Bab 6

8K 568 299
                                    

SESUDAH Subuh Karina mengajak berkumpul di ruang tamu. Riak wajah ibu mentua mencerlung sejak tiba di rumah tidak endahkan. Berang. Hanya itu sahaja yang dapat Karina terjemahkan dari riak wajah orang tua itu. Lantaklah.

"Cakaplah apa yang penting sangat! Sampai tak boleh cakap dalam telefon. Sengaja nak menyusahkan orang datang sini pagi-pagi buta." Tempelak Asmah, dengan menantu itu tidak pernah ada rasa puas hati. Asyik mencari kesalahan Karina sahaja.

Karina mengerling ke arah Saiful. Masakan dia seorang yang sahaja yang perlu menanggung herdikan itu. Saiful sudah mencalit najis, jadi dialah yang perlu bersihkan sendiri.

Tidak terkesan dengan kata ibunya, Saiful membungkam sahaja. Ketika ibu bapanya tiba, dia berada di tingkat atas. Membiarkan sahaja Karina menyambut mereka. Tidak tunjuk muka hinggalah dipanggil Karina supaya turun.

Selesaikan hari ini juga. Seriau apabila ayat itu meniti di mulut Karina. Seperti Karina adalah hakim yang akan menjatuhkan hukuman sekejap lagi.

Memikirkan hukuman dari Karina, Saiful terus tunduk membisu. Berat untuk bersuara seperti ada ketulan emas tersimpan di dalam mulut. Kedua bibir bercantum dan dijahit dengan mata jahitan paling halus, membiarkan sahaja desakan si ibu. Mengandaikan bukan ditujukan kepadanya tapi Karina.

"Saiful, apa sebenarnya yang berlaku?" Mahmud pula bersuara. Soalan yang sama maksud tetapi lebih lembut dan sedap didengar.

Melihat anak sekadar tunduk dan Karina pula kelat. Jarang benar dia begitu dan menarik muka walaupun teruk dimarahi oleh isterinya. Pasti ada sesuatu yang Saiful telah lakukan menyebabkan Karina begitu. Dan mustahil menantunya meminta mereka datang dengan segera jika tidak penting.

"Saiful ditangkap basah bersama Anum di hotel malam tadi. Saya ikat jamin mereka di balai tadi." Ujar Karina senafas. Noktah.

Lama benar menunggu untuk Saiful bersuara.

Buang masa menunggu kerana dia merasakan lelaki itu sampai bila-bila takkan membuka mulut. Menjadi bisu dengan tiba-tiba.

"Astghafirullah halazim!" Mahmud beristighfar panjang sambil menggeleng kepala. Benarlah telahannya. Saiful ada membuat sesuatu yang mencabar kesabaran Karina.

Jika anak itu masih kecil mahu sahaja dipukul dan dirotan sekuat hati. Seperti pernah dilakukan dulu apabila anak itu ditangkap kerana ponteng sekolah dan merokok di belakang balai raya.

"Kalau dah macam tu, kahwinkan aje mereka berdua. Dah suka sama suka, tapi dihalang sebab itu mereka jadi begitu." Asmah mencelah. Walaupun dia sendiri terkejut dengan berita itu. Ada hikmah juga, hasrat bermenantukan Anum tercapai lebih cepat dari jangkaannya. Berbesan dengan kawan baik, siapa yang tak suka. Lebih baik dari tiada besan kerana menantu sekarang anak yatim piatu.

"Senangnya awak cakap." Mahmud mengerling pada Asmah. Ceteknya pemikiran si isteri. Dia beristighfar lagi. Tak cukup dengan anak, isteri pula menambah beban di kepala.

"Yalah. Takkan nak biarkan mereka terus terlanjur, berzina dan membuat dosa?" Bukan Asmah namanya jika tidak menjawab dan membangkang kata suami, memenangkan Saiful jalan yang terbaik. Menghalalkan kejadian yang berlaku.

Mahmud menggeleng kepala. Iblis sudah bermaharaja di dalam diri isterinya. Sudah tidak tahu membezakan antara dosa dan pahala lagi.

"Saiful, kau tak fikir bini di rumah ke? Tak kasihan Karina yang sarat mengandung ke? Kenapa sampai jauh ke situ?" Mahmud memandang Saiful. Hampa dengan anak lelaki yang sepatutnya menjadi pemimpin, membimbing isteri dan anak bakal dilahirkan tetapi membuat onar pula.

Saiful tunduk menekur lantai. Bukan ini kesudahan yang dia mahukan ketika bermalam dengan Anum. Sudah berhati-hati tapi tertangkap juga. Petang semalam dia berang dengan Karina kerana tidak mahu meminjamkan wang sedangkan baru sahaja menerima bayaran tuisyen. Dia nampak sampul duit yang diterima Karina dari seorang pelajarnya. Tebal. Pasti lumayan bayaran yang diterima Karina. Ikutkan rasa marah, dia ikutkan sahaja pelawaan Anum untuk bermalam di hotel. Katanya ada ubat yang boleh menghilangkan rasa marah itu.

RAJUK KARINAWhere stories live. Discover now