SELALUNYA Rhea paling suka pergi ke sekolah. Hari ini, Rhea berat hati mahu ke sana. Rhea mahu duduk di rumah. Hatinya lebih tenang dan dia tak perlu berdepan dengan ejekan kawan-kawan sekelasnya. Rhea tak suka dengan ejekan mereka semua. Mereka kata, Rhea bukan anak mama. Mereka kata lagi, Rhea ni anak haram. Anak pungut.
"Rhea." Mama muncul di ruang tamu. Kening mama hampir bercantum setelah melihat Rhea masih memakai pijama tidurnya. Rhea belum bersiap untuk ke sekolah.
"Kenapa belum mandi lagi ni? Sarapan mama dah hidang atas meja makan. Kalau lambat bersiap, nanti tak sempat sarapan."
Raut muka Rhea sedih. Dia bangun lalu memeluk mama dengan erat. Semangat Rhea untuk ke sekolah sudah hilang. Sudah lenyap ditiup taufan jahat.
"Kalau hari ni Rhea tak pergi sekolah boleh tak, mama?" Suara Rhea tenggelam timbul. Dia bimbang mama marah. Mama itu cikgu di sekolah tempat Rhea belajar. Dia tahu mama sangat tegas orangnya. Dia cuma mencuba nasib dan berharap nasib menyebelahinya.
"Kenapa? Rhea tak sihat?"
Tangan mama singgah menyentuh dahi Rhea. Dahi mama berkerut.
"Badan Rhea tak panas. Rhea sakit perut?"
Rhea mahu berbohong, namun dia tahu dia tidak pandai berbohong. Mama pasti dapat menangkap pembohongannya. Itu sangat bahaya.
"Tak. Rhea tak sakit perut. Rhea cuma nak cuti hari ni. Boleh tak, mama? Hari ini saja."
Tubir mata Rhea panas setelah melihat mama mahu marah. Kepalanya tunduk memandang lantai rumah.
"Kenapa ni, Rhea? Biasanya Rhea yang paling awal bangun dan bersiap ke sekolah. Rhea tak pernah macam ni."
Ayat-ayat mama penuh dengan ketegasan. Serta-merta Rhea memusingkan tubuh dan mencapai tuala mandinya. Memujuk mama takkan bertemu dengan kejayaan. Dia sudah kecundang.
Belum sempat kakinya melangkah, tangan kecilnya mama tarik. Mama juga sudah bertinggung di sisinya. Mama menatapnya dalam-dalam.
"Cakap terus-terang dengan mama apa yang dah berlaku? Mama perasan Rhea senyap seminggu ni. Rhea tak banyak cakap. Rhea pun tak makan sangat. Rhea selalu berkurung dalam bilik."
Rhea menahan esakannya. Malangnya dia gagal. Segala ketakutan dan keresahannya selama seminggu ini akhirnya meletus. Dia menangis semahunya lalu terus merangkul tubuh mama.
"Rhea... kenapa menangis ni, sayang? Cerita pada mama. Jangan buat mama risau."
Rhea masih juga menangis. Pelukannya juga semakin erat. Akhirnya mama mengalah. Mama membawa Rhea ke atas katil semula. Mama duduk di situ sambil memeluk Rhea. Esakan Rhea masih jelas kedengaran.
Tidak lama kemudian, ayah muncul di muka pintu. Kelibat ayah hanya nampak berbalam-balam di mata Rhea. Namun dari ekor matanya, Rhea dapat melihat mama menyuruh ayah pergi kerja seperti biasa.
YOU ARE READING
MENUNGGU MU | Best Seller
RomanceAMARAN : MENUNGGUMU merupakan cerita klise. Baca atas risiko anda sendiri. Blurb/ Sinopsis (Bukan Rasmi) Sedari hari pertama Adam melihat Rhea, dia sudah tidak menyukai gadis tersebut. Rhea telah mengambil alih tempat Ava, arwah adik Adam. Keputus...