Sememangnya masyhur diperkatakan orang bahawa akan lahirnya Imam Mahadi sebelum menyusul tanda besar kiamat yang pertama. Semasa kemunculan baginda, dunia sudah jauh berubah berbanding hari ini. Bukanlah bertambah maju tetapi sebaliknya bertambah mundur natijah daripada penggunaan bom atom yang keterlaluan dalam Perang Dunia Ketiga yang menyebabkan peralatan berteknologi tidak lagi berfungsi. Zaman ini haiwanlah kenderaannya dan besi tajamlah senjata perangnya.
Ketibaannya menandakan bermulanya tanda-tanda kiamat besar @ kubra. Dia merupakan keturunan Hussin bin Ali bin Abi Talib. Nama asalnya Muhammad bin Abdullah seperti nama junjungan kita. Imam Mahadi ini akan melibatkan dirinya dalam Perang Dunia Keempat (Perang Armageddon) dalam memerangi negara-negara kuffar dan menyatukan negara-negara Islam yang berpecah-belah. Kalau Perang Dunia Ketiga menggunakan senjata perang yang canggih termasuklah bom hidrogen, Perang Dunia Keempat hanya menggunakan peralatan perang yang kuno iaitu kuda dan pedang
Namun ada dari kalangan ulamak-ulamak Islam mengatakan kisah al-Mahadi itu tidak sahih. Hadis-hadis berhubung dengannya kesemuanya lemah. Lagi pula al-Quran langsung tak menyebut tentang kelahiran Imam Mahadi. Oleh itu ada alim ulama beranggapan tidaklah jatuh kafir andai enggan mempercayai terhadap kedatangan al-Mahdi menjelang kiamat nanti.
Tetapi ini semua dusta sama sekali. Pada hakikatnya hadis sahih berkaitan dengan Mahadi memang ada. Bukan hanya satu tapi banyak juga hadis yang boleh dikategorikan sebagai hadis sahih yang sewajarnya dipercayai oleh umat Islam untuk keselamatan akidah masing-masing.
Berikut merupakan 4 diantaranya:
Dari Abdullah bin Mas'ud ra berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
"Seandainya dunia tidak tersisa kecuali tinggal sehari sahaja, maka Allah akan memanjangkan hari itu sehingga mengutus seorang lelaki dari keturunanku atau dari ahli baitku, namanya seperti namaku dan nama ayahnya seperti nama ayahku, dia memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana sebelumnya dipenuhi kezaliman dan penganiayaan." (HR Abu Daud: 4282; Tirmizi: 2230, 2231; Ahmad: 1/376, 377,430, 448; Ibnu Majah: 4082 dll)Menurut hadis sahih kedua pula iaitu dari Ali bin Abi Thalib ra berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: "Al-Mahdi adalah dari keturunan kami, ahli bait, Allah memperbaikinya (memberi taufik dan hidayah) dalam sehari." (HR Ibnu Majah: 4085; Abu Daud: 4283 dll)
Diikuti dari Abu Said Al-Khudri ra berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: "Al-Mahdi adalah dari keturunanku, berdahi lebar dan berhidung mancung, dia memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana sebelumnya dipenuhi dengan kezaliman dan dia berkuasa selama tujuh tahun lamanya." (HR Abu Daud: 4285; Tirmizi: 2232; Ibnu Majah: 4083; Ahmad 3/21 dan Al-Hakim dalam Al-Mustadrak)
Yang keempat pula dari isteri baginda sendiri, Ummu Salamah ra. Beliau berkata: Saya mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: "Al-Mahdi adalah dari keturunanku dari anak keturunan Fatimah." (HR Abu Daud: 4284, Ibnu Majah: 4086, Al-Hakim dalam Al-Mustadrak 4/557 dll)
Oleh yang demikian demi memelihara akidah umat Islam Kelantan khasnya dan demi akidah umat Islam Malaysia amnya, Jamaah Ulama Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) telah mengeluarkan fatwa pada 28 Jun 1985 bahawa orang yang beragama Islam wajib beriman dan mempercayai Imam Mahadi, yakni Imam Mahadi mengikut kepercayaan al-Sunnah wal-Jamaah, bukan Imam Mahadi versi Syiah. Dengan itu tidaklah lengkap keimanan seseorang Islam jika tidak percaya terhadap kedatangan Imam Mahadi.
Di awal kemunculannya, Imam Mahadi akan memimpin tentera muslimin menawan jazirah arab yang dilanda konflik, diikuti dengan beberapa siri peperangan dengan kerajaan-kerajaan kuffar dalam Perang Armageddon yang dimenangi oleh baginda kesemuanya. Apabila baginda menakluk Constantinople (Istanbul), muncullah Dajjal yang sukar diatasi olehnya.
YOU ARE READING
KRONOLOGI 10 TANDA BESAR KIAMAT
FantastiqueKiamat pasti datang. Tapi sebelum tibanya kiamat, 10 peristiwa aneh akan menyusul terlebih dahulu. Enam yang terawal punyai tempoh masa yang jauh antara keenam-enamnya. Empat yang terakhir pula terjadi satu persatu seumpama tasbih yang terputus tali...