Bab 1

569 17 0
                                    

“ Ya Allah ya Tuhan ku...aku tahu Kau Maha Mendengar, Maha Pengasih dan Maha Memberi. Di malam yang indah ini aku berdoa, hidupkanlah satu nyawa di dalam rahimku. Kerana aku juga mahukan zuriat penyambung kasih kami suami isteri...Perkenankan doaku ya Allah...Amin ya rabbal alamin...”

Doa Maya Cayla masih sama untuk kesekian kalinya. Dia betul-betul berharap doanya diperkenankan. Dia sudah jemu dituduh mandul. Di awal perkahwinan, sebenarnya dia pernah mengandung tetapi mengalami keguguran selepas terjatuh di bilik mandi. Selama 8 tahun menunggu, Maya dan Bernard tidak pernah berputus asa. Maya sampai meminta Bernard berkahwin lagi supaya suaminya ada zuriat sendiri tetapi Bernard tetap setia pada Maya seorang. Baginya, Maya adalah segalanya. Bidadari syurga yang sentiasa dia sayangi.

Tahun kelapan perkahwinan mereka, akhirnya penantian mereka berakhir. Layla Arabella yang bermaksud doa didengari di malam yang indah akhirnya lahir dan disambut dengan meriah oleh keluarga besar mereka di Rumah Pengasih dan juga keluarga angkat Bernard. Maya Cayla dan Bernard membesar bersama di rumah anak yatim  tetapi Bernard diambil sebagai anak angkat oleh sebuah keluarga ketika dia berusia 11 tahun.  Rumah Pengasih ini tempat mereka bertemu jodoh.  Cinta monyet mereka seperti yang selalu pengetua Rumah Pengasih sebut-sebut berakhir di jinjang pelamin setelah kedua-duanya telah berjaya. Mereka ikon kepada Rumah Pengasih atas kejayaan mereka dalam bidang masing-masing. Maya Cayla merupakan pereka fesyen manakala Bernard sebagai jurutera pelantar minyak yang bertugas di Timur Tengah.

Malang sekali, hanya 5 bulan mereka bahagia bersama si comel Layla Arabella. Ibu bapa Layla Arabella meninggal dunia dalam nahas jalan raya. Layla Arabella tercampak ke tepi jalan dalam keadaan yang selamat tanpa mengalami kecederaan. Benarlah kata orang, bayi kadangkala disambut oleh malaikat ketika tercampak. Layla Arabella akhirnya dipelihara oleh aki Adam dan odu Maryam iaitu keluarga angkat Bernard. Dia ditatang bagai minyak yang penuh sebagaimana mereka sayangkan Bernard dulu.

20 tahun berlalu, Layla Arabella kini sudah dewasa. Layla menjadi pujaan ramai lelaki kerana wajahnya yang manis. Malangnya Layla jenis memilih kawan lelaki. Bukan kerana dia memandang rupa atau harta benda tapi hati dia kadang-kadang menolak untuk berkawan dengan mereka. Lagipun aki dengan odu selalu berpesan supaya mengikut naluri sendiri kerana naluri tidak penah menipu kata aki. Kalau ada rasa kurang selesa dari awal, lebih baik jangan berkawan. Layla berpegang pada kata-kata mereka sehingga kini.

Seperti hari-hari yang lalu sepanjang cuti semester, Layla dan Farisya akan beriadah di hujung kampung mereka. Di sana ada sebuah taman rekreasi di lereng bukit yang sangat sesuai untuk mereka yang suka bersenam. Kata aki Adam, taman rekreasi tu milik sebuah keluarga dari Siam tapi isteri si pemilik adalah orang tempatan. Tahun lalu,  sebuah penthouse siap dibina dan sesekali anak kepada pemilik penthouse tersebut akan datang bermalam di sana. Aki kata, anak pemilik penthouse itu seorang bodyguard VVIP kerajaan di negara asal bapanya.

“ Layla!! cepatlah!! kita kan mahu tengok matahari terbit di Taman Cinta Bersemi tu...” laung Farisya. Dia bercekak pinggang menunggu Layla yang masih terkial-kial memakai kasut. Layla mencebik. Kedengaran lucu pula nama taman tempat mereka selalu beriadah itu.

“ Sabarlah...nanti kita kayuh basikal laju-laju. Tidak lari matahari dikejar...” Layla mengusik Farisya yang mula tunjuk muka cemberut dia. Laju Layla capai basikal di garaj dan menolak ke tempat Farisya.

“Odu!! kami jalan dulu...” Farisya melaung bila terlihat kelibat odu Maryam di beranda. Odu Maryam hanya angkat tangan menghantar pemergian mereka. Mereka akhirnya beriringan mengayuh basikal menuju destinasi.

Ketika hampir sampai di pintu masuk Taman Cinta Bersemi, tiba-tiba sebuah kereta jenis FJ Cruiser berwarna hitam pekat meluncur laju mendahului Layla dan Farisya. Layla yang kebetulan hampir dengan laluan kereta hampir-hampir tercampak ke tepi kerana cuba mengelak dari dirempuh. Sempat Layla melihat wajah si pemandu sepintas lalu. Lelaki itu berkulit cerah dan berkaca mata hitam.

Layla ArabellaWhere stories live. Discover now