13 - kod merah

31 1 0
                                    

"PENATNYA!"

Adra melepaskan keluhan panjang seraya menghempaskan badannya atas katil. Mendengar perutnya berkeroncong, dia terus melihat jam di tangan yang menunjukkan waktu sudah jam 6.15 petang. Dia baru aje balik setelah seharian ada kelas. Hari Khamis memang hari memenatkan bagi Adra sebab dia ada kelas dari jam 8 pagi hinggalah 6 petang.

Dia menoleh ke kanan dan kiri, biliknya kosong. "Haih, mana budak dua ekor ni, sepatutnya kelas diaorang habis awal hari ni, kenapa tak balik lagi?" dia tercari-cari bayang Zahra dan Rayha.

Kalau ikutkan nak aje dia tidur sekejap, lepaskan penat tapi dia takut terlajak sampai tak sempat nak solat Maghrib. Jadi, Adra bangun dan duduk di meja belajar. Pad lukisan yang dah lama dia tak sentuh tu diambil dari rak. Sejak dia sambung belajar ni, lama betul tak melukis, patutlah rasa tertekan semacam hidupnya, biasanya melukis merupakan terapi jiwa Adra.

Adra mengeluarkan pensel dan pemadam. Dia menyelak lukisan-lukisan lamanya. Pad lukisan ini ibarat diarinya. Setiap benda yang dia lukis, ada maknanya yang tersendiri yang hanya Adra sendiri yang faham. Lukisan-lukisan itu dia teliti sambil mengenang kembali kisah di sebalik lukisan tu.

Adra berhenti pada satu muka surat. Dia merenung muka surat tu sedalam-dalamnya.

Tidak semena-mena pintu bilik dorm dibuka. Riuh pintu masuk tu dengan suara gelak tawa Rayha dan Zahra. Masing-masing mengusap perut.

Cepat-cepat Adra tutup semula pad lukisan.

Zahra dan Rayha terhenti. "Eh, Adra! Awak dah balik!" Rayha berjalan pantas ke Adra lalu mengusap kepala Adra. "Tak mandi lagi? Kesian, mesti penat kan?"

"Kauorang dari mana ni? Bukan kelas habis awal ke?" Adra malas nak beri respon pada Rayha.

"Oh, pergi makan." Zahra meletakkan barang-barangnya di atas meja. Dia buka tudung dan buka kardigan.

"Tak tunggu aku?" Adra mencebik.

"Kalau busuk, mandi. Kalau haus, minum. Kalau sakit perut, pergi tandas. Kalau lapar? Makan!" Zahra mengajuk suara Adra. "Tak ada pun kau ajar aku, 'kalau lapar, tunggu Adra baru makan'. Kau balik lambat, kitaorang pergilah dulu."

Tiba-tiba mata Zahra ternampak seekor semut sesat membawa serpihan biskut. Itu mesti biskut yang dia makan malam tadi sambil tonton filem dengan Rayha. "Tengok tu, semut tu pun pandai cari makanan sendiri, kafe bukan jauh pun, bawah ni je, pergilah."

"Sampai hati! Samakan aku dengan semut pula tu. Dahlah suara aku bukan macam tu pun!" Adra membuka semula pad lukisan, mencari muka surat yang kosong. Dia mencapai pensel dan mula melakar sesuatu.

"Ha, merajuklah tu, merajuk!"

"Ish, apa ni, gaduh-gaduh ni. Janganlah bergaduh." Rayha mendekati Adra. "Awak nak tak? Saya beli cheesy fries ni tadi tapi saya dah makan nasi. Takpun, Zahra beli roti tadi, awak nak roti? Takpun awak nak saya temankan turun beli makanan kat bawah? Saya ok aje." Rayha berdiri dekat dengan sisi Adra, tangan mengusap bahu Adra.

Adra menggerakkan bahu, memberi isyarat supaya Rayha jangan sentuh bahunya. "Tak apalah."

"Kau yang merajuk, kau yang rugi," ujar Zahra sambil membaringkan diri atas tilam. "Wah... dah kenyang ni, sedap juga kalau tidur."

Rayha hanya mampu garu kepala. Tak tahu nak buat apa dalam situasi macam ni. Dia baru sedar yang Adra sedari tadi melukis. "Goodness gracious, Adra! Awak pandai melukis? Cantiknya!" Rayha cuba menyentuh pad lukisan tu tapi awal-awal Adra dah tarik.

"Hm."

"Nak tengok? Pandainya awak lukis!" seolah-olah tak makan saman, Rayha cuba lagi nak melihat pad lukisan Adra.

Dia Bukan RosWhere stories live. Discover now