Teaser Lompat....

8.3K 486 204
                                    

KEPALA dan badan Karina beralih ke kiri dan ke kanan dalam keadaan mata dipaksa tutup. Sebentar tadi, tubuh kedinginan sehingga merengkok dan berselubung di dalam selimut. Sekarang suhu bilik sedang-sedang elok, tetap tidak berjaya untuk lena.

Rasanya dia sudah lama tidur. Mungkin juga terlebih tidur.

Akhirnya dia membuka mata dan bangun dari pembaringan memandang sekeliling bilik sambil menggeliat kecil. Tudung sarung yang senget dirapikan.

Biliknya hanya diterangi oleh lampu sisi bersebelahan kerusi recliner di penjuru bilik. Ada selimut nipis dan bantal kecil di atas kerusi di situ.

Pandangan mata tertangkap pada buku setebal dua inci yang terbuka luas dan ditelangkupkan di meja. Automatik gigi diketap rapat. Pantang dia melihat buku diperlakukan begitu.

Jika tidak mahu baca lagi, letaklah penanda. Jangan dilipat atau dibiarkan ternganga atau ditelangkup. Itu gunanya setiap naskah novel disediakan penanda. Kenapa susah sangat hendak menghargai buku itu.

Hanya manusia itu sahaja yang berperangai begitu.

Mizan Aizuddin Bin Kamarul.

Sia-sia bergelar doktor falsafah tapi satu buku pun tak pernah dilayan dengan baik.

Memang lelaki itu tak makan saman. Membebel pun tak guna. Dia tetap akan mengulangi semula. Agaknya sudah beratus penanda buku yang telah dibuat, tak ada satu yang bertahan lama.

"Can't sleep?" Satu suara menarik perhatian supaya berpaling ke arah pintu.

Panjang umur. Lelaki itu muncul dengan minuman yang berasap di tangan.

Mizan menutup pintu bilik dengan perlahan. Tidak mahu mengganggu lena Batrisya.

"Apa salah buku tu, sampai abang buat dia macam tu? Abang buat apa di sini? Bukan ke masa semua orang datang tadi, abang balik rumah? " Berdecit Karina mengomel.

Tiba-tiba teringat cerita seram yang dia pernah dia dengar tentang hospital. Samada Mizan muncul itu manusia atau hantu. Karina menelan liur kelat.

Mata beralih ke hujung kaki lelaki itu. Jejak elok dilantai. Manusia, betullah tu.

"Coffee?" Tanpa menjawab koleksi soalan Karina, Mizan menghulur cawan di tangan.

Karina menggeleng.

"I don't drink coffee after 5, remember?"

"Tak minum pun tak boleh tidur. Minum pun tidur juga." Nada Mizan seperti memerli Karina. Karina kalau dah letak kepala dibantal memang cepat sahaja lena.

Tangan yang menghulur ditarik semula, lalu dibawa cawan dekat ke bibir. Dia menghirup kopi sambil menayangkan mimik muka betapa nikmatnya air itu.

Lagaknya seperti membuat rakaman iklan Nescafe. Ahh...

Karina tersenyum dengan telatah Mizan. Sudahlah soalan tidak berjawab, sengaja pula mahu dia kecur dengan minuman panas itu.

"Sedap sangat ke?"

Beria Mizan mengangguk sambil menyuakan semula cawan di tangan.

Sekali lagi, Karina menggeleng.

"Betul tak nak? Tak sangka coffee di vending machine pun sedap. Kalah air kopi mahal. Lepas ni abang nak cuba mocha pula." Mizan beria memancing selera Karina.

Karina mencebik muka. Tekak langsung tidak teringin dengan minuman itu walaupun aroma itu berkumpul di lubang hidungnya.

"Macam Kar tak tahu, yang lidah abang tu dah melecur. Air tu panas lagi kan?" balas Karina sengaja menjerat Mizan. Sudah-sudahlah nak berlakon.

RAJUK KARINAWhere stories live. Discover now