8

51 8 3
                                    

Salleh berlari bagai orang gila menuju ruang lobi hospital. Sampai sahaja di kaunter pertanyaan, dia terus rebah kepenatan. Pengawal keselamatan yang berada berhampiran terus mendekati Salleh lalu membantunya duduk.

"Adik, apa adik buat di sini? Waktu melawat dah habis."

"Ada... Ada..." Salleh termengah-mengah.

"Adik, bawa bertenang. Kenapa ni?"

Dia tarik nafas dalam-dalam sebelum mula berbicara. "Ada orang pergi tembak doktor dekat bilik mayat! Cepat call polis! Kawan saya pun ada kat sana sekarang!"

(...)

Malik termengah-mengah di sebalik pintu. Penat berlari sambil mengelak tembakan dari lelaki itu. Dua daripada tembakan yang dilepaskan itu mengenai pintu tempat dia berlindung. Yalah, pintu rintangan api. Strukturnya sendiri berbeza dengan pintu-pintu lain yang berada di situ.

"Berikan saja benda di tangan kau tu pada aku, budak mentah."

Malik lihat sekilas bungkusan di tangannya itu. Dia kemudian mengerling ke arah koridor. Bayang-bayang kelihatan di koridor, perlahan-lahan membesar, serentak dengan bunyi tapak kasut yang semakin hampir.

"Lambat pula budak tu minta tolong," gumam Malik perlahan. "Nampaknya... Tak ada cara lain."

Dengan perlahan dan berhati-hati, dia melangkah keluar dari tempat persembunyiannya, sebelah tangan yang bebas itu diangkat ke udara. Lelaki serba hitam itu terus acukan pistol di tangan ke arah Malik. Bersiaga.

"Wow wow wow! Aku datang cara baik pun, nak tembak juga ke?" Malik membidas.

Lelaki serba hitam itu mendengus. Pistol diturunkan sedikit.

"Beri sini benda di tangan kau tu, budak."

"Boleh je. Dengan syarat, jangan tembak aku. Boleh?"

"Hm." Lelaki itu berfikir seketika. "Yalah, aku janji."

Bungkusan berpindah tangan sekali lagi. Malik dengan perlahan berundur beberapa tapak sebaik sahaja bungkusan diserahkan. Lelaki itu pula memeriksa bungkusan itu.

"Kain buruk dengan sabun serbuk je?" Lelaki itu terkejut. Dia pandang Malik, di wajahnya terpamer amarah. "Mana pergi serbuk dalam bungkusan ni ha?"

"Tak tahu. Aku tak buka pun."

"Kau jangan tipu aku la, budak mentah!" Pistol diacu ke arah Malik.

"Woi! Kau dah janji kan, tak tembak aku kalau aku beri bungkusan tu?"

"Peduli apa aku!"

Serentak dengan itu, picu pistol ditarik.

Klik! Klik!

"Eh?"

Suasana sepi seketika.

"Masa ni jugalah peluru habis!" Lelaki itu membentak.

Serentak dengan itu, satu sepakan padu mengenai lengan yang memegang pistol itu. Pistol tercampak jauh di hujung koridor. Tumbukan bertubi-tubi kemudian dilepaskan ke arah muka dan badan lelaki itu. Terus jatuh ke atas lantai lelaki itu dibuat Malik.

"Aku cukup benci orang yang tak tepati janji," kata Malik sambil menyepak kelangkang lelaki itu sepenuh tenaga. Melihat lelaki itu tergolek sambil mengaduh kesakitan, cukup untuk buat dia senyum puas.

(...)

"Ni. Benda ni ada dalam bungkusan tu."

Seorang pegawai polis membelek-belek paket serbuk putih yang diberikan Salleh. Dua paket serbuk putih itu sudah dipindahkan ke dalam beg sandangnya semasa di dalam bilik janitor tadi. Pegawai polis itu kemudian menoleh ke arah dua orang rakan setugasnya tidak jauh dari situ. Mereka berdua baru sahaja sampai sebaik sahaja menerima laporan dari pihak hospital.

Semasa menunggu pihak polis sampai, seorang jururawat lelaki bersama-sama dua orang pengawal keselamatan bergegas ke arah Jabatan Forensik. Entah mengapa mereka masih belum kembali ke lobi lagi.

"Idham, Musa, pergi periksa bilik mayat sekarang juga."

"Baik, tuan!" Dua orang pegawai polis itu terus bergegas meninggalkan kawasan lobi itu.

Pegawai polis yang memberi arahan tadi kemudian menoleh ke arah Salleh yang duduk di atas bangku disediakan, sedang menggeletar.

"Adik bawa bertenang, ya. Kami akan selamatkan kawan adik tu."

Salleh mengangguk. Pegawai polis itu kemudiannya menjarakkan diri, menghubungi ibu pejabat.

"Andi selamat ke? Risaunya saya," gumam Salleh. Bibirnya digigit perlahan.

Trance : RayaNgeriWhere stories live. Discover now