HUJAN sedang menggila. Petir dan guruh juga tak berhenti berkelahi sejak tadi. Di tengah teruknya hujan menghentam bumi, ada langkah yang terhuyung-hayang. Ada langkah yang begitu nekad mengharung kegilaan langit memuntahkan isinya. Langkah kaki seorang perempuan.
Arah langkahnya tidak pasti. Fikirannya seperti tidak ada. Namun dia sedar dia baru saja melakukan kejahatan. Dia menangis. Dia juga mengongoi.
Dia telah meninggalkan bayi kecilnya di tepi tempat pembuangan sampah. Dia tahu, bayi kecil itu takkan bernafas lama. Dia telah bersedia melepaskan bayi kecil itu kembali semula pada Penciptanya.
Dia tak mahu bayi kecil itu hidup dihina. Dia tak mahu bayi kecil itu merempat. Meninggalkan bayi itu lebih baik. Keadaan akan lebih baik tanpa bayi kecil itu.
Matanya dipejamkan. Ruang fikirannya penuh dengan bayangan wajah si kecil itu. Masih merah. Masih terlalu kecil. Masih suci tanpa dosa. Dialah yang bergelumang dengan dosa.
Lengannya tiba-tiba disambar orang. Kasar. Dia terdorong ke depan.
"Mana dia?"
Bergetar bibirnya. Dia tahu maksud soalan tersebut. Cuma dia tidak pandai mengarang jawapan. Sebenarnya bukan tidak pandai, dia enggan memberi jawapan.
"Mana dia? Kau dah buang dia dekat mana?!"
Dia masih begitu. Masih bergetar bibirnya. Masih tidak ada jawapan yang keluar dari mulutnya. Sedikit masa saja lagi diperlukan sebelum bayi kecilnya berhenti bernafas.
"Kau memang bukan manusia!"
Tuduhan tersebut dia terima. Dia memang bukan manusia. Dia terlalu jahat untuk menjadi MANUSIA. Kemudian dia melepaskan pegangan tangan yang berada di lengannya. Dia perlu meneruskan melangkah, biarpun keadaannya sekarang lebih teruk berbanding tadi.
Tangisannya juga semakin memburuk. Anak kecilnya seperti memanggil. Masih boleh dirasai kehangatan pautan lima jari kecil itu. Masih boleh dirasai begitu bersemangatnya si kecil itu menyusu sebelum dia ke sini tadi.
"Mama minta maaf," katanya, sebelum tubuhnya terdorong ke belakang. Lengannya telah sekali lagi direntap. Dia jatuh terduduk. Belum sempat dia bangun, dia telah diterkam. Kepalanya dibenam pada lopak air yang berkumpul.
"Aku tanya, mana dia? Kau buang dia dekat mana?!"
Air matanya bercampur dengan air hujan dan lopak air.
"Aku tak nak dia."
"Okey, kau tak nak dia. Tapi aku nak dia!"
Tenggelam lagi suaranya. Emosinya tidak mampu lagi dikawal. Malah, dia tak dapat berfikir dengan baik. Guruh yang marah di langit hanya memburukkan lagi keadaan.
"Dia tak patut lahir ke dunia ni. Dia akan sedih. Dia akan merana kalau dia terus bernyawa. Aku tak nak dia jadi macam aku."
Lehernya dicekik. Dia sempat kekurangan udara. Demi Allah, dia tidak marah kalau nafasnya berhenti malam ini. Mungkin mati dapat menghapus rasa bersalahnya.
"Bukan kau yang tentukan hidup dan mati. Anak kau ada hak untuk hidup!"
Dia memegang kedua-dua belah tangan yang sedang menyekat udaranya. Apabila cengkaman pada lehernya mulai longgar, bibirnya menuturkan ayat.
"Aku mama yang lahirkan dia. Aku yang tentukan hidup dia. Aku nak dia mati. Rasanya sekarang dia dah tak ada. Dah mati. Tak guna kau cari dia lagi."
Dia diberikan raut muka terkejut.
"Kau bunuh dia?"
Dia angguk kepala. Tidak mengapa dia berbohong.
"Kau bodoh! Tergamak kau bunuh darah daging kau sendiri? Mana akal kau?!"
Dia memang bodoh. Kalau dia tidak bodoh, dia takkan ditipu lelaki. Dia takkan mengandung dan melahirkan anak tanpa berkahwin.
Kilat membelah langit. Sayup-sayup ada tangisan bayi kecil mencecah telinga. Kosong sejenak fikirannya.
"Dia belum mati."
"Jangan..." sebutnya sambil berusaha untuk bangun. Dia tidak mahu anaknya ditemui. Dia tidak mahu bayi kecil itu dijaga. Mati adalah pengakhiran terbaik untuk bayi kecil itu.
"Jangan ambil dia," luah setelah berjaya bangun. Dia menghampiri semula tempat pembuangan sampah tempat dia meninggalkan anak kecilnya. Beberapa kali dia tersadung, dan dia berjaya bangkit semula.
Ketika dia sampai, anak kecilnya sedang ditenangkan. Anak kecilnya yang masih merah menggigil kesejukan. Sudah sedikit biru bibir bayi kecil itu.
"Biarkan dia dekat situ. Aku nak dia mati."
"Kau bukan malaikat maut."
Jatuhan air matanya sejak tadi tak terbendung.
"Aku akan jaga dia. Dia akan jadi anak aku. Kau tak perlu ambil tahu fasal dia lagi. Anggap dia dah mati. Anggap kau dah bunuh anak kau malam ni."
Dia ditinggalkan. Dia tunduk merenung bunga hujan yang terbentuk. Semakin teruk juga dia menangis. Bayi kecilnya yang disuruh mati, rupa-rupanya belum mahu mati.
Nota Bonda PK
Suka dengan cerita ni? Grab je terus. Scan barkod dekat bawah ni dan pilih WhatsApp. Bonda tunggu! 🌸
YOU ARE READING
MENUNGGU MU | Best Seller
RomanceAMARAN : MENUNGGUMU merupakan cerita klise. Baca atas risiko anda sendiri. Blurb/ Sinopsis (Bukan Rasmi) Sedari hari pertama Adam melihat Rhea, dia sudah tidak menyukai gadis tersebut. Rhea telah mengambil alih tempat Ava, arwah adik Adam. Keputus...