"Dah habis waktu melawat la. Pergilah balik."
"Tak nak. Nak duduk sini."
Puan Ariana hanya mampu mengeluh apabila anaknya tiba-tiba melekap pada dia seperti bayi. Manja lain macam. Salleh yang memerhati dari tepi hanya mampu sengih. Sebotol air mineral yang dibawa di dalam beg sandang kecil dikeluarkan lalu diminum. Belum pernah lagi dia nampak kawannya dalam keadaan begini.
"Apa sengih-sengih? Nak kena tumbuk?" Malik tiba-tiba berkata, kurang senang dengan sengihan Salleh itu. Sengih Salleh mati serta-merta mendengar ugutan itu.
"Garangnya. Macam dia seorang je ada mak. Mak saya dah risau sebab kita tak balik lagi ni, dia tak kisah pula," Salleh mencebik. Telefon bimbit dikeluarkan. Ada mesej baru sampai dari Puan Fauziah.
"Eh, jomlah balik. Mama saya dah tanya kenapa kita tak sampai rumah lagi. Esok kita datang sini lagi, ya?"
Malik merenung tajam Salleh. Salleh terus terdiam.
"Betul kata kawan kamu tu, Andi," kata Puan Ariana pula. "Ni wad perempuan. Kamu tu lelaki. Dosa tau, tengok aurat bukan muhrim. Esok boleh jumpa Ibu lagi. Janganlah risau, ya," pujuknya lagi sambil mengusap lembut kepala anaknya itu.
"Hm... Baiklah, Ibu," kata Malik, akhirnya mengalah. Dia pandang Salleh seketika. "Yalah, nak gerak la ni," katanya sedikit kasar.
"Aip! Tak baik layan kawan macam tu."
Malik terus sengih.
"Yalah, Ibu. Balik dulu ya," katanya, lalu bersalaman dan mencium pipi Puan Ariana. Dia kemudian berjalan laju keluar dari wad, meninggalkan Salleh yang sedang menyimpan botol airnya ke dalam beg sandangnya.
"Eh, tunggulah saya!" Salleh melaung sambil mengejar Malik dari belakang.
(...)
Zip beg hitam itu ditarik, mendedahkan hampir keseluruhan sekujur tubuh yang tidak bernyawa di atas katil besi tempat post mortem akan dijalankan. Beg itu hanya dibuka separuh, sekadar mendedahkan bahagian atas tubuh mayat itu. Namun, apa yang dilihat pada abdomen mayat itu menyebabkan Dr. Zaki kehairanan.
"Doktor, tu kan... Kesan jahitan?" Amsyar menunding ke arah garisan memanjang di tengah-tengah abdomen, ditutupi jahitan yang kurang kemas. Pelajar perubatan pun mampu buat lebih kemas daripada ini.
"Amsyar, berikan saya rekod tu," arah Dr. Zaki. Amsyar menurut. Rekod diteliti. Dahi Dr. Zaki terus berkerut.
"Gunting."
Gunting bedah diserahkan. Benang jahitan ditetas satu demi satu. Selesai sahaja semua jahitan ditetas, belahan itu dibuka. Usus dan perut mayat itu tiada di tempatnya, digantikan dengan sebuah bungkusan berwarna merah, dikotori sisa daging yang mula membusuk.
"Apa tu?" Amsyar kehairanan. Kamera DSLR diambil, foto keadaan abdomen mayat dan bungkusan itu diambil. Dr. Zaki kemudian mengeluarkan bungkusan itu, lalu dicuci di sinki berhampiran.
"Kenapa bungkusan ini ada dalam mayat ni?" Amsyar masih lagi kehairanan. Kamera tadi diletakkan di atas countertop sinki.
"Kita akan tahu nanti," kata Dr. Zaki. Bungkusan dilap hingga kering dan diletakkan di atas meja tidak jauh dari situ. Baru sahaja dia mahu membuka bungkusan itu, Amsyar tiba-tiba rebah. Bahu kirinya berlumuran darah.
"Amsyar? Kenapa ni?"
"Serahkan barang itu," kata satu suara yang kedengaran asing pada telinga Dr. Zaki. Dia menoleh ke arah pintu. Seorang lelaki serba hitam berdiri di situ, pistol di tangan diacu ke arah Dr. Zaki.
(...)
Lif terbuka, di dalamnya penuh dengan satu keluarga yang nampaknya mahu turun di lobi hospital juga.
"Muat lagi ke ni?" Salleh menggumam perlahan.
"Boleh lagi ni," kata seorang lelaki separuh abad di dalam lif itu. "Masuklah."
"Apa lagi awak tengok tu?" Malik menegur, terasa kesabarannya semakin menipis. Hampir-hampir dia terguna gaya biasanya - sinis dengan nada rendah mendatar.
"Lif ni ada pintu belakang."
"Dah tu?" Malik kabur dengan kata-kata Salleh itu.
"Orang kata, kalau lif ada dua pintu, maknanya lif tu... Pergi bilik mayat."
Suasana sepi seketika.
"Nak masuk tak?" Pakcik itu bertanya, memecahkan kesepian di situ.
"Pakcik sekeluarga ni nak pergi tingkat mana?" Salleh bertanya.
"Ground floor. Nak balik terus. Kenapa?"
"Ground floor. Lobi. Bolehlah tu," kata Malik kemudiannya, sambil menolak Salleh masuk ke dalam lif. Salleh yang sedikit takut-takut berdiri bersebelahan pintu lif, membelakangi Malik. Pintu lif kemudian tertutup dan lif bergerak ke bawah.
TING!
Pintu lif terbuka, Salleh terus ternganga. Pakcik itu melihat sebentar kawasan sekitar. Suram. Dingin. Ada pintu terbuka di hadapan lif.
"Ni bukan lobi. Ni..."
Tulisan pada papan tanda di hadapan pintu dibaca.
'Jabatan Forensik'.
"La. Siapa tekan 'BF'? Lobi kan butang 'GF'," gumam pakcik itu sambil garu kepala. Seorang kanak-kanak yang berdiri di sebelah deretan butang lif tersengih-sengih. Nampak sangat dia yang tersalah tekan butang tadi.
"Oh. Em. Gee!!! Tu bilik mayat kan?" Salleh pula menggelabah. Butang pintu lif ditekan, namun tiada reaksi. Sebaliknya bunyi buzzer kedengaran, menandakan lif itu melebihi had muatan.
"Seorang kena keluar, barulah lif ni bergerak," kata pakcik itu. "Siapa nak keluar?"
"Kaulah."
"Tak nak la! Kau la!"
"Eh, kaulah!"
Mereka di dalam lif saling bertolakan. Siap mencadangkan siapa patut keluar dari lif itu. Tiada sesiapa pun yang mahu keluar dari situ.
Salleh yang masih takut-takut terasa ada daya menolak badannya dari belakang. Tahu-tahu sahaja Salleh sudah berada di luar lif. Dia berpaling ke belakang, kelihatan Malik sengih jahat seraya pintu lif dengan perlahan tertutup.
"Janganlah tinggalkan saya seorang di sini!" Salleh menjerit, hampir menangis. Serentak dengan itu, tangannya merentap lengan Malik dengan kuat. Kedua-duanya jatuh terbaring di atas lantai koridor sebaik sahaja pintu lif tertutup sepenuhnya.
"Lepaslah woi!" Malik meronta di atas lantai, lengannya dipaut kuat oleh Salleh yang sudah pucat wajahnya.
"Tak nak. Takut." Air mata Salleh berlinangan. Malik hanya mendengus lemah.

ANDA SEDANG MEMBACA
Trance : RayaNgeri
Pertualangan*Cerpan merepek sempena Hari Raya* Puan Ariana ditimpa kemalangan - terima kasih kepada sebiji mercun - pada sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri. Jadi, Andi bersama ibunya beraya di hospital, ditemani Salleh. Pada senja pertama Hari Raya, mereka ber...