Teaser 1

2.5K 77 6
                                    

TAK! Pemandangan yang terpampang di hadapan mata kali ini sangatlah tidak menyenangkan. Bukan setakat di mata tetapi juga di hati.

Jazil mengeluh.

Satu ... Dua ... Tiga ...

Sehelai demi sehelai pakaian yang berlipat disusun kemas di dalam bagasi kecil oleh wanita yang elok bersila di atas katil, dihitung. Yang pasti, tiada pakaiannya di situ. Hanya pakaian milik Rosemiya sahaja. Cukup untuk memaklumkan niat yang berdendang di hati wanita itu.

"Awak nak ke mana?"

Soalan yang sekadar menari-nari dalam minda akhirnya terluah. Tidak sanggup terus diburu pertanyaan yang tak berjawab. Itu pun setelah menimbang baik buruk dia menyelidik. Sebagai suami, dia berhak tahu setiap pergerakan isteri walaupun mungkin kesihatannya belum pulih secara total.

Memanggung muka, renungan Rosemiya bertembung dengan Jazil. Sesaat dua mereka saling bertatapan sebelum Rosemiya melempar senyuman. Gerak tangan yang tergendala kembali lincah.

Jazil menelan liur. Ukir bibir Rosemiya jelas memantulkan sendu biarpun wanita itu berpura-pura ceria. Lirihnya rupa garis senyum si isteri menggandakan rasa bersalah yang bermukim di hati setelah sekian lama.

"Dah tiba masa untuk Rose pergi. Cari ketenangan dan ubat hati."

Gari genggaman Jazil pada tombol pintu bilik mengetat. Balasan Rosemiya meskipun lembut tetapi bisanya menyucuk hingga ke dalam. Seolah-olah dirinya sedang disindir-sindir walaupun barangkali Rosemiya tidak berhasrat begitu.

"Nak ke mana?" Jazil semakin hilang waras. Lelah dia bersoal jawab sendiri. Lebih baik dia bertanya secara langsung sementelah Rosemiya berada di hadapan mata.

"Sejauh boleh dari pandangan abang."

Sekali lagi, Jazil merasakan satu tamparan pedih di pipi. Kali ini dia yakin, Rosemiya sedang memerli. Atau mungkin juga lontaran dari rasa kecewa yang menghimpit si isteri bertubi-tubi.

Renungan tajam menerkam Rosemiya yang bersahaja meneruskan kerja. Jazil gundah. Rosemiya terang-terangan mengisytiharkan niat yang terbuku. Mahu menjauhkan diri darinya. Tetapi apa yang berlaku, bukan kehendaknya. Takdir Allah yang menjadikan dia dan Rosemiya, dua hati yang berpisah haluan.

"No, saya tak izinkan. Nanti apa kata umi dengan abah? Mak dan ayah awak? Awak suka kalau dia orang salahkan saya?"

Diam, Rosemiya menyimpan rasa tersinggung. Betapa tidak, dalam keadaan begini pun Jazil masih mementingkan perasaan sendiri dan keluarga lain. Sedangkan hati seorang isteri? Jazil abaikan tanpa simpati.

"Bukan ke abang lagi suka kalau Rose tak ada depan mata abang?" Di sebalik soalan, Rosemiya menginginkan pengesahan. Benarkan Jazil yang mencintainya telah hilang dari dalam jasad lelaki bertongkat yang berdiri di hadapannya? Benarkah jalinan kasih sayang mereka sudah lenyap dimakan ingatan Jazil yang terganggu?

"Err ... saya ..."

Jazil ketandusan kata. Bidasan Rosemiya tidak mampu disangkal kebenarannya. Memang betul, dialah punca segalanya.

Ahmad Jazil sendiri yang menjadi jurang tebal dalam ikatan suami isteri antara dia dengan Rosemiya.  

Sweet Rose [TERBIT]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang