Bab 7

8K 514 143
                                    



AH! ANUM...

Saiful menghela nafas. Tak ada beza ada atau tidak seterika mahal jika benda itu tersadai di tepi dinding. Beria mengangkut seterika kesayangan Karina tapi tak juga digunakan untuk menggosok baju yang berlonggok. Jangankan gosok, lipat pun tidak.

Dapur penuh dengan kelengkapan tapi tidak juga berasap.

Hanya televisyen besar sahaja aktif berfungsi sejak dibawa ke mari. Tak jadi masalah pada Anum, laju sahaja dia mendaftar pakej Astro bersama servis IPTV lagi.

Yang menjadi masalah adalah dirinya, bertambah bayaran bulanan untuk utiliti di rumah.

Pantang ditegur, terus melenting. Isteri yang langsung tidak boleh dibawa berbincang. Ada sahaja yang hendak dijawab atau meningkah katanya.

"Amboi... Jauh termenung. Ingatkan janda you ke?" Anum muncul menyedarkan Saiful yang sudah jauh mengelamun.

Tak terasa pun dek sindiran sinis dari Anum sebaliknya mata terbeliak pada beg kertas yang dikelik kiri dan kanan tangan Anum. Baru balik membeli belah gayanya.

Saiful mengeluh perlahan. Apa lagi yang dibeli oleh isterinya.

"Awal you balik, sayang." Saiful kehairanan mengerling ke arah jam di dinding. Belum pukul 5, Anum sudah muncul di rumah.

"I half day tadi. Siti ajak I shopping ada happy hour di Sunway Putra, lepas itu I singgah di Jakel. Beli kain untuk baju raya kita, dua pasang. Sedondon. Cantik tak?" Girang Anum, rancak bercerita. Berseri muka bagai menang loteri.

Bulat mata Saiful.

Half day? Baju raya sedondon? Raya apa pula? Seingatnya baru sahaja mereka bercuti sempena raya Tahun Baru Cina.

Dari bulat mata, berkerut pula wajahnya.

"Bila raya? Raya apa pula?" Tanya Saiful sambil mengusap kening. Cepat menjadi pelupa jika mengikut rentak isteri barunya ini.

"Raya puasalah. I beli awal-awal. Tak adalah masa puasa baru nak cari. Esok boleh hantar pada tailor."

"Dua pasang? Kenapa sampai dua pasang? Baju melayu, I pakai sekejap je, itupun untuk sembahyang raya. Beli yang dah siap kan senang." Sungut Saiful. Selama ini beli baju siap sahaja tak perlu hantar ke tukang jahit. Setakat pakai sejam dua.

"Oh no... no... Satu di rumah keluarga I, satu lagi di rumah keluarga you. Jadi mesti dua pasang. Kalau beli kain meter banyak pilihan untuk match dengan baju I. Kalau yang dah siap nak kena baiki lagi. Lecehlah! Lagipun harga lebih kurang sahaja." Anum sudah membuat ketetapan yang tidak boleh disanggah.

Saiful termenung sejenak. Kenapa mesti dua pasang? Keluarga I? Keluarga you? Tersengih sendiri, jari mengusap pelipis, terlupa bahawa dia kini ada keluarga mentua.

Sebelum ini, raya hanya di rumahnya. Karina menurut tidak banyak bunyi. Baju raya pun elok sahaja beli yang dah siap tak perlu dibaiki apa-apa. Beli ketika jualan murah dekat nak raya. Lebih jimat.

"Ala rumah keluarga kita setaman je. Satu hari dah boleh settle. Kenapa nak membazir." Tanpa sedar, Saiful sudah menaikkan rasa marah Anum. Kisah pula dia tentang pembaziran. Dulu ketika bersama Karina tidak pernah ada dalam kamus tatabahasa Saiful tentang pembaziran.

"You ni, tahun pertama kita biarlah meriah sikit. Tahun ni duit raya I nak beri sepuluh ringgit sorang. You jangan lupa tau tukar awal-awal, biar dapat duit baru." Anum mengayakan kain bermotif bunga ke badan menanti pujian dari si suami.

"Sepuluh ringgit?!" Tersentap. Tak endahkan kain yang melilit pada badan Anum. Jerutlah sampai putus nafas. Dia tak kisah. Yang dikisahkan duit raya sepuluh ringgit seorang.

Seratus baru dapat sepuluh keping. Itu cuma untuk sepuluh orang sahaja. Berapa keping dia perlu sediakan jika sepuluh ringgit setiap orang.

"Yalah. Sekarang mana lagi orang bagi duit seringgit-seringgit. Mana class, sayang." Ujar Anum.

Saiful mengurut dada. Dulu ketika dia memaksa Karina menyediakan duit lima ringgit terkial-kial bekas isterinya mencongak duit. Kini, berpatah balik padanya semula. Cuma Karina tidaklah laju melatah. Diam sahaja tak melawan.

Mana dia nak cekau duit, kalau duit sepuluh ringgit diberikan pada setiap kanak-kanak. Bukankah terlalu banyak? Budak-budak nak buat apa dengan duit banyak? Saiful garu kepala.

"Tahun ni I nak order kek lapis sarawak untuk raya, I dah jumpa IG yang jual kek tu. Nanti you bank in duit, I bayar booking kek, ya. Sekali bayar duit ni." Anum menghulurkan segala resit pembeliannya.

Belum hilang semput dengan duit raya, sudah minta duit kuih raya pula.

"Tak payahlah nak beria sangat, Anum. You dah over spend ni. Kita baru berhabis duit kenduri bulan lepas. Jimat-jimatlah sikit, sayang. Kek lapis sarawak kenapa nak order awal? You nak masa raya kek tu bertukar menjadi pokok kulat ke." Saiful mengawal intonasi suaranya.

Belum masuk bulan Rejab, dah sibuk tentang Syawal. Entah hutang puasa dah berganti ke belum. Saiful memicit dahi pula.

Kegilaan Anun perlu disekat. Jika dibiarkan, dia akan botak sebelum masanya.

"Mengadalah you ni! Dulu sebelum kahwin tak ada nak sekat-sekat. Apa I nak semua you beri. Tak ada nak bising-bising." Anum mula melenting.

"Kenapa? Janda you minta duit nafkah lagi ke? Tak beranak lagi ke? Susah benar nak keluar budak tu. Dah tinggal berapa hari lagi masih tak tahu malu. Orang tak hingin, dia terhegeh-hegeh. Suruh dia move on lah!" Anum menghamburkan perasaan marah yang tidak disekat-sekat. Semua sesedap rasa menyembur.

Saiful menghela nafas panjang.

"Malas I nak cakap dengan you. I nak naik. Mandi. Solat. Panas pula bila you dah balik ni." Saiful bingkas bangun. Lebih lama di situ, akan ada lagi permintaan dari isteri yang bakal mengosongkan kantung duit.

Sengaja pulang awal hari ini sebaik kelas tamat. Mahu tenang-tenang di rumah tanpa Anum, panjang pula umur. Bila muncul berkecamuk kepala otaknya.

"Tahu pun panas. Pasanglah aircond di hall ni. Rumah janda you aircond setiap bilik, hall sampai ke dapur. Besar-besar pulak tu." Bidas Anum lantang sambil memandang suami yang acuh tak acuh menaiki tangga.

Bengang pada Saiful asyik menangkan si janda itu. Langsung tidak berterima kasih kerana memudahkan kerjanya. Tidak perlu keluarkan belanja untuk membeli kelengkapan rumah sewa mereka.

Menyesal pula aircond tidak dibawa sekali. Kalaulah tak ada makcik tua yang menyibuk di sebelah rumah, habis semua diangkutnya. 

RAJUK KARINAWhere stories live. Discover now