"Salleh, jomlah tengok sekali. Best filem ni."
"Tak nak."
"Ala. Ni cerita komedi la. 'Make Me Shudder'. Best!"
"Tipu. Tu cerita hantu! Hantu Thailand pula tu! Tak nak!"
Malik memerhati sahaja gelagat Salleh dan sepupu-sepupunya itu. Dia terpaksa mengikut keluarga Salleh beraya di Casa Delima, rumah datuk dan nenek sebelah ibu Salleh. Rasa mahu ketawakan sahaja Salleh yang belum habis rasa takutnya itu, sebab sebelum itu dia diperdaya untuk bermain game 'Five Nights at Freddy's' dan 'Slenderman' menggunakan komputer riba milik salah seorang sepupunya. Riuh rumah itu seketika disebabkan jeritan Salleh sahaja.
Mujurlah setakat ini rahsia 'dia bukan Andi' belum lagi terbongkar. Sepupu-sepupu Salleh pun sekadar pandang dan senyum. Rasa janggal untuk bertegur sapa.
Malik juga dapat tahu apa yang telah berlaku semalam. Geram sungguh dia pada si malaun yang pergi campak mercun merata-rata itu. Kalaulah dia tahu siapa punya angkara...
"Andi, jom. Kita gerak ke masjid untuk Solat Jumaat. Kejap lagi masuk waktu Zohor," tegur Encik Ayoub. Bahu Malik ditepuk mesra, mengejutkan dia dari lamunannya.
"Er... Ya. Baiklah," kata Malik, sedikit tergagap. Salleh yang berada tidak jauh darinya sempat menari setempat, gembira kerana tidak lagi dipaksa menonton atau melakukan apa-apa yang melibatkan elemen seram.
(...)
Van yang membawa mayat yang diterbangkan dari Thailand itu sampai ke Jabatan Forensik Hospital Temenggung Ismail. Seorang doktor lelaki memerhati rekod yang diterima dari pemandu van, sementara atendan hospital membawa masuk mayat yang dibungkus dalam beg hitam itu ke dalam bilik mayat.
Seketika kemudian, pembantunya menghampiri doktor itu.
"Doktor Zaki, waris mayat tu ada minta supaya dipercepatkan urusan bedah siasat. Kalau boleh, malam ni siap. Boleh tak?"
Dr. Zaki pandang ke arah pembantunya sambil hela nafas. Disebabkan hal ini, dia dipanggil bertugas pada pagi raya yang indah ini. Terpaksa dia bergegas dari kampungnya, kerana dia sahaja satu-satunya doktor forensik di hospital itu.
"Maaflah sebab susahkan kamu di pagi raya ni, Amsyar. Patutnya syif kamu hari ni dah habis."
"Tak apa doktor. Dah tugas saya. Nasib baik kampung saya tak jauh dari sini. Er... Kenapa dengan rekod tu?"
Dr. Zaki membaca sekilas rekod di tangannya.
"Kalau ikutkan, di sini tertulis punca kematian, mati mengejut. Tapi... Ada kesan luka dan lebam seakan dipukul."
"Jadi, rekod tu tipu?" Amsyar terkejut.
"Mungkin," kata Dr. Zaki sambil mengangguk. "Tak apa, masa post mortem nanti, kita tengok kalau-kalau rekod tu ada masalah."
"Okey," kata Amsyar. Mereka berdua terus masuk ke dalam Jabatan Forensik.
Dari kejauhan, satu lembaga hitam sedang memerhatikan gelagat Dr. Zaki dan Amsyar itu.
(...)
"Dah sampai? Bagus. Ikut saja rancangan kita tu. Kalau ada yang nampak 'benda' tu, atau dah tahu rancangan kita itu, bunuh saja dia tanpa teragak-agak."
"Yes, sir," jawab seseorang di hujung talian.
Talian ditamatkan. Jo senyum puas setelah memgetahui maklumat dari samseng upahannya itu. Setakat ini, semuanya berlaku seperti dirancang. Dia sendiri yang mengaku sebagai waris si mati dan mendesak bedah siasat dijalankan secepatnya.
Foto di atas meja diambil. Dia melangkah ke arah tong sampah kecil yang diperbuat dari besi, terletak tidak jauh dari tempat dia berdiri tadi. Senyuman semakin melebar.
"Kan aku dah kata. Kau masih lagi berguna walaupun tidak lagi bernyawa, wahai kawan."
Pemetik api dikeluarkan dari saku seluar, lalu foto itu dibakar. Dicampak foto yang dimamah api itu ke dalam tong sampah itu. Senyumannya semakin melebar sebaik sahaja foto itu terbakar sepenuhnya.
"Terima kasih kepada kau, aku akan dapat bayaran hutang yang kau datangkan, kawan." Tawa jahat meletus dari mulutnya.

YOU ARE READING
Trance : RayaNgeri
Adventure*Cerpan merepek sempena Hari Raya* Puan Ariana ditimpa kemalangan - terima kasih kepada sebiji mercun - pada sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri. Jadi, Andi bersama ibunya beraya di hospital, ditemani Salleh. Pada senja pertama Hari Raya, mereka ber...