Bab 2

9K 388 146
                                    

KARINA menatap sayu boarding pass dan passport di tangan. Berat kaki untuk meneruskan langkah. Langkah semakin mengecil. Tidak terkejar lagi untuk jalan bergandingan dengan suami.

"Karina Nazirah, hurry up!!" Laung si suami yang memberhentikan langkah. Statik menunggu dia mara.

Sesungguhnya dia tidak gemar Saiful menggunakan nama Karina Nazirah. Dia lebih suka dipanggil Karina Kahar. Karina Nazirah Bt. Kahar, terlalu panjang walaupun itu nama penuhnya. Karina Kahar lebih mudah. Biar ada nama papanya sekali.

Sama seperti Mizan juga, Mizan Aizuddin bin Kamarul. Dijadikan Mizan Kamarul sahaja. Lebih mudah jika mereka saling bertelagah mahu memanggil nama mereka dengan pantas. Menunjukkan ketegasan di situ.

"Bie, boleh tak kita tangguh dulu. I tak sampai hatilah nak tinggalkan mereka." Bila nama Mizan Kamarul berlegar di minda, terbayang susuk tubuh lelaki itu berada. Biarlah Karina digelar sebagai pengemis sekalipun pada lelaki yang bergelar suami, asalkan dia dapat bersama Mizan Kamarul. Biar dia mengambil alih tempat Mizan kerana dia lebih layak berada di situ.

"Mana boleh, Rina. Semuanya dah diatur. Lagipun I presenter. Sia-sia I pulun siapkan proposal kalau tak attend conference tu." Saidul mengawal intonasi suara agar mereka tidak menjadi perhatian ketika khalayak lalu lalang di hadapan. Tidak mahu isterinya terus mendesak khuatir dia tidak dapat mengawal diri. Karina terlalu dimanjakan, segala kemahuan pasti dijelmakan oleh ahli keluarga, sehinggakan cakap suami tidak diendahkan.

"You tak kasihan ke tengok parents I, Bie? Mereka baru kemalangan, masih koma. I nak jaga mereka." Karina meletakkan punggung di kerusi. Mengenangkan mereka terlantar di hospital, kaki menjadi lemah. Tidak mampu berdiri apa lagi melangkah ke pintu berlepas.

"Bukan ke doktor dah maklumkan keadaan mereka stabil. Nothing much you can do, Rina. You bukan doktor. Lagipun kita pergi tak lama. Empat hari je. Bila kita balik, mereka tetap macam tu." Saiful terus meyakinkan Karina. Ikutkan hati mahu sahaja mengheret Karina supaya tak ada peluang untuk beralasan lagi. Tidak ada drama, terus masuk ke dalam pesawat dan lilit dengan tali pinggang supaya isterinya tidak dapat bergerak ke mana-mana.

"Boleh tak you pergi seorang je? Biar I jaga mereka." Bukan Karina tidak percaya dengan kehebatan doktor yang merawat ibu bapanya tetapi dia mahu berada di sisi mereka sepanjang masa. Itu lebih penting.

Kali ini Saiful merengus panjang. Sudah banyak kali dibilang pada isteri. Sudah digunakan perkataan yang paling mudah untuk dihadam tapi sukar benar Karina faham.

"Ini honeymoon kita, Karina. Kalau I pergi sorang bukan namanya honeymoon tau. Lagipun bukan senang nak dapat peluang ni. Fully sponsored tau." Dengan bangga Saiful menekankan dalam ayat yang terakhir itu.

Sebagai isteri, Karina sepatutnya berbangga dengan peluang yang dia perolehi. Bukan mudah hendak mendapat peluang itu. Dalam ramai tenaga pengajar di universiti itu, dia yang diberi peluang. Sedangkan ada yang memegang gelaran doktor dan professor digugurkan dari senarai.

Fully sponsored. Semua kos ditanggung oleh universiti. Malah di upgrade segala penginapan dan kelas pesawat lagi di saat akhir. Pakej berbulan madu ditaja sepenuhnya. Bukankah jimat banyak. Rugi jika ditolak. Tuah bukan datang bergolek seperti ini lagi kelak.

"Parents I lebih penting, Bie. Please, Bie. Lain kalilah kita pergi. I boleh bayar semua ganti rugi you." Karina menyentuh lengan Saiful cuba meraih simpati pada lelaki itu. Jika terpaksa melutut pun dia sanggup. Sudah hilang malu dengan orang sekeliling.

Bayar. Memang Karina berduit. Duit poket Karina yang diterima dari papanya bukan seratus dua. Entah-entah sama amaunnya dengan gaji bulanannya. Mungkin lebih lagi.

RAJUK KARINAWhere stories live. Discover now