Dajjallah tanda besar kiamat yang mula-mula sekali. Dia seorang yang berbadan besar, berkulit merah, rambut kerinting lebat, mata kiri buta dan mata kanan terjojol keluar seperti buah anggur, manakala di dahinya tertulis perkataan kafir dalam bahasa Arab yang dapat dibaca oleh tiap-tiap orang Islam.
Ada juga riwayat mengatakan dia seorang yang pendek, terkangkang kakinya bila berjalan serta dibawa bersamanya syurga dan neraka, tapi syurganya itu neraka dan nerakanya itu syurga. Namun pendapat pertama lebih gah lagi.
Nama sebenarnya Samiri, seorang manusia yang berusia ribuan tahun kini kerana dia adalah antara yang ditangguhkan ajalnya oleh Allah. Bagi bangsa Yahudi, dialah al-Masih yang ditunggu-tunggu oleh mereka sejak sekian lama untuk memimpin mereka di Jerusalem. Bagi mereka, inilah penyelamat mereka yang ada tercatat di dalam kitab suci mereka. Walhal si mata satu ini hanyalah tuhan palsu yang akan menyeret mereka semua ke dalam neraka bersamanya kelak.
Sejak dari zaman dahulu kala lagi dia gemar menjelajah dunia. Apabila dia mendapat tahu adanya seseorang yang mengaku nabi, dia pun mengirim seorang utusan bagi menguji pemuda yang merupakan Nabi Isa itu untuk menyelidik kesahihannya. Namun kerana sifatnya yang kufur, dia cuma menganggap Nabi Isa sebagai tukang sihir.
Sebelum itu dia turut mencuba untuk menyesatkan akidah bangsa Yahudi umat Nabi Musa saat berada di semenanjung Sinai semasa menyertai mereka melarikan diri daripada Fir'aun yang zalim. Nabi Musa lantas menghalaunya dengan tanpa diapa-apakan kerana baginda mengenali dialah dajjal yang telah dikhabarkan Allah kepadanya.
Pada sepanjang zaman Nabi Muhammad ﷺ , ia dibelenggu di sebuah pulau di laut Yaman dengan dijaga oleh seekor makhluk aneh bergelar jassasah. Bila wafatnya nabi terakhir itu, dengan kehendak Allah, rantai besi yang membelenggunya pun mencair dan bebaslah Dajjal. Ia lantas menyambung pengembaraannya sebelum bertemu Azazil di Segitiga Bermuda dan kini ia menghilang tidak diketahui keberadaannya.
Di akhir zaman nanti, ia akan keluar dari sebuah wilayah di Iran bernama Khurasan.Menurut kenyataan hadis lagi, ia akan masuk ke semua negeri dalam dunia kecuali Mekah dan Madinah yang dikawal oleh para malaikat yang menghalang Dajjal daripada memasukinya.
Mengikut hadis sahih al-Bukhari yang diriwayatkan dari Abu Hurairah, Nabi Muhammad ﷺ bersabda, "Di setiap penjuru Madinah ada malaikat, sehingga wabak penyakit dan Dajjal tak dapat memasukinya."
Manakala mengikut hadis Ibn Majah, Ibn Khuzaimah dan Mustadrak al-Hakim yang diriwayatkan dari Abu Umamah bahawa Nabi Muhammad ﷺ bersabda, "Tidak ada tempat di muka bumi yang tidak diinjak dan di duduki Dajjal, kecuali Mekah dan Madinah. Dia mendatangi setiap celah kedua kota itu, namun malaikat selalu menemuinya dengan pedang. Akhirnya dia singgah di Dharib Ahmar, di persimpangan tanah kosong yang tandus. Lalu Madinah digoncang tiga kali sehingga semua orang munafik, baik lelaki mahupun perempuan keluar menuju kepada Dajjal. Dengan demikian, yang jelek keluar dari Madinah sebagaimana kipas tungku api membersihkan kotoran besi. Hari itu disebut hari pembersihan."
Ada yang bertanya, "Di mana orang Arab ketika itu? "
Jawab beliau," Pada ketika itu jumlah mereka sedikit."
Di setiap negeri yang dikunjunginya, dia akan mengakui dirinya Tuhan dan jika kaum itu tidak mempercayainya, mereka akan ditimpa musibah.
Diriwayatkan, apabila ia sampai kepada satu negeri, ia akan menyeru kaum negeri itu supaya mempercayainya dan menyembahnya sebagai Tuhan. Maka mereka pun percaya dan menyembahnya. Selepas itu ia akan menyeru kepada langit dan bumi supaya menurunkan hujan dan mengeluarkan tumbuhan, maka hujan akan turun dan pokok akan tumbuh.Kemudian ia akan datang kepada kaum yang lain dan menyeru kepada kaum itu pula tapi kaum itu tak mahu mepercayainya. Maka negeri itu akan menjadi gersang hingga kehabisan bekalan makanan. Dan ia akan melintasi suatu tempat yang sudah binasa dan berkata:
"Keluarkan perbendaharaanmu."
Maka isi bumi itu akan keluar mengikutinya seperti lebah mengikuti ratunya.
Melalui satu hadis daripada Nawwas bin Sam'an, Rasulullah ﷺ bersabda bahawa Dajjal akan bermaharajalela selama 40 hari. Hari yang pertama panjangnya seperti setahun, hari kedua panjangnya seperti sebulan, hari yang ke tiga panjangnya seperti seminggu dan 37 hari lagi seperti hari-hari biasa.
Rasulullah ﷺ bersabda lagi bahawa kadar waktu solat untuk hari yang seperti setahun contohnya perlu mengikut kadar solat untuk setahun bukan sehari. Ini menunjukkan yang waktu munculnya Dajjal, bumi berputar amat pelan hingga mengambil masa setahun, kemudian sebulan dan seterusnya seminggu untuk melengkapkan satu putaran sambil mengelilingi matahari, juga dengan pelannya. Jelaslah ia berpunca daripada sihir dajjal agar manusia tunduk kepadanya, namun sihirnya takkan berjaya andai tidak dengan kehendak Allah.
YOU ARE READING
KRONOLOGI 10 TANDA BESAR KIAMAT
ParanormalKiamat pasti datang. Tapi sebelum tibanya kiamat, 10 peristiwa aneh akan menyusul terlebih dahulu. Enam yang terawal punyai tempoh masa yang jauh antara keenam-enamnya. Empat yang terakhir pula terjadi satu persatu seumpama tasbih yang terputus tali...