8. Terbitnya Matahari Sebelah Barat

182 8 0
                                    


Setelah berlalunya 40 hari berkenaan, pada malamnya manusia mengharungi satu waktu malam yang sangat panjang yang sesungguhnya amat menghairankan mereka. Pada ketika manusia yang cuma bersisa di jazirah arab sedang berada dalam kebingungan, matahari dengan tidak semena-mena  terbit dari sebelah barat untuk satu tempoh yang telah ditetapkan Allah sebelum ia tenggelam semula dan mengorbit bumi seperti kelazimannya.

Bagi orang yang buta hati dan jahil sudah pasti tidak mengetahui maksud kejadian itu. Namun bagi yang punyai kesedaran walau pun sudah terlambat, pasti mengetahui bahawa itulah petanda tertutupnya pintu taubat untuk umat manusia. Manusia yang sudah digelapkan hatinya oleh Allah semestinya tidak peduli. Lagipun jikalau mahu bertaubat sekali pun sudah tiada gunanya lagi.

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidaklah tegak hari kiamat hingga matahari terbit dari arah barat. Apabila ia telah terbit (dari arah barat) dan manusia melihatnya, maka berimanlah mereka semua. Pada hari itu tidaklah bermanfaat keimanan seseorang yang tidak beriman sebelum hari itu atau belum mengusahakan kebaikan di masa imannya.”

Kemudian terdapat dua lagi hadis yang memperlihatkan seolah-olah al-Quran belum lagi diangkat ke langit pada detik tertutupnya pintu taubat. Bukan sahaja ia masih dibaca,  masjid juga masih dimuliakan.

Abu Bakar bin Mardawiyah meriwayatkan bahawa ‘Abdullah bin Abu Aufa berkata:
“Aku mendengar Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya akan datang kepada manusia suatu malam yang sama lamanya dengan tiga malam kamu ini, apabila peristiwa itu terjadi maka ia akan diketahui oleh orang-orang yang sedang berbuat amal sunnat, dimana apabila salah seorang mereka membaca satu hizib (dari Al Qur’an) kemudian dia tidur, setelah bangun iapun membaca satu hizib lagi, kemudian ia tidur, dan ketika mereka melakukan itu, maka orang-orang saling berteriak: “Ada apakah ini?”, maka mereka pun lari berlindung ke masjid-masjid dan tiba-tiba mereka melihat matahari sudah terbit dari tempat terbenamnya, sehingga apabila ia telah sampai di tengah langit, iapun kembali.”

Mengikut hadis yang diriwayatkan oleh Al Baihaqi  pula, Ibn Mas’ud menceritakan bahawa:
“Pada malam itu seorang laki-laki akan memanggil tetangganya: “Wahai saudara apakah yang telah terjadi terhadap kita pada malam ini? Aku telah tidur sampai puas dan akupun telah shalat sampai penat”, kemudian dikatakanlah kepadanya (matahari): “Terbitlah kamu dari tempat terbenammu” dan itulah hari yang tidak berguna iman seseorang yang tidak pernah beriman sebelumnya atau berbuat baik dalam imannya.”

Tidak dapat dipastikan kesahihan kedua-dua hadis berkenaan. Jikalau sahih, ia bermakna al-Quran hanya diangkat ke langit selepas matahari terbit sebelah barat. Tapi hadis di bawah ini mungkin lebih dipercayai kerana waktu al-Quran diangkat yang lebih bersesuaian berbanding diangkat selepas pintu taubat ditutup yang nampak terlalu lewat untuk dilakukan Allah.

Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; "Islam akan luntur (lusuh) seperti lusuhnya corak (warna-warni) pakaian (bila ia telah lama dipakai), sehingga (sampai suatu masa nanti) orang sudah tidak mengerti apa yang dimaksudkan dengan puasa, dan apa yang dimaksudkan dengan sembahyang dan apa yang dimaksudkan dengan nusuk (ibadat) dan apa yang dimaksudkan dengan sedekah. Dan al-Quran akan dihilangkan kesemuanya pada suatu malam sahaja, maka (pada esok harinya) tidak tinggal dipermukaan bumi daripadanya walau pun hanya satu ayat. Maka yang tinggal hanya beberapa kelompok daripada manusia, diantaranya orang-orang tua, laki-laki dan perempuan. Mereka hanya mampu berkata, "Kami sempat menemui nenek moyang kami memperkatakan kalimat "La ilaha illallah", lalu kami pun mengatakannya juga". Maka berkata Shilah (perawi hadis daripada Huzaifah), "Apa yang dapat dibuat oleh La ilaha illallah (apa gunanya La ilaha illallah) terhadap mereka, sedangkan mereka sudah tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan sembahyang, puasa, nusuk, dan sedekah"? Maka Huzaifah memalingkan muka daripadanya (Shilah yang bertanya). Kemudian Shilah mengulangi pertanyaan itu tiga kali. Maka Huzaifah memalingkan mukanya pada setiap kali pertanyaan Shilah itu. Kemudian Shilah bertanya lagi sehingga akhirnya Huzaifah menjawab, "Kalimat itu dapat menyelamatkan mereka daripada api neraka" (Huzaifah memperkatakan jawapan itu tiga kali).

Shaikh al-Albani menyatakan hadith ini sahih di atas syarat Muslim di dalam Silsilah Ahadith as-Sahihah no:87

Hadis itu memberi gambaran bahawa satu masa nanti agama Islam dan amal ibadatnya lama kelamaan akan ditinggalkan oleh umat Islam sendiri hingga dilupai keseluruhannya. Pada waktu itulah al-Quran diangkat ke langit.     Kemudian hanya wujud golongan warga tua yang mengamalkan kalimah tauhid yang diperturunkan daripada nenek moyang mereka.

Cukup jelas ia menggambarkan jangka masa yang sangat lama kerana nampaknya al-Quran dihilangkan semasa nenek moyang mereka masih hidup lagi sedangkan mereka sendiri pun sudah tua.  Jangka masa yang lama ini hanya boleh berlaku dalam tanda-tanda kiamat 6 terawal di sebabkan tempoh waktu yang jauh antara keenam-enamnya berbanding 4 tanda-tanda kiamat terakhir yang amat dekat antara keempat-empatnya. Wallahu'alam.

KRONOLOGI 10 TANDA BESAR KIAMATWhere stories live. Discover now