P.R.O.L.O.G

14.9K 379 67
                                    

MIZAN memandang tepat ke arah wajah Opah. Permintaan orang tua itu tidak masuk akal. Lebih-lebih lagi semua yang ada di situ turut menyokong. Termasuklah papa dan mama tidak berpihak kepadanya.

Mizan tanpa ragu, yakin benar dengan hati dan perasaan. Itu adalah muktamad. Orang yang diminta dikahwini adalah bertaraf sepupu. Teman sepermainan sejak kecil. Sejak hari pertama gadis itu dilahirkan ke dunia, dia sudah mengenalinya. Malah sudah dianggap seperti adik sendiri.

"Mizan tak nak fikir dulu? Bukan Pak Long suruh kahwin terus. Bertunanglah dulu sehingga Karina habis belajar." Ada ketar di hujung suara Kahar yang garau. Hati telah remuk dengan jawapan anak saudaranya.

Jika sebelum ini Kahar ialah insan paling gembira di atas muka bumi ini apabila mendengar cadangan ibunya. Menjodohkan puteri tunggal dengan Mizan.

Biarlah jika ada yang mengatakan mereka kolot, asalkan puteri itu tidak jauh dari mereka. Kini rasa sedih dan kecewa bersatu apabila anak muda itu menolak tanpa berfikir panjang.

Mizan menghela nafas panjang. Dia menoleh ke arah ibu bapanya. Mendung di wajah mereka. Tiada senyum. Tiada juga butir bicara. Jelas dari riak wajah, mereka turut sama terkesan dengan keputusannya.

Kini, tiada siapa yang berpihak padanya. Namun dia yakin jika ada Karina, gadis itu akan tertawa sehingga keluar air mata dengan cadangan orang tua mereka.

Bersetuju dengannya

Cengeng. Murah dengan air mata. Galak ketawa pun air mata mengalir. Ada lekuk di pipi ketika wajah polos itu tersenyum. Senyum pun sudah manis, bila muncul lesung pipit makin bertambah darjah kemanisan yang bisa melemahkan ego lelaki.

Hati mula terdetik tika wajah Karina bersenyum manis muncul di benak kepala. Terfikir dengan keputusan yang diambil tanpa berfikir panjang. Termenung seketika kemudian dia menggeleng kepala. Cepat-cepat mengusir wajah Karina dari terus menguasai minda sedarnya.

Apakah sudah pupus gadis-gadis di luar sana sehingga Karina menjadi pilihan Opah. Apakah tiada lelaki yang hendak mengahwini sepupunya?

Selama ini kehidupan mereka yang tidak pernah diatur oleh orang tua tetapi kenapa soal pasangan hidup, diatur pula.

"Mizan minta maaf, Pak Long. Mizan tak boleh." Pandangan mata Mizan kembali terarah pada Kahar. Pujuklah dengan air mata darah sekalipun, dia tekad takkan bersetuju.

Tak masuk akal, sepupu kahwin sama sepupu. Dia tidak terfikir semua itu bakal terjadi pada diri sendiri. Ini bukan drama swasta yang ditonton oleh mama dan Mak Long setiap hari.

Bukan juga patung Barbie dan Ken yang dikahwinkan oleh Karina dan Mirna suatu masa dahulu. Memakaikan wedding gown dan tuxedo dan dudukkan mereka bersebelahan di atas kerusi.

Perkahwinan tanpa ada rasa terhadap Karina ibarat patung Ken yang diletakkan di atas pelamin bersebelahan dengan Barbie. Kedua-dua duduk tegak memandang ke hadapan. Menanti ada manusia menggerakkan mereka, bertingkah laku.

Kata putus yang diterima mereka membuatkan Kahar dan Nisa saling berpandangan seketika sebelum suami isteri itu tunduk menekur lantai. Tiada apa yang perlu dibicara lagi. Hilang daya untuk memujuk. Sudahlah mereka ibarat perigi mencari timba. Timba tak sudi, takkan nak terhegeh-hegeh lagi.

Maruah Karina perlu dijaga. Jika terus dipaksa pada orang yang tak sudi, khuatir kebahagiaan anak itu tergadai.

Seperti pasangan itu, Kamarul dan Halijah juga diam seribu bahasa dengan keputusan anak lelaki mereka. Mizan tidak ada perasaan pada Karina. Apa yang boleh dikatakan lagi.

"Ingat tak, Mizan pernah cakap pada Opah yang Mizan suka dan sayang pada Karina. Opah masih ingat." Kamariah tidak mengalah. Biarlah anak-anaknya mengalah. Tapi tidak dia. Dia berharap benar satu-satu cucu lelaki itu tidak menghampakan hasrat mereka.

"Opah, suka dan sayang tak sama rasanya dengan cinta. Mizan suka dan sayang Karina sebagai adik. Lagipun kami sepupu. Rasa peliklah kahwin sama sepupu. Dari kecil sampai besar kami bersama kemudian nak dikahwinkan pula?" Mizan menunjukkan ekspresi jelek di wajah. Dia akan mempertahankan keputusan yang dibuat. Tidak ada siapa yang boleh goyahkan pendiriannya.

Sekalipun Karina melutut di kaki.

"Tak apalah, mak. Bukan jodoh mereka. Tak payah mak paksa Mizan lagi. Karina pun masih belajar. Muda benar lagi untuk berkahwin." Kahar memilih untuk menamatkan perbualan mereka. Biar habis di situ. Karina akan pulang bila-bila masa, dia tidak mahu butir bicara mereka didengari.

Tidak mahu anak manja itu mendengar penolakan Mizan. Pasti luka yang paling dalam akan memusnahkan harapan anaknya. Bukan dia tidak tahu perasaan Karina terhadap lelaki itu. Tapi orang tak sudi buat apa hendak dipaksa lagi.

RAJUK KARINAWhere stories live. Discover now