannya, matanya pula buta seketika dek baldi menutupi pandangannya. Badannya tiba-tiba ditolak jatuh ke atas lantai.

"Lari cepat!" Kedengaran suara salah seorang dari remaja itu. Tidak dapat dipastikan siapa disebabkan pandangannya masih ditutupi dinding baldi.

Kedua-dua remaja yang bersembunyi di dalam bilik itu memecut laju, meninggalkan bilik itu, lalu masuk ke dalam Jabatan Forensik.

"Tak guna!" Baldi yang menutupi pandangannya tadi dicampak jauh.

(...)

"Awak pasti pintu keluar dekat dalam ni?" Mata Salleh melilau di koridor Jabatan Forensik. Rasa takut masih membungkus dirinya. Yalah, bilik mayat kan. Matanya mengerling ke arah doktor yang terbaring, dibasahi darah, di atas lantai itu.

"Ya. Ingat lagi rancangan kita?"

Salleh angguk. Bungkusan yang sejak tadi dipegang Salleh berpindah tangan. Mereka kemudian sama-sama mencari pintu keluar. Sekejap-sekejap mereka bersembunyi di sebalik tiang dan pintu sepanjang koridor, khuatir kalau-kalau lelaki itu menyerang mereka lagi.

"Tu dia!"

Pintu kaca jenis gelongsor yang ditinted gelap dan separa terbuka, menuju ke arah luar bangunan kelihatan di hujung koridor. Serentak dengan itu, sebutir peluru nyaris terkena lengan Malik, terbenam di panel kayu dinding bersebelahan.

"Cis! Laju betul dia recover!" Malik mendengus. "Awak keluar cepat, cari bantuan!"

"Awak macam mana?"

"Saya lengahkan dia. Cepat!"

Salleh kelihatan ragu-ragu sebelum berlari keluar dari Jabatan Forensik, meninggalkan Malik menghadapi lelaki serba hitam itu.

"Kau nak ni kan?" Malik tunjukkan bungkusan di tangan. "Cubalah ambil!"

"Oh? Kau berani cabar aku, budak? Menarik!"

Trance : RayaNgeriWhere stories live. Discover now