Bab 1

2.2K 111 3
                                    

Sebuah fail dibuka. Helai demi helai disemak. Seorang lelaki begitu ralit melihat senarai pembayaran sewa kedai-kedai yang telah dikutip pada bulan ini. Jarinya terhenti pada satu nama. Dia mengeluh lagi. Dia menekan interkom memanggil staff yang juga merangkap pembantunya.

"Kenapa Mawar Floral tak bayar sewa lagi? Ni dah masuk 3 bulan kan?" Jelas sedikit tegang wajahnya.

"Borhan cakap owner minta tempoh lagi. Katanya meniaga untung tak seberapa." Jawab pembantunya yang bernama Nisya.

Dia diam. Matanya dipejam dan jarinya mengetuk-ngetuk meja. Dia cuba memikirkan sesuatu.

"Macam ni lah. Biar saya sendiri pergi tengok kedai tu. Mungkin orang dekat Malaysia ni dah tak suka bunga agaknya sampai tak untung."

Nisya hanya mengangguk akur. Kemudian dia disuruh kembali meneruskan kerjanya. Amsyar mula mencari maklumat tentang kedai bunga yang begitu susah untuk membayar sewa kedainya. Bukannya dia tak faham orang berniaga, tapi dia juga harus memikirkan halnya juga. Kalau dibagi muka, lama-lama naik lemak pula.

Rambut yang menutupi dahi disisir ke belakang. Tubuhnya disandarkan pada kerusi. Dia mahu melelapkan diri sebentar. Baru saja dibuai mimpi, dia kembali tersedar apabila pintu biliknya diketuk.

Seorang wanita masuk ke dalam tanpa disuruh. Dia kemudian duduk menghadap Amsyar.

"Weh, jom teman aku makan. Bosanlah makan sorang." Terserlah senyuman wanita bernama Nadira.

"Kenapa tak ajak mama kau je? Buat susah je datang sini." Amsyar memeluk tubuhnya. Sengaja mahu melihat reaksi wanita itu.

Nadira mula mencebik. Kunci keretanya digenggam.

"Okay tak nak la ni?"

Soalan Nadira dijawab dengan sengihan dari Amsyar.

"Fine! Macam ni lah kawan kan." Nadira mengangkat punggung. Apa guna dia menanti jika lelaki ini tidak sudi.

"Alah itu pun nak merajuk ke? Hahaha." Amsyar bangun lalu cuba menahan Nadira.

"Naik kereta aku, sebab aku nak pergi tempat lain dulu." Amsyar terus mencapai kunci kereta dan failnya.

Nadira cuma mencebik dengan senyuman. Lalu dia memukul bahu Amsyar kerana dipermainkan sebegitu. Dia tahu, Amsyar takkan menolak pelawaannya. Persahabatan mereka hampir 8 tahun. Entah mengapa hatinya akan sedih jika Amsyar menolak pelawaannya.

Amsyar masuk ke dalam kereta. Dia menghidupkan enjin. Nadira masih lagi berdiri di luar. Dia menurunkan cermin tingkap di sebelah Nadira.

"Kenapa tak masuk?"

Nadira membongkokkan tubuhnya.

"Kau tak bukakan pintu." Jawabnya selamba.

"Banyak cantik muka kau. Dah cepat. Kalau tak aku tinggal."

Nadira tahu, dengan persahabatan mereka ini tak mungkin dia dilayan seperti orang lain. Amsyar bukanlah lelaki yang mudah cair. Apalagi bertindak manis. Dia akur.

"Kenapa tak jalan?" Soal Nadira apabila Amsyar masih lagi diam.

Amsyar mengeluh. Lalu dia angkat sedikit tubuhnya ke arah Nadira untuk mencapai tali pinggang di bahagian sisi Nadira. Wajah mereka sudah terlalu dekat. Nadira menutup matanya. Dadanya berdebar. Haruman di rambut Amsyar membuatkan dia tidak keruan.

Amsyar menarik tali pinggang tersebut lalu dipasang pada tempatnya.

"Dah banyak kali pesan, pakai seatbelt. Takkan nak ingatkan selalu. Lepas tu nak tunggu orang lain pasangkan ke?" Bebel Amsyar.

Mawar KarmilaWhere stories live. Discover now