Bab 4

7K 314 92
                                    

BERITA terkini dan isu-isu semasa yang disampaikan oleh pengacara dalam Buletin Utama tidak lagi menjadi perhatian. Sekejap Saiful menoleh ke arah Karina, kemudian beralih kembali ke arah televisyen. Asyik sungguh isteri dengan pen merah dan buku latihan yang menimbun di meja makan sehingga tidak perasaan dia sedang gelisah.

Sudah menjadi rutin Karina sejak bergelar guru, selepas makan malam dan selesai solat Isyak, dia akan duduk menanda buku sehingga habis satu kelas. Keesokan pagi akan dibawa ke sekolah semula. Apabila pulang satu atau dua kelas lagi akan dibawa pulang ke rumah. Ingatkan mudah menjadi seorang guru. Kerja separuh hari. Lebih kurang seperti Saiful juga, cuma yang berbeza dia mengajar pelajar dewasa. Tidak perlu dikerahkan membuat kerja rumah atau pun menanda tugasan mereka setiap masa.

"Rina, pagi esok I hantar you pergi sekolah. Nanti balik you tumpang siapa-siapa yang sama jalan, boleh tak?" Saiful memandang sekilas Karina. Dia melihat Karina mengangkat muka. Riak Karina biasa-biasa sahaja. Tidak menjadi hal besar menumpang sesiapa pun. Sudah biasa sangat begitu. Honda Jazz kesayangan seperti sudah berpindah tuan.

Saiful memandu kereta itu bukan sesuatu yang aneh. Kerap benar. Dan kerap benar Karina terpaksa mengalah dengan menumpang kereta cikgu sekolah atau menggunakan Grab sahaja.

Biasa pada Karina tapi tidak bagi Saiful. Sebut Grab pun sudah alergik. Macam-macam difikirnya. Berbau, kotor, tak selesa dan entah apa-apa yang dibawa dalam kereta itu. Seolah tempat duduknya perlu disamak terlebih dahulu jika mahukan dia naik Grab. Lagak mengalahkan orang ada-ada.

"Kenapa dengan kereta you?" Seperti tahu riak wajahnya sedang diratah oleh Saiful, Karina cuba mengawal intonasi. Jika tak ditanya kenapa, nanti dikatakan tidak layan suami pula.

Akan ada dalil-dalil yang Saiful akan tazkirahkan buat Karina merasa bosan hendak menadah telinga. Elok ditalkinkan sahaja dari mendengar tazkirah Saiful yang berlagak maksum itu.

"I nak hantar servis. Biasalah kalau servis di Proton mesti lama kena tunggu, I nak tinggal je. Esok I ada kelas sampai petang, kalau dah siap boleh tak you tolong ambilkan. Nanti I beritahu diorang, suruh call you." Bersahaja nada Saiful seolah itu tidak memberi kesan pada Karina. Bukan tak biasa memberi arahan kepada Karina. Dan jarang sekali Karina ingkar. Patuh tanpa banyak bunyi.

Karina mengetap bibir, lemah mengangguk.

"Kena bayar ke?" soal Karina perlahan sambil mengerling ke arah Saiful. Soalan perangkap untuk diri sendiri. Sudah tahu apa jawapan. Lagi hendak tanya.

"Mestilah sayang." Saiful tertawa kecil, mata kail cepat mengena malam ini.

Karina sungging senyum, senyum sinis pada diri sendiri yang sengaja menjerat diri.

Kan! Bukan sukar hendak mengagak niat Saiful jika bab duit diputarkan. Saiful berada di carta pertama. Sudah lebih setahun berumah tangga dengan lelaki itu, Karina cukup masak sekali.

Ketika mereka menyambut ulangtahun perkahwinan, beria Saiful menempah bilik hotel lima bintang di Pulau Pinang. Mahu bercanda di tepi pantai, makan malam di bawah cahaya bulan dengan gaya romantis tapi kesudahannya Karina juga yang perlu membayar segala layanan lima bintang yang mereka terima, Saiful menghilang entah ke mana. Alasan tangan penuh membawa beg mereka ke kereta yang diparkir jauh dari lobi hotel.

Hotel lima bintang, tiba-tiba sahaja waktu pulang Saiful tidak mahu diberi layanan mewah, menolak perkhidmatan bell boy yang ingin mengangkat beg mereka. Hilang Saiful, yang menunggu di dalam kereta memaksa Karina menghulurkan kad kredit yang dia tidak yakin masih cukup untuk membayar perbelanjaan mereka.

Malam ini soal kereta pula. Di saat hujung bulan, duit Karina sudah nyawa-nyawa ikan. Gawat benar. Hendak membeli makanan di kantin pun berkira-kira. Setiap pagi membawa bekal kerana mahu berjimat. Tapi Saiful pula mengambil peluang untuk mengeringkan kantung yang sedia ringan.

RAJUK KARINAWhere stories live. Discover now