"Berikan saja barang itu kalau mahu selamat."
Dr. Zaki memegang erat bungkusan yang dijumpai di dalam mayat itu, berkira-kira untuk lari. Namun, bilik itu cuma ada satu sahaja pintu keluar. Dan di situ juga, seorang lelaki serba hitam berdiri sambil mengacukan pistol yang dilengkapi peredam bunyi ke arahnya.
"Kamu tahu, apa yang kamu buat ni salah di sisi undang-undang?" Dr. Zaki berkata, cuba melengahkan masa. "Mesti kamu tahu, apa sebenarnya isi bungkusan ni, kan?"
"Beri sajalah! Banyak songeh pula doktor ni."
Tiba-tiba Amsyar bangun lalu memaut pinggang lelaki itu. Kedua-duanya terus jatuh ke atas lantai. Pembantunya yang masih cedera itu mengarahkan Dr. Zaki supaya melarikan diri. Memahami isyarat itu, dia segera meninggalkan bilik itu.
"Tak guna!" Lelaki itu menendang perut Amsyar berkali-kali. Pautan Amsyar akhirnya terlepas. Lelaki itu kemudian berdiri, tembakan dilepaskan pada dada Amsyar. Jasad Amsyar terus kaku di atas lantai.
Dengan segera dia mengejar Dr. Zaki yang sudah menjauh.
(...)
"Tak ada apa-apalah dalam tu! Lagipun, bukannya kita nak masuk situ pun."
Malik sedaya upaya cuba melepaskan diri dari pautan erat Salleh. Walaupun mereka berdua kini sudah berdiri, Salleh masih tidak mahu melepaskan pegangannya pada lengan Malik.
"Nak takut apanya? Hantu?"
"Hei! Cabul mulut tu!" Salleh mendesis.
"Takut la tu," kata Malik dengan nada menyampah.
Salleh angguk laju. "Kejap lagi masuk waktu Maghrib. Ni memang masa jin syaitan merayap pun."
"Awak tahu tak, kalau awak takut, lagilah jin syaitan tu suka? Lepaslah!" Malik menengking kasar. Pegangan Salleh terlepas dek terkejut. Dia kemudian merapatkan badannya sangat dekat dengan Malik. Malik hanya mampu bersabar - mengenangkan lelaki penakut itu sahabat Andi, dan dia tidak mahu rahsianya terbongkar.
Lampu penanda pada lif dilihat. "Lambat lagi nak tunggu lif ni turun. Kita cari tangga naik ke atas. Tapi, tak nampak pun tangga..."
Bunyi berdentum kuat seakan sesuatu berlanggar dengan pintu menyebabkan Salleh terlompat kecil. Mereka bersama-sama menoleh ke arah pintu Jabatan Forensik tidak jauh di belakang mereka. Serentak dengan itu, sebuah bungkusan melayang di udara. Tahu-tahu sahaja bungkusan itu berada di tangan Salleh.
"Kamu berdua! Cepat lari dan panggil Polis!" Seorang lelaki berkot doktor berdiri di pintu, termengah-mengah mengambil nafas. Tiba-tiba dia rebah ke atas lantai koridor. Belakangnya dibasahi darah.
"Eh? Doktor!"
Malik cuba menghampiri doktor itu sebelum menyedari kehadiran seorang lelaki serba hitam tidak jauh dari situ, dengan sepucuk pistol yang kelihatan disambung dengan satu silinder hitam panjang dan muncungnya masih berasap di tangan. Lelaki itu juga menyedari bungkusan yang dicari berada pada seorang remaja yang masih tercatuk di hadapan lif - Salleh.
"Wargh!" Salleh menunding ke arah lelaki itu. Lelaki itu pula terus melepaskan tembakan, hampir-hampir mengenai kepala Salleh. Salleh kaku di tempatnya, rahangnya jatuh.
"Lari!"
Malik segera berpusing, menarik Salleh yang masih ternganga dek terkejut, terus menghilangkan diri.
"Woi! Bagi balik barang tu!" Lelaki serba hitam itu mula mengejar dari belakang.
(...)
"Budak-budak mentah pun kau tak boleh uruskan ke?" Jo menengking melalui telefon. Marah sungguh dia apabila mendapat tahu barangnya dibawa lari. "Dapatkan balik bungkusan tu, walau apa cara sekalipun! Faham?"
"Faham."
Talian telefon diputuskan. Jo kini bersandar di kerusi empuk pejabatnya. Tangan kanannya mengurut kepalanya yang terasa perit.
"Lepas satu, satu hal. Masalah betullah!"
YOU ARE READING
Trance : RayaNgeri
Pertualangan*Cerpan merepek sempena Hari Raya* Puan Ariana ditimpa kemalangan - terima kasih kepada sebiji mercun - pada sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri. Jadi, Andi bersama ibunya beraya di hospital, ditemani Salleh. Pada senja pertama Hari Raya, mereka ber...