Bab 8

7.6K 490 233
                                    

DUDUK Karina serba tak kena. Luar biasa gerakan pada malam itu buat perut sakit memulas. Aktif yang melampau. Bukan setiap setengah jam. Selang beberapa minit anaknya menendang rancak.

"Dah sampai masa ni..." Karina mengusap bawah perut. Terasa keras dan padat. Dia mengesot perlahan badan hingga ke hujung kerusi, cuba untuk bangun berdiri.

Beg tangan disilangkan ke badan. Terus ke hospital itu sahaja yang difikirkan.

"Baby... tunggu kita sampai di hospital dulu, sayang... Aunty Aya tak ada malam ini. Baby hanya dengan mummy sahaja. Please be good, sayang..." Karina menarik nafas dan menghembus perlahan. Lega dalam kesukaran dia berjalan ke kereta dapat jua dia duduk di dalamnya.

Badan sudah berpeluh lencun. Jarak ruang tamu ke luar tempat kereta berada hanya beberapa meter sahaja. Tapi pergerakan yang terbatas dan peluh yang merenik keluar bagai dia berlari ratusan meter.

Mujur segala keperluan untuk dibawa ke hospita, awal-awal lagi dimasukkan ke dalam kereta. Dia hanya perlu membawa beg tangan dan telefon bimbit sahaja.

Berkira-kira untuk memandu sendiri. Entah tangan dan kaki kuat atau tidak untuk mengemudi kenderaan itu. Menyesal pula menolak tawaran Rohaya yang mahu menemaninya pada malam itu. Dia fikirkan Saiful akan pulang kerana lelaki itu ada menghantar mesej mahu ke rumah. Namun jam sepuluh pun belum nampak batang hidung lelaki itu. Tentu Anum tidak melepaskan lelaki itu.

Saiful. Belum sempat otak mencerna nama lelaki itu, jari Karina sudah rancak menyentuh papan skrin telefon. Nombor lelaki itu dihubungi.

Manalah tahu Saiful masih mengambil berat tentang diri dan anak dalam kandungannya. Idahnya masih bersisa.

"Nak apa? Saiful tak senang!" Tanpa salam, suara Anum menerjah di hujung telinga.

"Cakap kat dia, saya dah sakit nak bersalin ni. Boleh tak dia hantar saya ke hospital?" Ujar Karina sambil berkerut wajah menahan sakit yang tiba-tiba datang menyerang perut.

"No way! Eh, kau jangan nak gila talak, boleh tak? Dah beranak budak tu, habis idah kau. Jangan nak berangan Saiful akan rujuk dengan kau semula. Buang sahaja niat tu. Nak minta belas konon! Pergi mampuslah!" Tempelak Anum lantang buat Karina terkedu. Tak sanggup mendengar apa lagi yang bakal disembur Anum, Karina terus memutuskan talian. Menyesal kerana menghubungi lelaki itu.

"Tak apalah, baby... mummy boleh... we will be okay, sayang..." Tak ada masa dia hendak berkelana hal Anum tadi. Tak penting. Apa yang bakal dihadapi lebih penting soal hidup dan mati dia dan anaknya.

Mati? Belum masanya. Dia mahu buktikan kepada manusia yang mencerca selama ini, dia boleh hidup tanpa lelaki itu. Tanpa cinta. Dia akan lebih bahagia bersama anaknya kelak.

Tak ada Saiful pun tak mengapalah, selama inipun Saiful tak pernah ambil tahu. Semuanya diuruskan sendiri kandungan itu. Dari awal pemeriksaan bulanan hinggalah ke detik malam itu. Jika dari awal begitu, tak perlulah Karina mengharap apa-apa lagi dari lelaki itu kelak.

Karina menggerakkan kereta perlahan, berundur keluar dari kawasan rumah. Terlihat Mak Nah tercegat berdiri sambil melambai ke arahnya.

"Nak ke mana malam-malam ni, Rina?" Tanya Mak Nah ketika Karina menurunkan cermin kereta.

"Nak ke hospital, Mak Nah. Dah sakit ni." Jawab Karina, Allah gerakkan manusia yang prihatin terhadapnya. Tak tahu apa yang dibuat oleh orang tua itu di luar rumah waktu malam-malam begini.

"Allahu... sorang-sorang?" Mak Nah separuh menjerit apabila melihat tiada Rohaya di sebelah dan Karina yang memandu kereta.

Karina membalas dengan senyuman. Bukan Mak Nah tidak tahu dia bercerai ketika kandungan berusia tujuh bulan.

Saiful hanya datang ke rumah kelamin mereka jika ada keperluan sahaja. Iaitu meminjam duit. Nak menghulur tidak sekali. Saiful sama seperti dahulu. Tak pernah cukup dan takkan cukup.

"Tak apa... Tak apa... Biar Mak Nah temankan. Tapi Rina kena pandu kereta, boleh?" Mak Nah tergaru-garu kepala, risau juga hendak membenarkan Karina memandu. Tapi dia sendiri berpuluh tahun tak memandu, lebih-lebih jalan di Kuala Lumpur. Rasanya lebih baik Karina yang memandu.

"Alhamdulillah, ada Mak Nah." Senyum yang kelat dari Karina kerana terpaksa menahan kontraksi yang rancak di perut.

"InshaAllah, sempat kita sampai di hospital. Ada keluar darah atau air tak, Rina?" Tanya Mak Nah sambil mengusap perut Karina. Cuba tidak mempamerkan rasa panik di hadapan Karina. Ikutkan sudah turun kandungan itu. Jika masih berbisa kemahiran bidannya, kepala anak sudah di jalan. Menanti pintu dibuka sahaja.

"Tak ada. Baru sahaja rasa kontraksi kuat malam ni. Saya takut terberanak di rumah. Pergi ke hospital sahajalah, tak payah tunggu-tunggu." Karina menumpukan perhatiannya pada pemanduan. Rasa kontraksi tidak dirasakan kerana dia terlampau fokus memandu. Tiba-tiba Karina menjadi kalis dengan rasa sakit. Memandu dengan selamat, sampai di hospital adalah lebih penting ketika ini.

"Anak pertama lambat sikit. Tapi tak apalah, sekurang-kurangnya dah ada di hospital. Jauh lagi ke, Rina?" Mak Nah melihat ke arah jalan raya. Dia pula tidak sabar. Tidak mahu menjadi bidan menyambut bayi di dalam kereta, walaupun dia berpengalaman sebagai bidan hospital daerah. Tetapi jika sempat sampai di hospital adalah lebih baik.

"Tak. Hospital di hujung jalan ni sahaja. Dalam lima minit sampailah." Sengaja Karina memilih hospital yang terdekat dengan rumah. Berbayar mahal pun tak mengapalah. Dia sudah menabung sejak awal kandungan tanpa pengetahuan Saiful. Malah surat opah, diselitkan bersama wang juga akan digunakan untuk menampung mana yang tak cukup. Tak kisahlah mana-mana bilik dia ditempatkan, janji tidak menunggu lama untuk masuk ke wad bersalin.

Pengalaman bersalin cikgu-cikgu di sekolahnya buat dia ketap gigi. Ada yang di hospital kerajaan mendapat layanan yang baik, ada yang sebaliknya. Bukanlah di hospital swasta semuanya bagus. Jika ada masalah kritikal dan berisiko, pesakit tetap dihantar ke hospital kerajaan kerana di sana ada lebih ramai pakar dan kelengkapan yang terkini. Semuanya bergantung pada rezeki yang Allah berikan.

Karina reda. Dia mendoakan kesudahan yang baik-baik sahaja buat diri dan anaknya. Allah Maha Penyayang dan Maha Pengasihani. Biarpun dia terpaksa bersendirian mengharungi pertarungan di wad bersalin, dia tahu masih ada kasih dan sayang Allah pada dirinya.

"Rina nak Mak Nah telefon sesiapa beritahu Rina nak bersalin?" Tanya Mak Nah, menghela nafas lega sebenarnya sebaik Karina memakirkan kereta di hadapan wad kecemasan. Pesakit masih boleh memandu tak tahulah tahap kritikal mana kecemasannya. Tak mengapalah janji mereka selamat tiba.

Termenung Karina seketika dengan soalan Mak Nah. Nak telefon siapa?

Saiful?

Sudah diterima jawapannya. Walaupun Anum, bagi pihak lelaki itu. Cukuplah. Dia tidak perlukan ihsan lelaki itu lagi. Sebaik anak ini lahir, tertutup rapat pintu untuk Saiful. Saiful tak berubah dan mustahil untuk berubah.

Opah?

Dalam surat Opah tempoh hari, memaklumkan dia dan Mak Su akan ke luar negara menemani Mizan dan Mirna sehingga mereka tamat belajar. Mungkin juga ketika ini mereka sudah terbang ke sana. Bermakna beberapa tahunlah mereka tiada di tanah air. Jika Mirna mengikut jejak abangnya, belajar sehingga bergelar doktor, lamalah mereka akan berada di sana.

Siapa? Karina mengetap bibir.

"Boleh Mak Nah mintak Pak Yaakob datang lepas kerja untuk azankan anak ini." Karina mengusap perut. Pak Yaakob ialah suami Mak Nah. Kerjanya sebagai pengawal keselamatan di pasaraya. Jika tak ada Pak Yaakob, dia akan meminta mana-mana doktor lelaki yang Islam untuk mengazankan anaknya nanti. Tak kisahlah, asalkan mereka selamat dan sihat.

RAJUK KARINAWhere stories live. Discover now