Dua hari berlalu, aku dah puas menangis. Umi dah puas memujuk. Ayah dah puas berusaha. Langkah terakhir, semuanya terserah kepada aku. Sebelum keluar dari bilik, aku tatap wajah di balik cermin. Buang semua keruh di wajah. Dan aku kembali menjadi Aara Johara yang dibenci Hadi Haririe. Gadis yang tak tahu malu tu.
Okey, hari ni aku akan buktikan aku memang gadis yang tak tahu malu. Yang penting, aku dapat apa yang aku mahu. Yakni, berkahwin dengan Hadi Haririe.
Hujung minggu kebiasaannya, aku ikut ayah dan umi ke pasar tani di kampungku. Dekat dengan simpang ke arah air terjun di kampung sebelah. Umi menghantar bekalan ikan masin dan ikan kering kepada beberapa penggerai di pasar tani. Itu antara pendapatan mingguan umi dalam membantu ayah mencari nafkah.
Aku bukannya nak temankan umi. Aku tahu sejak kecil lagi. Umi kalau nak ke pasar jer, mesti dengan ayah. Umi tak pernah berenggang dengan ayah. Kasih antara mereka tu yang aku mahu miliki seumur hidup. Aku harapkan ada antara aku dan Hadi Haririe.
"Aku rasa baik kau lupakan dia." Ain bagi pendapat yang hanya menggelegakkan kolam hatiku.
"Itu takkan berlaku."
"Dia tak nak kahwin dengan kau."
Aku rasa nak pulas-pulas jer tengkuk seseorang hari ni. Kenapa dia nak ulang-ulang hakikat yang memedihkan hatiku ni?
"Kalau tak kahwin dengan aku, dia nak kahwin dengan siapa?"
"Manalah aku tahu. Gadis bandar kan ramai. Manalah tahu dia dah tersangkut dengan kekasih bermata kelabu." Tuduhan Ain buat hatiku terbakar.
Dengan pantas, aku tinggalkan gerai Abang Wahab dan Ain terkocoh-kocoh kejar aku. Aku melingas kiri dan kanan, mencari seseorang di kelompok manusia yang ramai tu.
"Kau nak pergi mana pula?"
"Aku nak tanya mak Hadi. Dia tentu tahu kalau-kalau Hadi ada awek KL."
"Takkanlah Hadi cerita hal personel tu kat mak dia."
"Kalau tak cerita kat mak dia, nak ceta kat siapa? Hadi takde kawan kat kampung ni."
Bakal emak mertuaku tu tak mungkin sorokkan hal ni daripada aku. Apatah lagi bila dia dah lama terima aku sebagai calon menantu pilihannya. Aku takkan terpedaya dengan lakonan mereka, anak-beranak tu.
"Mak!" Aku terpekik memanggil satu-satunya wanita yang dah lama menjadi mak mertuaku secara tak rasmi. Dia yang nak aku panggil mak. Atau aku sebenarnya yang terpanggil gitu tanpa sengaja. Entahlah. Dah lima tahun lamanya. Aku dah lupa siapa yang mulakan dulu. Tapi sejak lima tahun ni, aku dah biasa panggil dia mak.
Wanita yang sebaya umi itu jauh berbeza daripada umi. Badannya bulat, kalah umi ku yang slim molek jer tu. Mak Hadi nampak lebih cergas, banyak cakapnya, tersangat peramah, berkulit hitam manis tapi selalu sakit-sakit.
Dan akhir-akhir ni, kesihatannya jadi isu utama kat kampung ni. Dua minggu sebelum Hadi balik sini, emak dah berulang-alik ke hospital. Aku yang temankan emak seperti selalunya. Jadi aku tahulah bila kesihatan mak berada pada tahap kronik. Bahkan, aku yang hantar teks pesanan ringkas kepada Hadi dan beritahu kondisi emaknya tu.
Aku rasa sebab tu lah Hadi balik sini. Memang itulah harapanku. Apa yang aku tak jangka, dah seminggu Hadi di kampung ni. Tak pernah dibuatnya berlama-lama bertandang menziarahi emaknya tu. Kalau Hari Raya pun, nampak bayang-bayang jer. Ini belum raya lagi. Lambat lagi.
Apa Hadi buat kat sini kalau bukan nak menetap dan berkahwin? Silap...berkahwin dan menetap, kan? Kalau Hadi ada awek kat KL tu, tak mahunya dia nak tinggal kat kampung ni lagi.
"Mak!" Aku tepuk bahu mak Hadi dari belakang.
Mak terloncat dan terus melatah. Brooch di tangannya terlepas ke meja semula.
"Hadi anak aku. Aara menantu aku."
Yesss! Aku suka bila mak melatah macam tu. Tu yang buat aku tumbuh tanduk jer memanjang nak menyakat mak. Aku gelak senang hati.
Mak terus peluk aku. Tak sempat aku nak cium tangannya. Ain jer yang terpaksa bersusah payah nak bersalaman dengan mak. Maklumlah, emak tak lepaskan aku.
Sebaik sahaja pelukan dilepaskan, emak renungan aku dengan wajah cemberut. "Mana Aara menghilang ni. Lama dah tak datang rumah mak."
"Ala...anak dah balik. Apa gunanya menantu lagi?" Aku buat-buat berjauh hatilah konon.
"Anak dan menantu sama jer pada mak. Mak rindukan Aara tau."
"Mak jer yang rindukan Aara. Tapi anak mak tu rindu awek kat KL jer." Aku muncungkan bibir. Merajuk pada yang sayang, tau.
Mak terus usap-usap pipiku. "Mana ada. Takdelah. Hadi tu kan anak mak. Mak tahulah. Dia takde awek kat KL tu. Dia tau kerja kerja kerja jer."
"Mana mak tahu? Kot-kot dia bercinta dengan kawan kerjanya ke?" Aku terus menduga. Orang kampung yang lalu-lalang antara kami, memang tak dihiraukan.
"Takkan jadi macam tu. Mak tahu ayah Hadi. Ayah Hadi takkan benarkan anak-anaknya bercinta kat tempat kerja."
Betul juga. Kalau ikutkan cerita yang aku dengar tentang ketegasan ayah Hadi tu, cinta kat pejabat memang takkan berlaku. Lelaki yang aku tak pernah jumpa tu, tentu macam Hitler rasanya. Kalau tak, masakan mak Hadi sanggup berpisah dan tidak berhubungan lagi selepas tu.
Bila Ain terbatuk-batuk kat sisi kami, aku balas dengan jelingan penuh makna. Nampak, kan? Hadi milik aku sorang.
YOU ARE READING
RAKUS
RomanceBacaan Dewasa Ini kisah Aara Johara yang sengal. Kisah kedegilannya mengejar cinta seorang Hadi Haririe. Kisah yang penuh dengan senyuman dan tawa. Mampu buat anda gelak dengan kegilaan Aara. Namun, hati-hati...ada air mata yang menyusul. Harga pas...