Teaser 3

1.3K 55 5
                                    

"Alhamdulillah, Jazil okey. Miya tak perlu risau sangat. Ingat kesihatan Miya sama."

Hajah Ziha, si ibu mertua mengelus lembut bahu Rosemiya. Sebagai perempuan, dia cukup mengerti resah yang membadai isteri kepada anak ketiganya itu. Dia sendiri sebagai ibu, ikut menanggung kebimbangan yang sama.

Haji Basri mengambil peranan melambai pada Luqman yang nampak sedang tercari-cari seseorang.

Tunak matanya tidak berganjak dari Jazil. Dengan harapan lelaki itu akan membalas. Tetapi Jazil mungkin tidak sedar kewujudannya di sebelah Hajah Ziha.

Bersinar-sinar matanya sebaik sahaja Jazil berdiri di hadapan mereka. Penuh sabar, dia menunggu Jazil bersalaman dengan ibu bapanya.

"Abah."

Bersusah-payah, Jazil tunduk mencium tangan Haji Basri sebelum berpelukan erat. Beberapa ketika, barulah dia beralih pada Hajah Ziha. Sama seperti abah, umi juga dicium dan dipeluk.

"Umi janganlah risau. Jazil okey. Kaki aje yang injured sikit." Menegakkan tubuh, Jazil menggenggam erat jemari Hajah Ziha.

"Mestilah umi risau. Jantung umi nak pecah bila Luqman bagitahu Jazil accident."

Resah, Rosemiya meramas-ramas tangan sendiri. Menunggu gilirannya diberi perhatian oleh Jazil ibarat menanti bintang gugur dari langit. Erat genggaman Jazil pada jemari Hajah Ziha seperti enggan dilepaskan. Menambahkan beban penantian yang ditanggung.

"Abang." Dek penasaran terlampau, Rosemiya gagal menahan diri. Memendekkan jaraknya dengan Jazil, bahagian bawah lengan Jazil diusap lembut. Ah, dia benar-benar merindui kehangatan kulit si suami.

Tersentak, genggaman Jazil pada jemari Hajah Ziha terlolos. Spontan tubuhnya berpusing, mencari arah suara lembut yang mendekati.

Sejenak, dia terpinga-pinga membalas renungan wanita asing di hadapannya. Air mukanya berubah kaget apabila selamba jemari kanannya diraih wanita itu. Malah tidak sempat ditarik kembali apabila tangannya dikucup lama.

Setelah wanita itu tegak semula, cepat-cepat Jazil menarik tangannya. Perasaan kurang selesa mencanak tinggi dengan tingkah drastik wanita yang sejak tadi berdiri di sebelah umi.

"Err ... siapa?"

Belum pun larut rasa tersinggung dek Jazil menarik tangannya tiba-tiba, Rosemiya dihempap terkejut pula. Tergemap dia seketika mengunyah perkara yang sedang berlaku.

Sweet Rose [TERBIT]Where stories live. Discover now