Bab 1

11.5K 419 114
                                    

HILANG nafas saat Mizan menerima berita yang mengejutkan itu.

Karina akan berkahwin.

Berkahwin??

Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba sahaja guruh berdentum apabila Opah muncul di muka pintu biliknya menyampaikan hajat Karina yang satu itu.

Gempar seluruh keluarga.

Kahar dan Nisa tidak boleh menolak, Karina bersungguh mahu menjadi isteri Saiful dalam masa terdekat.

"Saiful? Siapa Saiful?" Berlapis-lapis kerutan di dahi Mizan cuba mengimbas memori di kepala tentang manusia yang bernama Saiful.

Kosong.

Masakan dia tidak tahu teman lelaki Karina. Segala perihal Karina berada kemas dalam koceknya.

Teman lelaki? Boyfriend? Tiada.

Tidak pernah sekalipun Karina bercerita tentang teman lelaki. Inikan pula hendak berkahwin.

Momen penting dalam keluarga mereka, dia menjadi orang yang terakhir tahu. Walhal selama ini, dialah tempat gadis itu tuju terlebih dahulu.

Merajuk dimarahi Kahar, dialah tempat mengadu dan minta dipujuk. Waima keputusan SPM Karina, dialah orang pertama yang mengetahuinya. Dia ada di sebelah Karina, ketika nama gadis itu diumumkan sebagai pelajar terbaik.

Saban tahun dialah orang pertama yang akan mengucapkan selamat hari lahir untuk gadis itu.

Tetapi kali ini dia menjadi yang terakhir. Terakhir di muka bumi ini.

Karina mula menjauh tanpa dia ketahui punca. Kepala mencongak hari. Bila kali terakhir mereka bertemu. Barangkali dua minggu yang lalu. Mungkin lebih.

Itupun cuma beberapa minit sahaja kerana Karina mengejar masa. Katanya ada perbincangan kumpulan di perpustakaan. Lain benar lagaknya ketika itu kerana Karina bukanlah manusia yang pandai menipu. Hendak beralasan pun cakap tergagap-gagap..

Setiap kali seluruh ahli keluarga berkumpul, Karina tidak ikut serta. Ada sahaja alasan dari Mak Long. Sedangkan dahulu, Kahar pantang jika ahli keluarga mereka tidak cukup, maklumlah keluarga besar mereka hanya mereka sahaja.

Tiada usikan nakal dari gadis itu di group Whatsapp keluarga. Tiada gambar-gambar lucu yang dikongsikan olehnya. Sepi sahaja. Hanya hal penting Karina timbul berbalas mesej. Jika tidak berkaitan, Karina karam di dasar. Cukup sekadar read.

Pelik? Keputusan maha besar begini tidak mahu dikongsikan, sedangkan jiwanya sudah melompat untuk berkenalan dengan gerangan yang bernama Saiful.

Hebat benar lelaki itu, bisa mengubah paksi Karina. Memutarkan haluan Karina sehingga 360°. Berganjak jauh darinya.

Kali ini tidak boleh ditangguh-tangguh lagi. Mizan mahu mendengar dari mulut Karina sendiri.

Busybody?

Jika berkenaan sepupunya yang satu itu, ya. Yang penting dia mahu mengenali siapa Saiful.

SELESAI kuliah tengahari itu, Mizan menjadi penunggu setia Karina di kafe luar dewan kuliah. Susah benar hendak ketemu gadis itu. Dia sudah tidak tahu jadual kuliah Karina. Sejak bila diubah, dia tidak pasti. Yang pasti tidak sama dengan yang ada padanya. Mujurlah dia mendapat ihsan dari Mak Long.

Samada tepat atau tidak Mizan mencuba nasib kerana mesej yang dibalas oleh Karina sekadar 'K' sahaja. Sudah terpadam semua aksara pada skrin telefon untuk membuat hantaran yang lebih panjang. Sekurang-kurangnya maklumkanlah jam berapa kuliah tamat.

Sepupunya sudah bertukar menjadi seorang yang kedekut. Kedekut jari dan aksara untuk berbalas mesej dengannya. Sekadar bertanda biru sahaja. Cukup baguslah jika berwarna biru.

RAJUK KARINAWhere stories live. Discover now