"Satu percubaan penyeludupan dadah menggunakan cara yang luar biasa telah ditumpaskan oleh dua orang remaja..."
"Tak mungkin!"
Penumbuk dihempas di atas meja kayu jati itu. Laporan berita yang terpapar di skrin televisyen mengejutkan Jo. Rakaman video orang suruhannya dibawa masuk ke dalam kereta peronda terpapar di situ. Anehnya, identiti kedua-dua remaja itu dirahsiakan.
"Macam mana orang suruhan terbaik aku boleh kalah dengan dua orang budak?" Jo masih gagal menghadam apa yang terpamer di berita itu. Matanya mengecil, mindanya berputar ligat.
"Kalau aku tahu siapa budak berdua ni... Siaplah mereka!"
Kot yang dikenakan diperbetulkan. Kunci kereta di atas meja diambil. Dia terus berjalan keluar dari pejabatnya, menuju ke arah kereta di ruang parkir.
Di saat butang kunci kereta ditekan, seseorang menepuk bahu lelaki berkot itu dari belakang.
"Datuk Jonathan Low Lee Yuen?"
Jo menoleh ke arah pegawai Polis yang memegang bahunya itu. Kad kuasa ditunjukkan.
"Kami terpaksa tahan Datuk untuk siasatan lanjut."
Giginya diketap kuat seraya gari dipakaikan di kedua-dua pergelangan tangannya.
(...)
"Awesome betul apa jadi tadi, kan?" Salleh berkata teruja. Dia berbaring di atas katil. Kad nama milik Inspektor Mazlan dibelek-belek. Malik yang memerhati sambil duduk di atas tilam kembara tempat tidurnya hanya buat muka menyampah.
Mujur juga pihak polis dan wartawan menghormati permintaannya supaya identiti mereka berdua tidak didedahkan dalam laporan berita tadi. Esok pula kilang surat khabar bercuti, jadi laporan berkenaan kejadian yang dihadapi mereka senja tadi hanya diketahui lusa.
"Eh, kenapa awak minta jangan dedahkan identiti kita tadi? Masuk TV kot! Kita boleh famous satu Malaysia!"
"Famous? Tu yang kau fikir? Heh," Malik tertawa kecil sambil menggeleng. "Kau terfikir tak, kalau-kalau siapa entah yang upah orang hitam tu cari kita sebab kita dah rosakkan rancangan dia? Kau tak kisah family kau terancam?"
Salleh terdiam. Lama dia berfikir.
"Betul juga. Orang hitam tu dah cukup ngeri. Tu baru seorang," kata Salleh kemudiannya sambil mengangguk. "Agak-agak doktor yang kena tembak tu tak apa-apa ke?"
"Mereka okey."
"Mereka?" Salleh kabur seketika.
"Pembantu dia pun kena tembak. Sekarang ni dia dah stabil. Cuma belum sedarkan diri lagilah. Sipi-sipi peluru tu kena jantung."
Salleh mengangguk. Dia kemudian menyedari sesuatu.
"Oh ya, awak guna 'kau' lagi."
"Erk!" Malik tergamam. "Sa... Saya tidur dulu!" Cepat-cepat dia selubungkan seluruh badan dalam selimut.
Salleh hanya merenung keletah Malik sambil menggeleng perlahan. Senyum lucu terukir di bibir semasa dia memadamkan lampu bilik.
(...)
Matanya tiba-tiba celik. Bilik itu suram. Dia menggeliat seketika di atas tilam kembara tempat dia berbaring. Entah mengapa pipinya terasa perit. Tangannya terus meraba pipinya itu.
"Kenapa dengan mulut aku? Pedihnya," katanya perlahan. Serentak dengan itu, pintu bilik mandi terbuka. Salleh keluar dari bilik mandi, bertuala jingga membaluti badan. Rambutnya kelihatan sedikit basah. Yalah, baru sahaja selesai mandi.
"Oh. Salleh. Selamat pagi," tegurnya.
"Selamat pagi, Andi," balas Salleh. "Dah okey pipi tu?"
"Huh?" Andi kabur dengan soalan itu.
"Awak tak ingat?"
"Ingat apa?"
"Semalam kita dah tolong Polis tumpaskan pengedar dadah! Takkan awak tak ingat apa-apa langsung?"
"HAH?" Andi terus terbangun dari atas tilam. "Seriuslah! Kenapa saya tak ingat pun?"
"Awak ingat tak macam mana mulut awak tu luka?"
Andi geleng perlahan sambil mengusap pipi yang masih terasa bengkak.
Suasana sepi seketika. Salleh kemudian memasang lampu bilik dan berjalan ke arah mejanya, lalu mengambil sesuatu. Diserahkan kotak kecil itu kepada Andi yang masih keliru.
"Apa ni?"
"Makanan penguat memori. Mungkin sebab kena tumbuk tu, awak tak ingat apa jadi semalam. Dah, pergilah mandi. Kejap lagi habis Subuh."
"Uh... Okey," kata Andi perlahan. Tulisan pada kotak itu diteliti.
'Kismis Minda'.
"Huk!" Andi terus mencebik. Terasa mahu menangis mengenangkan dia tidak tahu apa-apa yang telah terjadi semalam. Kotak kismis disimpan di dalam beg pakaian miliknya, tualanya yang tersangkut tidak jauh dari situ terus diambil.
(TAMAT?)
YOU ARE READING
Trance : RayaNgeri
Приключения*Cerpan merepek sempena Hari Raya* Puan Ariana ditimpa kemalangan - terima kasih kepada sebiji mercun - pada sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri. Jadi, Andi bersama ibunya beraya di hospital, ditemani Salleh. Pada senja pertama Hari Raya, mereka ber...